KERANA membuat pendirian bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 ‘masih relevan dan tidak akan dimansuhkan’ sewaktu menjawab satu pertanyaan di Dewan Negara baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengundang kritikan keras terhadap dirinya, Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan dianggotainya.
Beliau dituduh melakukan pusingan U kerana mengambil pendirian bertentangan semasa partinya menjadi pembangkang dan setelah menggenggam kuasa mengenai sebuah akta yang didakwa mengongkong kebebasan media di negara ini.
Beliau seperti sebilangan menteri Kerajaan Perpaduan lain yang berdolak-dalik dalam melaksanakan janji-janji sebelum dan selepas berkuasa juga digelar pemimpin cakap tak serupa bikin.
Tetapi, mungkin juga pendirian tersebut menggambarkan kedudukan baharu mereka. Sebagai menteri, mereka mempunyai akses kepada pelbagai maklumat, berbanding ketika menjadi pembangkang.
Mereka tidak boleh mengambil pendirian semberono tanpa memikirkan kepentingan negara selepas mendapat kedudukan. Bak kata mat saleh: "Where you stand depends on where you sit.”
Hakikat itu benar, bukan sahaja dalam politik, malah dalam pelbagai bidang kehidupan lain termasuk rumah tangga. Tetapi bagi pengamal media, kenyataan Saifuddin tidak dapat diterima.
Bagi mereka, AMCP diumpamakan sebagai ‘pedang Damocles’ yang pada bila-bila masa boleh digunakan untuk menyekat, mengawal, malah membunuh kebebasan media. Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana beranggapan demikian.
Hal itu kerana berdasarkan pengalaman, akta tersebut pernah digunakan kerajaan terdahulu untuk memberi amaran keras kepada organisasi persuratkhabaran hanya kerana mereka menyiarkan artikel agak kritikal dan tidak disenangi oleh kalangan yang berkuasa. Kehadirannya amat memualkan mereka.
Tambahan pula, akta sama pernah digunakan untuk menutup operasi surat khabar atau menggantung permit penerbitan akhbar atas nama menjaga ketenteraman awam atau mengancam keselamatan negara.
Walhal, hakikatnya yang terancam adalah kedudukan rejim yang berkuasa. Atau, lebih tepat lagi pemimpin yang berasa diri mereka menjadi sasaran laporan-laporan kritikal terhadap penyelewengan dasar dilaksanakan.
Jika pemimpin kerajaan menghormati peranan media sebagai jagawan estet keempat untuk bertindak sebagai penyemak dan pengimbang kepada tiga kuasa negara lain, laporan dianggap kritikal dan tidak disenangi itu patutnya diterima dengan fikiran terbuka terutama kalau apa-apa terkandung dalam laporan tersebut ada asas dan kebenarannya.
Sebagai susulan, langkah pembetulan hendaklah diambil. Tindakan itu lebih berwibawa. Menghukum pengamal media atau organisasi yang diwakili dengan menggantung permit penerbitan atau memberi amaran keras seperti berlaku sebelum ini, bukanlah cara terbaik untuk membisukan pengkritik kerajaan.
Tambahan pula, hari ini pengaruh politik surat khabar tidak sehebat sebelum adanya internet. Kini medium paling berpengaruh adalah media sosial atau portal atas talian, menjadikan AMCP tidak lagi relevan.
Justeru, jika imej reformis PH ingin dikekalkan, Saifuddin patut menilai semula pendirian telah diambil Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap AMCP. Beliau jangan dilihat terpengaruh dengan pendapat birokrat yang ingin mengekalkan akta bagi memudahkan tugas mereka.
Secara peribadi, saya berpendapat kalau pun akta tersebut tidak dapat dimansuhkan sepenuhnya, aspek kawal selia akta itu terhadap mana-mana penerbitan yang terasnya adalah kewartawanan cetak boleh ditiadakan.
Misalnya, kewajiban mendapatkan permit KDN bagi menerbitkan akhbar atau majalah boleh dimansuhkan. Benarkan mana-mana usahawan yang mahu memulakan perniagaan media cetak, asalkan usaha itu dikendalikan kalangan yang memiliki entiti perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Serahkan kepada kuasa pasaran menentukan kelangsungan perniagaan mereka.
Pada masa sama, peruntukan untuk mengawal selia kandungan penerbitan bercetak yang selama ini dilaksanakan mengikut AMCP, jika dirasakan masih perlu dikekalkan, serahkan kepada Majlis Media Malaysia (MMM) – rang undang-undang untuk menubuhkannya dalam peringkat penggubalan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital.
Dengan itu, kuasa mengawal selia kandungan kewartawanan media – cetak dan bukan cetak – yang berbentuk faktual hanya dikendalikan oleh industri media itu sendiri secara kawalan kendiri – melalui MMM.
Malaysia sebenarnya sudah cukup dewasa untuk membenarkan jagawan estet keempatnya berfungsi sebagai pelindung dan penyubur demokrasi dalam melaksanakan tugasnya – menyemak dan mengimbang kuasa-kuasa legislatif, eksekutif serta judisiari.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca