SHAH ALAM - Penjualan mercun dan bunga api secara dalam talian dilihat semakin ‘rancak’ menjelang hari raya walaupun larangannya telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Tinjauan di media sosial seperti Facebook, TikTok, Telegram dan WhatsApp mendapati, penjualannya dibuat secara terbuka malah turut melibatkan jualan secara borong.
Pembeliannya juga sangat mudah dan pengguna Telegram misalnya, hanya perlu menaip kekunci ‘mercun’, kemudian beberapa channel yang menjual mercun dapat diakses serta disertai oleh orang awam.
Malah, salah satu channel turut menjual ‘mercun halal’, mempunyai lebih 2,500 pelanggan serta aktif menjualnya di aplikasi TikTok.
Begitu juga di Facebook, pembeliannya boleh dibuat secara terbuka dan ada peniaga yang mengambil inisiatif membuat katalog mercun serta bunga api.
Mercun ‘Thai Ball’ misalnya, dijual pada harga RM50 bagi 100 biji, 12 pek mercun naga dijual pada harga RM25 dan sebatang Das 400 dijual pada harga RM70.
Bunga api ‘harga kayangan’ turut dijual iaitu 500 shoots berharga RM1,000 untuk lima biji dan 396 shoots berharga RM750 bagi tiga biji.
Permintaan terhadap mercun dan bunga api dalam talian juga dibuat secara terbuka apabila ada orang awam yang secara beraninya bertanyakan tentang penjualannya di media sosial.
Beberapa penjual dilihat respons terhadap pertanyaan berkenaan dan turut menawarkan harga istimewa bagi pembelian secara pukal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 1 April lalu menegaskan sebarang bentuk penjualan mercun dan bunga api secara dalam talian adalah dilarang, walaupun ia membabitkan jenis produk yang dibenarkan untuk dijual.
Jelasnya, jualan juga harus dibuat di tempat-tempat atau premis yang dianggap selamat dan pihak berkuasa akan terus melaksanakan penguatkuasaan mengikut Akta Bahan Letupan 1957.
Klik di sini untuk terus membaca