KEPUTUSAN kerajaan tidak tunduk terhadap desakan mengembalikan subsidi kepada pihak industri, sebaliknya mengekalkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik adalah demi melindungi golongan B40 dan M40. Menteri Sumber Asli, Alam... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN kerajaan tidak tunduk terhadap desakan mengembalikan subsidi kepada pihak industri, sebaliknya mengekalkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik adalah demi melindungi golongan B40 dan M40.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui menerima banyak rungutan, malah ramai pihak dari sektor industri tidak bersetuju dengan keputusan menaikkan harga tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik serta bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkuat kuasa pada 23 Januari lepas.

Sebelum ini pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) dalam kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj 20 sen/kWj.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Setiawangsa itu menjelaskan, perkara penting ketika ini adalah tidak menaikkan tarif elektrik kepada pengguna domestik terutama golongan B40 dan M40 bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan terpelihara.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, NURFARDLINA IZZATI MOKTAR bersama Nik Nazmi di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Apakah perkara paling utama Yang Berhormat (YB) laksanakan setelah mendapat kepercayaan Perdana Menteri untuk menggalas jawatan ini? NIK NAZMI: Saya berpendapat antara perkara yang dilaksanakan mungkin sedikit kontroversi tetapi saya rasa ia penting dan membuktikan keazaman politik Kerajaan Perpaduan apabila kita menaik tarif elektrik bagi sektor industri dan komersial yang menggunakan voltan dalam kuantiti sederhana dan besar.

Kita tahu harga elektrik di Malaysia diberikan subsidi yang sangat besar dan kita tahu harga bahan api, gas, arang batu sudah naik. Di negara lain apabila harga barangan tersebut naik maka elektrik menjadi mahal. Tetapi di Malaysia, kerajaan kita mengawal dan menetapkan harga setiap enam bulan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Baru-baru ini kita telah mengurangkan subsidi secara ketara bagi sektor tersebut (industri dan komersil) dan sememangnya (kita) menerima banyak rungutan serta ramai tidak bersetuju tetapi perkara itu penting (untuk dilaksanakan) pada masa ini supaya kita dapat mengekalkan subsidi yang sama untuk harga tarif elektrik kepada pengguna domestik.

Saya berpendapat, ia lebih adil apabila kita beralih terhadap subsidi bersasar di mana paling penting adalah melindungi golongan B40 dan M40 sebab gaji mereka tidak begitu besar di negara ini.

Dua segmen itu kita perlu lindungi. Sektor industri lain seperti kilang besar dan sebagainya, sekiranya mereka menggunakan elektrik dengan kuantiti banyak, maka mereka perlu membayarnya ikut jumlah kuantiti diguna.

SH: Apakah kesan diterima pihak industri menerusi kenaikan tarif berkenaan? Pertama sekali mereka menggunakan alat atau perisian (software) kecekapan tenaga untuk kurangkan bil elektrik memandangkan bil mereka sudah mahal.

Keduanya, banyak syarikat menggunakan tenaga boleh diperbaharu seperti solar dan lain-lain. Ini seiring dengan matlamat peralihan tenaga kita. Malaysia tidak boleh menjadi tempat untuk gaji dan kos rendah, ini bermakna pelabur tidak boleh labur disebabkan itu.

Pelabur sepatutnya labur sebab Malaysia ada nilai tambah maka kita nak jadikan negara ini sebagai satu hab tenaga serantau. Jadi disebabkan itu juga kita tengah lihat bagaimana mahu mempercepatkan peralihan tenaga kepada tenaga boleh baharu pada masa akan datang.

SH: Banjir kilat di beberapa kawasan termasuk Selangor pada tahun lepas memberi kesan yang besar kepada negara. Apakah perancangan di bawah kementerian YB untuk mengurangkan banjir kilat ini daripada berlaku? Banjir kilat berlaku secara singkat kurang daripada enam jam. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil beberapa langkah mengatasinya. Pertama sekali menggunakan pam bergerak yang boleh pindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mengeluarkan air. Kita juga naik taraf sistem saliran seperti melebar dan mendalamkan sungai selain projek tebatan banjir antaranya ialah pembinaan struktur-struktur kawalan banjir seperti ban, kolam takungan banjir, pintu kawalan air dan rumah pam.

Bagi langkah bukan struktur pula, kita ada Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) selain pembangunan rangkaian stesen hidrologi termasuk sistem siren amaran banjir serta pembangunan sistem pemantauan banjir (web-based) iaitu Selangor Info Banjir (infobanjirjps.selangor.gov.my) dan Public Info Banjir (publicinfobanjir.water.gov.my).

Kita juga melaksanakan kajian-kajian ke atas pengurusan sungai seperti Kajian Pelan Pengurusan Lembangan Sungai (IRBM), Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir dan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dan Garis Panduan Manual Saliran Mesra Alam (MASMA).

Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan oleh kementerian melalui JPS ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh Fasa 1, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kuyoh, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kayu Ara dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 1.

Projek-projek yang sedang dalam perancangan Kementerian dan akan dimohon dalam Rolling Plan 4 (RP4) di bawah Rancangan Malaysia terbaharu (RMK ke-13) pula ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Klang di Seksyen 25 Shah Alam, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Damansara, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2 dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Semarang Fasa 2.

SH: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mencadangkan untuk melaksanakan projek tebatan banjir di daerah Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi. Adakah negeri lain terutama Kelantan dan Terengganu akan dibangunkan projek tebatan banjir? Kerajaan komited untuk mengurangkan risiko banjir di seluruh negara melalui pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir. Sehingga kini, pelbagai projek bagi mengatasi masalah banjir sedang dilaksanakan termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir di Kelantan seperti Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1, PLSB Sungai Golok (Kesban) Fasa 1 dan PLSB Sungai Golok Fasa 2.

Projek Rancangan Tebatan Banjir di Terengganu pula seperti PLSB Sungai Kemaman, Projek Tebatan Banjir Gunung Luar, Setiu, Rancangan Tebatan Banjir Kemasek dan Rancangan Tebatan Banjir Bukit Payung, Marang.

Projek-projek yang kita jalankan sebenarnya menyeluruh di seluruh negara termasuk Sarawak.

SH: Kejadian tanah runtuh baru-baru ini telah menggemparkan Malaysia apabila banyak nyawa terkorban. Adakah segala lesen dan permit aktiviti, pembangunan dan sebagainya akan dikaji semula? Perkara ini berada di bawah kawalan kerajaan negeri. Kita di kementerian hanya memantau, tetapi sering tekankan pada pihak kerajaan negeri untuk memulihara dan mengekalkan kawasan-kawasan hutan sebab kita ada komitmen di peringkat antarabangsa sejak 1992 untuk 50 peratus kawasan hutan.

Kita juga tahu tentang komitmen terbaharu tentang soal isu perubahan iklim dan sebagainya selain masalah biodiversiti sebab sekarang orang ramai bercerita tentang kaitan tanah runtuh, ‘konflik gajah’ dan sebagainya berkait rapat dengan hutan yang semakin sikit.

Jadi disebabkan itu antara dilakukan oleh pihak kerajaan Persekutuan bermula tahun 2019 dengan mengagihkan RM60 bilion kepada kerajaan-kerajaan negeri iaitu pergi secara langsung kepada mereka iaitu mengukur komitmen dari segi memelihara hutan, apa langkah-langkah untuk membaiki hutan dan sebagainya.

Kemudian pada 2021 dan 2022 peruntukan itu naik kepada RM70 bilion. Kali ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan peruntukan kepada RM150 bilion ketika membentangkan belanjawan baru-baru ini.

Itu antara inisiatif kita sampaikan untuk mereka supaya memelihara hutan dan Insya-ALLAH dapat mengurangkan masalah tanah runtuh, memelihara kawasan tadahan air, haiwan liar dan sebagainya.

Kru Sinar Harian bergambar bersama Nik Nazmi (tengah) di pejabatnya pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Kru Sinar Harian bergambar bersama Nik Nazmi (tengah) di pejabatnya pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SH: Antara isu paling kritikal di Kelantan ialah isu air yang sudah lama tak dapat diselesaikan kerajaan Pas. Bagaimana YB dapat memastikan hal ini menjadi perkara pertama akan diselesaikan jika PKR berjaya ambil alih Kelantan, apatah lagi dengan kapasiti YB sebagai individu yang bertanggungjawab dengan hal ehwal air? Pendapat saya dari segi peraturan bekalan air bersih itu memang di bawah kerajaan Persekutuan tetapi sumber air, punca air, operator dan sebagainya semua di bawah seliaan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang merupakan di bawah kerajaan negeri.

Bagi saya Pas bukan sahaja ada menjadi kerajaan negeri sejak 1990 tetapi bermula 2020 selepas Langkah Sheraton, mereka (pemimpin Pas) ada memegang portfolio Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Ini bermakna urusan air di peringkat persekutuan mereka ada tanggungjawab sebagaimana saya hari ini ada tanggungjawab.

SH: Jadi dalam tempoh ini, saya fikir rakyat berhak tanya dan dulu mereka boleh salahkan kerajaan Pusat tidak bagi peruntukan tetapi hari ini apa alasan mereka. Ketika mereka memegang tampuk pemerintahan itu apa mereka buat untuk selesaikan isu masalah air di negeri Kelantan? Saya berpandangan itu antara persoalan besar yang mereka harus jawab. Saya bagi komitmen mudah sama ada kita memerintah kerajaan negeri iaitu Kerajaan Perpaduan dan kita minta mereka beri peluang atau kita hanya menjadi pembangkang kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Peranan saya di peringkat Persekutuan maka kita akan bagi komitmen penuh untuk membantu segala usaha dalam menyelesaikan isu ini. Saya percaya ada jalannya selain akan mendekati perkara ini sebagai satu isu asas kepada warga Kelantan.

Saya masih ramai saudara mara di Kelantan, ramai yang WhatsApp memberitahu kadang-kadang ada masalah air di Kelantan. Secara langsung saya katakan ia bukan di bawah saya tetapi mereka meletakkan harapan yang besar.

Segala kementerian di bawah saya melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), kita akan cari jalan penyelesaian terbaik. Saya percaya ada jalan dan sama ada kerajaan negeri nak ikut serta atau tidak, itu terpulang pada mereka.

Tentulah banyak dalam isu ini jatuh di bawah bidang kuasa mereka tetapi apa yang berada di bawah bidang kuasa saya maka saya akan cuba bantu. Sekiranya mereka nak ikut serta, ia bukanlah satu masalah walaupun berbeza parti.

Klik di sini untuk terus membaca