SEBUAH lagi projek berprofil tinggi zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, tajaan Khazanah Nasional Berhad tersungkur menyembah bumi. Media massa dalam dan luar negara melaporkan Khazanah telah menjual keseluruhan miliknya dalam Iskandar Malaysia Studios (IMS).
Pembelinya adalah sebuah syarikat Singapura bernama GHY Culture & Media yang memperkenalkan dirinya sebagai pembekal kandungan bahasa Cina kepada industri perfileman dan televisyen di Singapura, China dan Malaysia.
Natijahnya, daripada membuat filem Inggeris dengan usaha sama Pinewood Studios, United Kingdom (UK), studio itu sekarang akan mengeluarkan filem dan bahan televisyen dalam bahasa Cina.
Satu kajian forensik wajib dilakukan ke atas semua pihak yang terlibat dengan pembinaan, pengurusan dan penjualan studio filem tersebut. Daripada pandangan mata kasar pun, kita sudah tahu sesuatu luar biasa telah berlaku bagi sebuah projek yang diuar-uarkan sebagai kejayaan besar negara. Ia dibina dengan harga ratusan juta ringgit dan dijual pada harga RM35.34 juta.
Ada laporan mengatakan studio tersebut menelan belanja antara RM528 juta hingga RM748 juta.
Laporan media massa menunjukkan projek itu diumumkan pada 19 Disember 2009 iaitu lapan bulan selepas Najib menjadi Perdana Menteri. Iskandar Malaysia pula adalah antara koridor ekonomi yang menjadi penanda aras zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Lebih mengelirukan apabila pengurusan Khazanah dilaporkan berkata, penjualan studio itu adalah untuk menarik masuk pelaburan asing dan menjana faedah ekonomi serta sosial.
Persoalannya, jika projek tersebut menarik pelabur asing, kenapa syarikat perfileman antarabangsa Pinewood, UK menarik diri pada 2019? Nak salahkan Covid-19 pun tidak boleh juga sebab waktu itu pandemik belum berlaku.
Kepimpinan politik dan eksekutif Khazanah yang terlibat melaksanakan projek glamor itu wajib mengambil tanggungjawab moral terhadap ke-gagalannya. Laporan media massa tempatan pada 2014 mengatakan studio itu dibina dengan belanja RM170 juta.
Hatta, setelah diambil kira susut nilai sekali pun, harga RM35.34 juta yang dibayar oleh firma Singapura itu adalah ciput. Rasanya elok dikaji dan difikirkan semula matlamat, dasar, jenis serta lokasi pelaburan Khazanah.
Jika kita layari laman web rasmi Khazanah, kenyataan dasarnya berbunyi: "Kami melabur untuk menghasilkan nilai ekonomi dan nilai sosial secara mampan untuk negara.
Sebagai pelabur strategik, kami berusaha untuk mengimbangi matlamat meningkatkan pulangan kewangan dan menjadi organisasi bertanggung-jawab untuk generasi rakyat Malaysia akan datang bagi mereka menikmati hasil daripada apa yang disemai pada hari ini.”
Dengan kenyataan misi yang agak kabur itu, tidak hairanlah jika ramai orang masih tidak kenal Khazanah, berbanding Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Petronas misalnya. Ramai yang tahu pula melihat Khazanah sebagai eksklusif dan elitis.
Jika kita lihat prestasi jangka panjang, kita akan mendapati nilai bersih aset Khazanah mula merosot pada 2018 apabila ia melakukan pemotongan (impairment) ke atas asetnya sebanyak RM7.3 bilion. Kira-kira separuh daripada jumlah itu adalah untuk menampung kerugian operasi penerbangan dan pelancongan.
Justeru, sepahit mana sekali pun, Khazanah perlu mencari jalan keluar dan seterusnya menyelesaikan masalah perniagaan dua sektor berkenaan. Namun, kita tidak boleh menafikan ada pertumbuhan organik dalam jangka panjang.
Misalnya, pada 2004, nilai bersih asetnya RM33 bilion. Pada akhir 2021, jumlah itu meningkat kepada RM86 bilion bagi memberikan kadar pertumbuhan purata tahunan 5.8 peratus. Malah, untuk lebih 10 tahun, nilai asetnya melebihi jumlah RM86 bilion.
Dari 2004 hingga 2021, dividen terkumpul dibayar kepada kerajaan berjumlah RM17 bilion daripada pulangan pemegang saham sebanyak RM70 bilion.
Kesimpulannya, walaupun Khazanah tidak gagal tetapi ia tidaklah cemerlang seperti tabung berdaulat (sovereig fund) Norway dan Singapura.
Kita masih dalam kategori negara membangun, namun tidak mustahil bagi Khazanah memperbaiki pencapaiannya dengan mengelak pelaburan glamor tetapi berisiko seperti yang berlaku ke atas IMS.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca