SHAH ALAM - Cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berlanjutan sehingga Ogos ekoran perubahan kitaran musim kepada Monsun Barat Daya.
Pakar Klimatologi, Dr Fredolin Tangang menjelaskan, monsun tersebut mengakibatkan cuaca paling kering dengan suhu maksimum melebihi 35 darjah Celsius, terutamanya di Semenanjung Malaysia.
"Apa yang kita alami sejak seminggu ini mengikut ramalan yang dikeluarkan oleh Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat adalah pergerakan pusat tekanan tinggi yang bergerak dari Lautan Hindi merentasi Malaysia dan menghalang perolakan.
"Perolakan terhalang bermakna kurang pembentukan awan dan meningkatkan insolasi iaitu sinaran matahari sampai ke permukaan bumi. Ia meningkatkan pencerapan haba oleh permukaan bumi dan meningkatkan suhu.
"Ketiadaan hujan juga mengurangkan faktor penyejukan dan orang ramai perlu elakkan pembakaran terbuka kerana kualiti udara semakin tidak baik disebabkan keadaan cuaca kering dan panas seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan cuaca panas ketika ini dijangka berpanjangan sehingga Ogos dan menyebabkan beberapa negeri di Utara dan Pantai Timur terkesan teruk berbanding kawasan lain.
Jumaat lalu, daerah Jeli, Kelantan merekodkan cuaca panas pada gelombang haba tahap dua yang suhu hariannya mencecah 40 darjah Celsius.
Dalam pada itu Fredolin menjelaskan, ketika ini negara masih berada di perantaraan monsun yang dipengaruhi oleh fenomena Ayunan Madden-Julian.
Beliau berkata, keadaan itu kebiasaannya mengakibatkan cuaca terutama barat Semenanjung Malaysia mengalami hujan dan rebut petir pada sebelah petang dan malam.
"Hujan ini biasanya menjadi faktor penyejuk dan suhu tidak tinggi seperti musim Monsun Barat Daya. Bagaimanapun sejak seminggu ini keadaan cuaca di Malaysia dan rantau sekitar dipengaruhi oleh fenomena Ayunan Madden-Julian.
"Fenomena ini adalah sebahagian daripada keragaman semula jadi cuaca dan iklim di kawasan tropika, selain dilihat sebagai gangguan yang muncul di kawasan Lautan Hindi yang bergerak ke Lautan Pasifik merentasi Malaysia dan Indonesia,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca