SEMINGGU menjelang detik perayaan, politik negara tetap bingit dengan kontroversi. Di sebalik tuntutan untuk meningkatkan ibadat dan memperbanyakkan amalan, riuh rendah politik negara masih rancak rentaknya serta konsisten kandungannya.
Pertukaran Ketua Menteri Melaka, amalan ‘ganjaran politik’ kepada kroni dan penyokong setia yang berleluasa serta isu rayuan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, antara perkara yang berlaku sepanjang Ramadan tahun ini.
Kebetulan tahun ini kita bakal bertemu dengan dua raya yang signifikan. Pertama, Hari Raya Aidilfitri dan kedua, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Walaupun kedua-dua raya itu berbeza dari segi maksud dan konteks tetapi sifat serta keraiannya sebagai sebuah perayaan adalah serupa.
Bagi kita rakyat kebanyakan, hari raya adalah hari kemenangan yang diraikan setelah berjaya menyempurnakan ibadat berpuasa selama sebulan. Ia disambut bagi menzahirkan kesyukuran kepada ALLAH dengan bertakbir, bertasbih dan bertahmid.
Hari raya selalunya diisi dengan amalan ziarah-menziarahi, saling bermaaf-maafan dan bersilaturahim, sesuai semangat Aidilfitri yang bermaksud kembali kepada fitrah (asal kejadian manusia yang suci dan bersih daripada dosa).
Sebaliknya pula dengan pilihan raya, ia adalah sambutan pesta demokrasi selepas sepenggal merancang dan merencana usaha bagi memperoleh kuasa.
Berbanding sambutan hari raya yang dibuat dengan penuh keinsafan dan sederhana, sambutan pilihan raya pula riuh rendah serta saling mendedahkan.
Namun, aspek raya jelas kelihatan pada kedua-duanya. Sama ada hari raya atau pilihan raya, perantau akan pulang ke kampung bagi merayakannya. Kesanggupan untuk balik beraidilfitri dan mengundi lebih tinggi hingga sanggup menempuh kepayahan.
Amalan ziarah-menziarahi dan jamuan rumah terbuka ada pada kedua-duanya. Pesta makanan berlangsung tanpa putusnya. Tiada siapa yang menolak undangan dan kunjungan sesiapa pun, hari raya mahupun pilihan raya. Semuanya ceria berhimpun kerana sudah lama tidak bersua, mengikut perancangan program dan atur cara.
Lebih seronok, pada waktu tersebut semua pihak automatik menjadi pemurah. Ketika hari raya mahupun pilihan raya, amalan sedekah, sumbangan dan pemberian bertukar tangan dengan ukiran senyuman.
Salam berisi bak kewajipan dalam kedua-dua perayaan, cuma salam ketika pilihan raya punya makna. Ia perlu dibalas dengan memangkah nama si pemberi bila tiba mengundi berbanding salam hari raya yang hanya mengharapkan doa sejahtera daripada penerima buat yang memberi.
Begitulah suasana dua hari raya. Walaupun membawa maksud berbeza, pengisiannya tetap sama. Kedua-duanya membawa kenangan bermakna. Namun, ia bergantung kepada sejauh mana individu itu menghayati konsep dan makna raya itu sendiri.
Jelas, ia dilihat dari sudut spiritual (hari raya) dan rasional (pilihan raya), namun kedua-duanya adalah ujian kepada jiwa yang merdeka. Sejauh mana kita merayakannya?
Kewajiban kita untuk bertanggungjawab dalam mengisi perayaan tersebut harus menjadi keutamaan. Kedua-dua raya tersebut menuntut kita kembali kepada fitrah.
Mungkin konsep fitrah bagi Hari Raya Aidilfitri bersifat abstrak dan umum tetapi fitrah pada pilihan raya sangat jelas. Kita sedang menunaikan tanggungjawab dan hak sebagai warganegara bagi memilih seorang wakil rakyat yang bekerja untuk kita.
Maka, sebagai pemilih yang merdeka, naluri kita mahukan wakil rakyat yang cekap, berkebolehan, bersih dan ada integriti. Kerana mereka inilah yang akan mencorakkan negara dan menentukan masa depan warga untuk tempoh lima tahun.
Kerana akhirnya jika kita salah memilih, kita terpaksa merana selama lima tahun melihat kesilapan pilihan kita sehinggalah kita didatangi pilihan raya bagi mengundi untuk membetulkannya semula.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca