[EKSKLUSIF] KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa ada pihak tertentu dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak akan berhenti berusaha ‘mengenakan’ beliau untuk diheret ke mahkamah sebagaimana... Klik di sini untuk terus membaca

[EKSKLUSIF] KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa ada pihak tertentu dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak akan berhenti berusaha ‘mengenakan’ beliau untuk diheret ke mahkamah sebagaimana dialami pemimpin Perikatan Nasional (PN) lain dan anaknya sendiri.

Bercakap kepada Sinar Harian, Setiausaha Agung PN itu berkata, beliau mungkin bukan pemimpin seterusnya dalam PN selepas Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah setakat ini.

Bagaimanapun, Hamzah menyedari kelompok tertentu itu sedang sibuk ‘menggunakan’ agensi kerajaan untuk menyelongkar sekiranya ada kesalahan beliau sewaktu berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan bagi dijadikan sebagai modal ‘membunuh karakter’ politiknya.

"Saya tahu mengenai perkara ini. Sama ada pendakwaan kes seterusnya membabitkan saya atau pemimpin PN lain terlebih dahulu, mereka tidak akan berhenti untuk kenakan saya.

"Ini semua gerakan optik pihak kerajaan menggunakan kes mahkamah bagi menghakis kepercayaan rakyat terhadap PN.

"Sudah pasti mereka mahu menjadikan kes pendakwaan mahkamah ini sebagai modal menyerang integriti PN pada pilihan raya negeri (PRN) kelak,” katanya dalam satu wawancara eksklusif di pejabatnya di Langgak Duta di sini, pada Khamis.

Keratan akhbar Sinar Harian pada 6 April lepas.

Beliau mengulas nasib pemimpin PN termasuk Muhyiddin dan anaknya sendiri yang didakwanya menjadi mangsa ‘pendakwaan terpilih’ susulan pelbagai pertuduhan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Pada 5 April lalu, dua pengarah syarikat termasuk anak Hamzah, Muhammad Faisal, 39, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

Sebelum ini, Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa.

Pada Mac lalu pula, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram RM195 juta.

Tahu bila sudah dituduh

Mengulas mengenai kes mahkamah melibatkan anaknya, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan, beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu sehinggalah terbaca laporan berita tempatan.

"Bila sudah dikemukakan pertuduhan di mahkamah, saya tanya dia (Muhammad Faisal), mengapa tidak beritahu saya? Dia jawab, kes ini bukan besar dengan bentuk hukuman pun lebih kepada kompaun sahaja.

"Dia pun bukan seorang pemilik yang menguruskan syarikat didakwa, sebaliknya hanya dilantik sebagai ahli pemegang saham. Kes anak saya dibesar-besarkan disebabkan dia anak kepada Hamzah Zainuddin.

"Yang penting, ini langkah terkini pihak tertentu untuk memburukkan nama saya. Namun saya senyum sahaja kerana percaya bila kita lakukan sesuatu yang baik, ALLAH SWT pasti akan bantu,” luah Hamzah.

Lebih menarik, kesan daripada siri ‘pendakwaan terpilih’ dihadapi pemimpin PN, Hamzah mengakui sokongan terhadap mereka semakin bertambah.

Katanya, ini dibuktikan apabila ramai rakyat yang memohon untuk menjadi ahli Bersatu dan parti-parti lain dalam PN.

"Bila masuk banyak kes pendakwaan mahkamah terhadap pemimpin PN termasuk anak saya, sokongan rakyat terhadap kami semakin bertambah.

"Saya bersyukur kerana rakyat memahami masalah dihadapi kami dan bijak menilai maklumat,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca