SEBAIK keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) diumumkan, kontestasi politik etnik dan agama menjadi jelas sementara faktor kelas, perbandaran, literasi, persempadanan dan ideologi politik tenggelam sehingga Parlimen tergantung. Keputusan... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAIK keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) diumumkan, kontestasi politik etnik dan agama menjadi jelas sementara faktor kelas, perbandaran, literasi, persempadanan dan ideologi politik tenggelam sehingga Parlimen tergantung.

Keputusan terkini dari 222 kerusi di Dewan Rakyat menunjukkan bahawa 82 adalah di bawah Pakatan Harapan (PH) termasuk satu dari Muda, 74 Perikatan Nasional (PN), 30 Barisan Nasional (BN), 23 Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan 6 Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diikuti dengan calon Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan Bebas (2). 148 dimiliki oleh Kerajaan Perpaduan, penggabungan di bawah kerajaan campuran kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala PN kekal sebagai pembangkang.

Senario ini membawa kepada persoalan bagaimana angka ini menggambarkan pengundi Melayu menyokong PN manakala pengundi bukan Melayu melengkapkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Keyakinan sokongan dengan trend yang sama dijangka oleh sebahagian pemerhati untuk menyelusuri kedudukan sokongan PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala sokongan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor di Pilihan Raya Negeri (PRN) dikatakan masih berpihak kepada penggabungan baharu walaupun akan ada aliran sokongan yang berbeza dari sebelumnya.

Hatta, politik etnik dan agama dianggap masih relevan. Barangkali, selagi jalur pembentukan parti adalah pada garis etnik dan agama, mustahil untuk mengeluarkan entiti tersebut daripada gelagat pola pengundian di Malaysia.

Ada juga beranggapan ia adalah politik sempit tetapi dalam gelanggang politik, tidak ada istilah sempit atau luas melainkan ‘ruang’, ‘akses’, ‘peluang’ dan ‘infra’ disambut dengan dana membolehkan manifestasi pengurusan persepsi melonjakkan sokongan kepada politik kepartian masing-masing.

Bukan mengejutkan jika ada yang berubah pendirian mengikut kesesuaian semasa apabila cuba memberi maksud kepada anjakan sokongan walaupun ia boleh menjejas imej luaran masing-masing.

Pada masa sama, ada dorongan ke atas usaha mengekalkan keharmonian agar sentimen ini tidak keterlaluan sehingga terkeluar daripada kerangka Perlembagaan dan Rukun Negara.

Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain diamal oleh penganutnya. Namun, apabila ia menjadi bahan kempen untuk meraih sokongan, adakalanya ia digerakkan di luar batasan sensitiviti yang boleh mengundang kegelisahan umat walau apa anutannya. Tindakan secara berterusan boleh membawa kepada permusuhan. Apabila ia disilang dengan konstruk inter dan intra etnik, seolah-olah ia sukar diatasi.

Politikus harus menjadi contoh yang diteladani ramai dan media sosial juga wajar dijadikan landasan untuk berkongsi pandangan dan maklumat yang berasas. Perbalahan boleh dielak jika paparan membawa kepada isu perkauman.

Sistem perundangan sedia ada memadai dan wajar digunakan untuk mengambil tindakan dan memantau agar suasana tidak berubah kepada kesangsian, prasangka dan etnosentrik palsu. Kontestasi politik tidak boleh bergerak ke arah ‘yang menang, menang semuanya; yang kalah, kalah semuanya’.

Kebergantungan antara satu sama lain melangkaui prinsip politik akan membolehkan kita bergerak ke arah masa depan yang jauh lebih baik tetapi ia memerlukan keazaman politik yang matang.

Siapa mendapat laba politik Melayu, jaguh segmentasi Melayu-Islam berbanding pengundi lain, proses pemindahan undi dalam kalangan penyokong PH dan BN; serta pengundi atas pagar boleh menentukan survivaliti mana-mana blok parti pada PRN nanti.

Pengundi boleh menjadi luar jangka jika parti dan pemimpin menggunakan pendekatan menarik dan unik. Kaedah pelbagai dimensi perlu menjadi induk dalam mendekati pembaharuan lanskap politik tanah air yang kekal dinamik sehingga hari ini.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca