TIDAK sampai setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, sudah kedengaran pegawai-pegawai menteri yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dek kerana rasuah. Terbaru, seorang pegawai kanan menteri dicekup dalam satu... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK sampai setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, sudah kedengaran pegawai-pegawai menteri yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dek kerana rasuah.

Terbaru, seorang pegawai kanan menteri dicekup dalam satu serbuan oleh SPRM, difahamkan penahanan itu dipercayai berhubung isu pengambilan pekerja asing.

Sebenarnya, kisah pegawai-pegawai menteri yang ditahan oleh SPRM bukan sesuatu yang baharu, malah pada era kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan juga pernah terjadi.

Timbul persoalan, kenapa pegawai-pegawai ini berani membuat onar meskipun sudah diketahui umum bahawa perjuangan Kerajaan Perpaduan adalah menghapuskan rasuah, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri melaungkan tidak akan berkompromi dengan perbuatan rasuah.

Namun realiti yang berlaku adalah sebaliknya, penahanan pegawai-pegawai ‘kiri kanan’ menteri ini, semakin membimbangkan seolah-olah menggambarkan jawatan itu menjadi lubuk untuk mereka ‘menyakau’ duit.

Menurut Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Dr Hamdan Daniel M Sharib, situasi yang berlaku ketika ini amat membimbangkan kerana imej kerajaan sedikit sebanyak tercalar oleh perbuatan mereka.

Menyifatkan perkara ini seperti harapkan pegar, pegar makan padi, Hamdan menegaskan, pegawai-pegawai yang dilantik ini sepatutnya menggunakan kuasa dan kedudukan mereka untuk memerangi rasuah serta memberi imej yang baik di mata rakyat.

"Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Penahan pegawai-pegawai oleh SPRM ini bukanlah sesuatu yang sihat tetapi amat memalukan negara dan merugikan rakyat keseluruhannya,” katanya kepada Sinar Premium.Menurutnya, seharusnya pegawai yang dilantik ini tahu kedudukan mereka dan faham akan keburukan rasuah, yang mana jika dilakukan akan memberi impak besar terhadap kemaslahatan negara.

"Jika pegawai ini tahu akan tanggungjawab sebenar, pasti mereka tidak akan mengamalkan rasuah atau menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi melebihi kepentingan negara,” ujar beliau.

KETERBUKAAN

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin pula berpendapat, keterbukaan Kerajaan Perpaduan menjalankan siasatan terhadap pegawai-pegawainya adalah suatu tindakan yang menunjukkan komitmen baik dalam merealisasikan hasrat memulihkan negara daripada barah rasuah.

Bagaimanapun tegasnya, penglibatan pegawai-pegawai ini boleh dilihat sebagai red flag yang tidak boleh terus dibiarkan.

Katanya, mekanisme kecekapan dalam pelaksanaan tadbir urus kerajaan baharu ini harus diteliti dan disemak semula iaitu melibatkan mekanisme pengawasan serta amalan tadbir urus yang harus dilihat sebagai agenda utama setiap kementerian, jabatan atau institusi.

Tegasnya lagi, ini penting agar sebarang salah laku dapat dipantau segera.

"Selanjutnya kepakaran dan pengalaman dalam menguruskan sumber mahu pun sebarang kewangan awam juga adalah penting untuk diberi perhatian kerana sebarang kesilapan oleh mana-mana pihak tidak dapat dikompromi kerana ia melibatkan hak dan amanah kepada rakyat.

"Selain itu, budaya tertentu yang membuka ruang dan peluang rasuah harus dihalang segera agar ia tidak terus mengakar serta menggugat perkhidmatan yang telus dan menjejaskan peranan pegawai tertentu yang seharusnya menjadi pelindung kepada sumber awam,” ujarnya.

Beliau berkata, selain siasatan, langkah proaktif perlu diambil segera oleh Kerajaan Perpaduan untuk review and reflect semula keupayaan berdasarkan kekuatan kementerian dan agensi masing-masing.

"Keteguhan nilai dan prinsip yang ditanam secara serius kepada pegawai serta kakitangan kerajaan akan memberi sebuah anjakan baharu kepada nilai etika dan budaya kerja bernilai tinggi yang sudah lama diharapkan oleh semua pihak.

"Penting juga untuk sebarang siasatan dilakukan kepada mana-mana pihak, memenuhi tuntutan prosedur perundangan yang berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh tanpa pengaruh mana-mana pihak,” jelas beliau.

Menurut Nurhayati, reformasi institusi harus dilaksanakan seiring reformasi etika dan nilai yang menjadi tunjang integriti sesebuah kerajaan.

"Justeru, siasatan tanpa pilih kasih dan berat sebelah tentunya akan menjadi penanda aras penting terhadap komitmen kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil dan saksama agar rakyat benar-benar berkeyakinan bahawa ia berintegriti dan protransparensi,” ujarnya.

REFORMASI UNDANG-UNDANG

Sementara itu, Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai pula berpendapat, perlakuan buruk pegawai-pegawai itu perlu diatasi dengan memastikan reformasi perundangan berkaitan antirasuah dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Penyiasatan terhadap pegawai menteri dengan kadar segera, merupakan petanda bahawa Kerajaan Perpaduan komited melawan rasuah dan tidak campur tangan dalam siasatan SPRM, walaupun dalam kalangan pegawai mereka sendiri,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan perlu menambah baik sistem sedia ada dengan memperkenalkan akta-akta khas untuk membanteras rasuah.

"Contohnya, kita patut ada undang-undang yang membolehkan kerajaan menyiasat dari mana datang kemewahan luar biasa dimiliki oleh sesetengah ahli politik dan penjawat awam.

"Pelan Antirasuah Nasional patut dilaksanakan secepat mungkin. Jadi reformasi perundangan ke arah ini perlu segera dilakukan,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca