IPOH - Penjualan bunga api dan mercun secara terbuka membolehkan peniaga barangan itu memperoleh sehingga RM2,000 sehari.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Wan, 32, berkata, jualan bunga api dan mercun mendapat sambutan baik daripada orang ramai terutama pada hujung minggu.
Menurutnya, paling banyak permintaan dan jualan ialah bunga api jenis happy boom, manakala jenis yang lain dan mercun pula hanya sedikit.
"Kalau bunga api sahaja, kita ada tujuh jenis dengan harga dalam lingkungan RM13 hingga RM45 mengikut jenis dan kuantiti. Setakat ini jualan agak baik walaupun perlahan sebab orang tak beli dalam kuantiti banyak.
"Kebanyakan orang membeli asalkan ada untuk anak-anak main sempena hari raya. Orang ramai mahu berjimat sebab harga barang mahal, jadi mereka pilih satu atau dua jenis bunga api sahaja,” katanya ketika ditemui di gerainya di Bandar Meru Raya di sini pada Sabtu.
Wan berkata, sebanyak tiga gerai jualan bunga api dan mercun dibuka di sekitar Ipoh dengan lokasi di Bandar Meru Raya memperoleh jualan paling tinggi kerana kawasan tumpuan.
Menurutnya, gerai jualan dibuka di kawasan tumpuan ramai dan jualan paling tinggi pada waktu malam bermula hari Jumaat sehingga Ahad.
Sementara itu, tinjauan di sekitar Bandar Meru Raya mendapati terdapat sekurang-kurangnya tujuh gerai yang menjual bunga api dan mercun berlesen berdekatan antara satu sama lain.
Sementara itu di Alor setar, Kedah, peniaga mampu mengaut keuntungan lumayan dan berlipat ganda dalam tempoh singkat hasil jualan mercun serta bunga api yang dibenarkan kerajaan.
Tinjauan di tepi jalan di sekitar bandar Alor Setar mendapati, beberapa peniaga sibuk mempromosikan jualan masing-masing.
Seorang penjual mercun hanya ingin dikenali sebagai Mohd, 23, berkata, sambutan diterima daripada orang ramai amat baik sehingga mampu meraih pendapatan antara RM400 hingga RM500 setiap hari meskipun baru beberapa hari menjual mercun.
Mohd berkata, dia menjual bunga api dan mercun sebagai pendapatan sampingan pada bulan puasa ketika musim perayaan sahaja.
"Alhamdulillah, sambutan baik apabila ada datuk membeli bunga api untuk cucunya yang pulang ke kampung, ada ibu bapa membeli untuk anak masing-masing.
"Yang paling mendapat sambutan, mercun jenis Pop-Pop yang dijual sekotak RM1, sementara enam kotak pula pada harga RM5,” katanya.
Menurutnya, antara jualan yang mendapat sambutan termasuklah bunga api berharga RM1 sehingga RM5 mengikut jenis.
Bagaimanapun, Mohd berkata, dia tidak menjual mercun dan bunga api yang berbahaya kerana mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
"Setakat ini saya menjual kira-kira 13 bunga api dan mercun yang dibenarkan sahaja dengan mendapatkan permit yang dikeluarkan oleh polis sebelum menjual kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, cubaan untuk menemu bual beberapa peniaga bunga api dan mercun tidak berhasil apabila mereka enggan memberikan kerjasama.
Seorang suri rumah, Rodziah Hamid,44, ketika ditemui sedang membeli-belah berkata, pemantauan ibu bapa penting ketika anak-anak bermain bunga api ataupun mercun di rumah.
"Tidak kira anak bermain bunga api ataupun mercun apa sekalipun, kita sepatutnya memantau bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Namun, kata Rodziah, dia tidak menggalakkan dua anak lelakinya yang berusia enam dan 11 tahun membeli serta bermain bunga api kerana membazir dan tidak digalakkan oleh agama.
Klik di sini untuk terus membaca