KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk menilai semula kaedah pelaksanaan infrastruktur 5G Malaysia boleh memberi gambaran salah kepada pelabur asing serta tempatan... Klik di sini untuk terus membaca

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk menilai semula kaedah pelaksanaan infrastruktur 5G Malaysia boleh memberi gambaran salah kepada pelabur asing serta tempatan mengenai ruang perniagaan yang stabil di Malaysia.

Ia memberi gambaran apa sahaja pelaburan di negara ini berisiko dimusnahkan oleh pertukaran kepimpinan kerajaan. Itu tidak sepatutnya berlaku terutama dalam kes melibatkan pelaksanaan polisi yang telah melalui kajian mendalam dan telah matang dalam pelaksanaan.

Kenyataan untuk menilai semua kaedah pelaksanaan 5G daripada Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada model rangkaian teras berbilang pengendali (multi-operator core unit atau MOCN) boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan Malaysia di mata pelabur.

Pertama, keputusan melaksanakan kaedah SWN bukan keputusan politik.Pada Disember 2019, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengeluarkan ‘Laporan Akhir Mengenai Peruntukan Jalur-Jalur Spektrum Bagi Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih Di Malaysia’ mencadangkan ‘entiti tunggal untuk rangkaian 5G’.

Pendekatan itu bagi mengurangkan perbelanjaan modal dengan meminimumkan kos dan mengelak pertindihan infrastruktur, sementara penambahbaikan rangkaian 4G masih boleh diteruskan.

SKMM mencadangkan jalur spektrum 5G diperuntukkan kepada satu konsortium yang dibentuk oleh berbilang pengendali telekomunikasi, namun tidak mendapat sambutan.

Telco tidak begitu berminat melabur dalam pembangunan 5G ke seluruh negara dalam masa yang pantas kerana tidak menguntungkan. Justeru, kerajaan menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB) – bukan syarikat milik kroni atau mana-mana jutawan. Ia syarikat milik kerajaan.

Kedua, penilaian semula kaedah SWN akan menjejaskan keyakinan bank terhadap pelaksanaan projek kerajaan. Apabila ditubuhkan DNB, ia tidak mendapat dana kerajaan. Kos pembangunan 5G akan dibiayai secara eksklusif oleh sektor swasta.

Beberapa bank tempatan dan luar negara telah memberi komitmen membiayai pembangunan infrastruktur 5G ke seluruh negara berdasarkan model SWN.

Sebarang perubahan model pembangunan 5G negara boleh menyebabkan perubahan kepada pembiayaan diperoleh DNB. Malah, pada masa hadapan, mungkin syarikat berkaitan kerajaan yang lain akan berdepan defisit kepercayaan dalam kalangan sistem perbankan antarabangsa.

Ketiga, sebarang perubahan dasar 5G negara juga akan menjejaskan kredibiliti tender antarabangsa Malaysia. Perolehan pembangunan teknologi 5G telah dimenangi oleh syarikat antarabangsa, Ericsson secara tender terbuka berdasarkan keperluan pemasangan di seluruh negara.

Keempat, sebarang perubahan kepada dasar SWN sekarang akan menyebabkan DNB berdepan krisis kewangan dan kesukaran membayar semula pinjaman.

Fahmi mengumumkan peratus capaian rangkaian 5G di Malaysia setakat penghujung Mac lalu telah mencapai 55 peratus dan berada pada landasan tepat bagi memastikan sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan rangkaian 5G sebelum akhir tahun ini.

Pembangunan model DNB berdasarkan projeksi perniagaan SWN. Sebarang perubahan kepada kaedah itu akan menjejaskan aliran pendapatan DNB untuk membayar semula pinjaman bagi pembinaan prasarana 5G.

Desakan kajian semula bukan baharu. Apabila berlaku pertukaran pemimpin daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, isu itu dibangkitkan lagi.

Berdepan kritikan Telco yang berasakan mereka diketepikan, kerajaan bersetuju membenarkan Telco utama mempunyai pegangan saham dalam DNB, walaupun pada awal cadangan SKMM tahun 2019, mereka tidak menunjuk minat bekerjasama.

Telco boleh berhujah apa sahaja. Namun, SKMM telah melihat kegagalan mereka memberi akses adil kepada masyarakat luar bandar dalam pembangunan prasarana 3G dan 4G menyebabkan kaedah SWN diperkenalkan.

Mereka mahukan hak mengendali sendiri kerana mahu untung lebih untuk membina prasarana 5G mengikut kawasan menguntungkan dan meninggalkan DNB menanggung kos pembangunan di kawasan luar bandar.

Kerajaan perlu menumpukan usaha mengembangkan ekonomi dengan mewujudkan pembangunan sektor baharu, bukannya menjadi tikus membaiki labu.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca