MENGEMBALIKAN kerancakan sektor pelancongan di kawasan Batu Feringghi, masalah kesesakan jalan dan isu perumahan antara isu penting yang akan diberi penekanan oleh AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA, SYERLEENA ABDUL RASHID.
Pengalaman menjadi Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selama tiga tahun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima penggal lalu akan digunakan beliau untuk menangani semua isu utama tersebut.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI bersama Syerleena menerusi ruangan Agenda YB pada kali ini.
SINAR HARIAN: Bermula sebagai Ahli Majlis MBPP selama tiga tahun (2015-2018), kemudian dipilih sebagai ADUN Seri Delima pada PRU14, dan kini menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera, apa isu utama yang YB akan bawakan?
SYERLEENA: Saya akan mengembalikan Batu Ferringhi sebagai permata pelancongan di Pulau Pinang. Sektor pelancongan adalah sektor yang paling terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan yang berlarutan selama hampir tiga tahun. Walaupun kita lihat sektor pelancongan di kawasan Georgetown hampir kembali pulih, malangnya di Batu Ferringhi masih serba kekurangan.
Batu Feringghi menjadi suram antaranya kerana pelancong mempunyai banyak pilihan lain, kesesakan lalu lintas serta keadaan pejalan kaki yang tidak selamat untuk pelancong, keadaan pantai yang tidak bersih dan pesisiran pantai yang tidak terurus membuatkan ramai pelancong lebih suka ke Georgetown atau pergi ke Langkawi.
Isu kedua yang saya akan bawakan adalah isu perumahan di Padang Tembak. Flat-flat di situ adalah antara yang pertama didirikan di Pulau Pinang dan keadaan kemudahan fasiliti sangat usang, infrastuktur juga perlu dijalankan kerja-kerja pembaikan. Usaha itu memerlukan peruntukan yang banyak. Demografik penduduk di sekitar kawasan Padang Tembak adalah golongan warga emas maka, pentingnya untuk kerajaan menyediakan kualiti fasiliti yang lebih baik.
Laluan pejalan kaki juga dilihat perlu mesra OKU, warga emas serta penyelenggaraan fasiliti awam seperti lif perlu dilaksanakan dengan lebih baik dan efisen. Saya dapati, isu sama juga dihadapi oleh penduduk di Kampung Warisan Tanjung Tokong dan Flat UDA.
Menangani isu-isu perumahan memerlukan perbincangan yang lebih terperinci dari semua pihak iaitu kerajaan pusat, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan pihak berkaitan.
Apa isu besar di Pulau Pinang yang sejak dahulu yang YB nampak masih belum diselesaikan?
Isu kesesakan lalu lintas (trafik) terutamanya di kawasan Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah. Jalan-jalan yang sedia ada tidak mampu lagi menampung kapasiti kenderaan yang semakin bertambah. Tambahan pula, Batu Ferringhi adalah salah satu tempat pelancongan yang popular di Pulau Pinang.
Dalam Pakej 1 Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, ia melibatkan pembinaan lebuh raya menghubungkan jalan pesisir pantai utara Tanjung Bungah-Teluk Bahang. Saya berharap pihak berkaitan mengambil tindakan segera untuk meluluskan projek ini supaya ia dapat dilaksanakan segera untuk membantu penduduk di kawasan tersebut selain pengunjung luar yang datang ke sini untuk bercuti.
Selain itu, infrastruktur yang usang di Batu Ferringhi dilihat amat perlu ditangani segera. Ini kerana, lokasi tersebut antara tarikan pengunjung apabila ke Pulau Pinang. Dengan adanya Kerajaan Perpaduan ini, saya berharap hubungan kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan diperbaiki. Saya akan gunakan kesempatan ini untuk menangani isu Batu Feringghi dan akan memastikan ia akan dilaksanakan tanpa sebarang prejudis.
Isu lain, ialah masalah penjaja tidak berlesen. Saya merasakan, daripada mengambil tindakan, kerajaan perlu membina astaka dan kompleks makanan yang lebih banyak supaya dapat memberi peluang kepada peniaga-peniaga tidak berlesen ini.
Bagaimanapun, perkara ini memerlukan perbincangan yang teliti bersama pihak berkuasa tempatan dan politik dalam mewujudkan peluang kepada semua lapisan masyarakat.
Pembinaan kereta kabel di Bukit Bendera mendapat tentangan hebat daripada banyak pihak terutamanya NGO yang memperjuangkan keselamatan alam sekitar. Apa peranan YB dalam isu ini?
Projek ini memerlukan pemantauan daripada semua pihak yang berkenaan. Saya percaya Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Penilaian Impak Sosial dan faedah-faedah ekonomi telah diberi perincian yang amat teliti.
Projek-projek seperti ini sebenarnya bukan baru, success story boleh dilihat (sebagai bukti) di Langkawi, iaitu kereta kabel Langkawi yang telah menerima banyak anugerah antaranya Prix Acer Awards 2005 daripada Swiss Institute of Steel Construction, Switzerland, Footbridge Awards 2005 daripada Swiss Institute of Steel Construction, Switzerland dan Malaysia Book of Records iaitu The Longest Free Span Single Rope Cable Car dengan jumlah panjang 919.5 meter.
Kereta Kabel Bukit Bendera sebenarnya akan dibina mengikuti spesifikasi dan garis panduan yang ketat. Kereta kabel ini adalah alternatif yang mampu mengurangkan kesesakan akibat peningkatan kapasiti pengunjung ke pusat peranginan itu. Bagaimanapun, kebimbangan yang seringkali disuarakan oleh NGO-NGO dan orang awam juga perlu diambil kira, untuk semak dan imbang supaya pembinaan dapat dilakukan secara telus selain keselamatan alam sekitar dapat dilindungi.
Apa perancangan YB untuk menarik lebih ramai pelancong ke lokasi tumpuan pelancong di bawah Parlimen Bukit Bendera antaranya Bukit Bendera dan Batu Feringghi?
Dalam rancangan saya, kita akan memperbanyakkan lagi program-program pelancongan yang melibatkan hotel-hotel di kawasan Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi. Promosi melalui media biasa perlu diteruskan selain promosi melalui media sosial juga perlu ditingkatkan lagi.
Saya ingin membawa idea Arts in the Park dan Batik Fest yang pernah saya anjurkan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima dahulu ke peringkat Parlimen Bukit Bendera.
Program-program seperti ini saya lihat dapat membantu penggiat seni kreatif tempatan untuk mempromosikan barangan tempatan serta memberi ruang kepada penduduk kawasan untuk lebih mengenali keindahan seni, budaya dan menikmati produk-produk pelancongan tempatan.
Sebagai 'orang lama' di Pulau Pinang, isu apa lagi akan diberi penekanan?
Isu yang penting lain yang akan diberi penekanan adalah untuk memperkasakan golongan OKU dan pelajar-pelajar yang memerlukan pendidikan khas.
Pada masa yang sama, barangkali kadar Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) sebanyak RM300 sebulan dan Elaun Pekerja OKU (EPOKU) sebanyak RM450 sebulan perlu dikaji semula memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.
- PROFIL
Nama: Syerleena Abdul Rashid
Asal: Pulau Pinang
Tarikh lahir: 31 Ogos 1980
Status: Berkahwin
Kelulusan: Graduan Seni Halus dari Universiti Sains Malaysia
Parti: DAP sejak 2013
Jawatan: Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (2015-2018) Jawatan terkini: Ahli Parlimen Bukit Bendera