TAK berapa hari saja lagi, kita bakal menyambut Aidilfitri. Dulu-dulu kita selalu lihat foto ucapan selamat hari raya di kaca televisyen (TV) mahupun di dada akhbar. Tatkala pembaca teruja melihatnya, rupa-rupanya perantau ini juga turut... Klik di sini untuk terus membaca

TAK berapa hari saja lagi, kita bakal menyambut Aidilfitri. Dulu-dulu kita selalu lihat foto ucapan selamat hari raya di kaca televisyen (TV) mahupun di dada akhbar. Tatkala pembaca teruja melihatnya, rupa-rupanya perantau ini juga turut teruja.

Kerana itu, seminggu sebelum raya, mereka sudah siap bergambar dengan baju raya masing-masing. Meskipun kini sudah ada media sosial yang membolehkan gambar raya dikongsi bukan saja dengan teman di tanah air, malah di seluruh dunia, tradisi menghantar gambar atau video dengan ucapan hari raya untuk disiar di TV dan akhbar tempatan tetap tidak dilepaskan.

Tiket pulang ke Malaysia sudah begitu mahal. Dengan tukaran wang £1 bersamaan RM5.46, tiket penerbangan dua hala boleh mencecah sehingga RM7,000 (£1,300). Nampaknya, lebih ramailah rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) yang terpaksa pasrah beraya sebagai perantau tahun ini.

Berdasarkan bancian terkini, ada kira-kira 35,000 rakyat Malaysia yang tinggal di UK. Meski jumlahnya tak sebesar mana berbanding 67.33 juta rakyatnya, mereka ini biasanya tidaklah begitu kenal sesama sendiri. Masing-masing dihujani kesibukan melewati rutin harian sama ada sebagai pelajar, pekerja mahupun peniaga.

Namun Ramadan yang muncul saban tahun secara tidak langsung membolehkan rakyat Malaysia di UK bersua dan merapatkan silaturahim. Di London misalnya, bermula dengan majlis berbuka puasa hingga tarawih, Dewan Malaysia London berdekatan Bayswater terus meriah saban malam.

Makanan berbuka biasanya ditaja secara bergilir-gilir oleh pemilik restoran-restoran Melayu di sekitar London.

Selain itu, seperti di Malaysia, masjid di UK juga dipenuhi jemaah yang ingin menyertai majlis berbuka puasa. Ada kira-kira 2,000 buah masjid di UK dan kebanyakan daripadanya terletak di London.

Yang paling popular tentulah London Central Mosque di Region’s Park, juga dikenali sebagai Regent’s Park Mosque. Ia popular kerana dua sebab. Pertama, kerana ia merupakan Pusat Kebudayaan Islam di UK dan kedua, tentulah kerana juadah berbuka puasanya.

Rakyat Malaysia juga tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman berbuka puasa di sana bersama-sama jemaah dari pelbagai rantau dan negara. Lebih menarik, dengan hanya £3, orang ramai boleh ikut menyumbang dana bagi jemaah lain berbuka puasa di sana.

Ada juga komuniti Melayu yang bersepakat menganjur majlis berbuka puasa terutama di luar London seperti Manchaster dan Nottingham. Kebiasaannya usaha ini diterajui mereka yang lebih berusia ataupun telah berkeluarga, merangkap kakak serta abang kepada pelajar bujang. Dengan konsep ‘potluck’, kerinduan terhadap Bazar Ramadan mungkin boleh terubat. Hampir semua jenis juadah asas Bazar Ramadan terhidang depan mata.

Apabila tinggal kurang seminggu sebelum 1 Syawal, masing-masing mula kalut membuat persiapan raya. Tapi tak seperti di Malaysia, di sini tiada keghairahan membeli baju atau kasut raya mahupun menukar wang. Sebaliknya, yang lebih diutamakan adalah persiapan juadah di pagi raya.

Video masakan cef selebriti seperti Che Nom mula ditelek. Meskipun di UK bahan mentah untuk dibuat juadah raya mudah didapati, namun lemang buluh dan ketupat palas tak mungkin boleh disediakan secara tradisional. Tapi jangan terkejut jika tiba-tiba ada pula lemang siap bersalut daun pisang terhidang di pagi raya. Rasanya seperti lemang asli. Inilah namanya Lemang Perantau.Ia biasanya disediakan beberapa hari lebih awal.

Beras pulut dan santan yang telah dikukus akan dipadatkan dalam gulungan daun pisang membentuk silinder berdiameter seperti buluh. Selepas dibalut kejap dengan kertas aluminium, ia akan disejuk beku. Di pagi raya, Lemang Perantau akan dipanggang agak garing dan dimakan panas-panas. Pagi raya di bandar-bandar yang ramai komuniti Malaysia lebih meriah.

Di London contohnya, dengan berbusana indah, mereka akan berpusu-pusu ke Dewan Malaysia bagi menunai solat sunat raya. Tahun lepas sahaja, ada tiga pusingan solat raya di sana.

Bukan apa, tak lengkap rasanya andai solat sunat raya tidak diiringi alunan takbir raya versi Malaysia yang begitu merdu dan mendayu lenggoknya. Meskipun takbir raya ada juga dilaungkan di masjid-masjid lain, namun kemerduannya tak sama. Laungan takbir raya mereka lebih mendatar dan ringkas.Usai solat sunat raya, tradisi ‘berkelah’ di taman seperti Hyde Park sambil menikmati juadah raya diteruskan. Diselang-seli dengan acara merakam gambar kenang-kenangan.

Sebenarnya, Ramadan dan Aidilfitri di perantauan ini tidaklah begitu sepi dan syahdu. Bagi mereka yang berada nun jauh di tanah air- ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri dari kami di UK!’

* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.

Klik di sini untuk terus membaca