PASCA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), polemik ‘kluster mahkamah’ yang sinonim dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin UMNO kini sudah bertukar tangan kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Satu... Klik di sini untuk terus membaca

PASCA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), polemik ‘kluster mahkamah’ yang sinonim dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin UMNO kini sudah bertukar tangan kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Satu demi satu pemimpin PN termasuk Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sedang dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sewaktu Ahli Parlimen Pagoh itu menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kini dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka diadakan dalam tempoh dua bulan lagi, di samping prestasi Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih belum meyakinkan rakyat, timbul tanda tanya sama ada peralihan status kluster mahkamah kepada PN dan Bersatu akan benar-benar menjejaskan peluang kemenangan blok pembangkang kelak.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dan DIANA AZIS bersama Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, DATUK SERI HAMZAH ZAINUDDIN dalam membicarakan peluang blok pembangkang untuk memenangi PRN di enam negeri, status kluster mahkamah yang dihadapi oleh PN, prestasi semasa Kerajaan Perpaduan dan kontroversi hubungan antarabangsa dihadapi Wisma Putra ketika ini.

SINAR HARIAN: Menjelang perayaan Aidilfitri, pastinya ahli Parlimen pembangkang berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan rakyat susulan ketiadaan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan. Bagaimana Datuk Seri dan rakan-rakan ahli Parlimen lain mendepani keadaan ini?

HAMZAH:
Apabila menjadi wakil rakyat, penting untuk kami membantu rakyat dan banyak cara yang boleh dilakukan antaranya meluahkan segala perasaan yang ada di dalam Parlimen. Kita bangkitkan pelbagai isu supaya kerajaan sedar apa yang disampaikan adalah sesuatu yang datang daripada rakyat. Apabila kita dapat jawapan yang boleh membantu rakyat, ini menunjukkan peranan kita sudah terbukti nyata menjadi perantaraan antara rakyat dan kerajaan. Dari segi masalah fizikal seperti jalan rosak, saya boleh hubungi jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk maklumkan perkara itu.

Apa yang penting adalah peruntukan yang selalu diberikan bukan setakat untuk baiki jalan, tetapi yang diperlukan secara terus dan secepatnya. Contoh apabila berlaku ribut, ada kawasan yang terjejas dan peruntukan itu perlu untuk wakil rakyat bantu mereka yang perlukan. Tetapi kerajaan hari ini, yang dikatakan Kerajaan Perpaduan terbukti tidak benar mahu menyatukan, melihat perpaduan berlaku di dalam negara ini.

Kalau kita mempunyai pembangkang, ia adalah kumpulan yang credible dan dapat menjadi the balancing act terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan. Kalau ada tindakan kerajaan yang kurang baik, maka kita (pembangkang) akan bagi tahu. Jika ada permintaan (contoh) isu pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang diminta oleh rakyat, kita bawa perkara itu di Parlimen. Ia membuktikan bahawa walaupun kerajaan ini adalah Kerajaan Perpaduan, mereka perlukan satu kumpulan yang boleh menjadikan kerajaan bertambah baik kerana mereka tahu ada kumpulan lain melihat apa yang dilakukan. Saya rasa rakyat menerima ini sebagai konsep yang boleh diguna pakai di masa hadapan.

Jadi saya mahu memberitahu rakyat bahawa kerajaan yang kononnya Kerajaan Perpaduan, tidak memberi peruntukan langsung kepada pembangkang. Maka terpaksalah kita mencari kaedah lain dan saya sudah umumkan kita akan cuba buat crowdfunding supaya dapat bantu rakyat dan mereka yang memerlukan selain menguruskan kawasan ahli Parlimen pembangkang.

Hamzah ketika sesi wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini.
Hamzah ketika sesi wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini.
Hamzah ketika sesi wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini.
Hamzah ketika sesi wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini.
Hamzah ketika sesi wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini.

Difahamkan satu pasukan perundingan ditubuhkan oleh pembangkang dengan Datuk Seri sendiri menjadi ketua untuk berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Bagaimana Datuk Seri melihat rundingan ini?

Apabila kita mempersoalkan dalam Parlimen, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan jelas menyatakan bahawa beliau bersetuju (beri peruntukan) namun perlu ada rundingan. Saya sudah bercakap banyak kali dan beliau ajak berunding. Bagaimana saya nak berunding sedangkan tiada jemputan (untuk perbincangan), dia Perdana Menteri. Bukan saya tidak mahu pergi tetapi saya tidak dipanggil ke pejabat beliau.

Saya juga ada maklumkan kepada rakan-rakan Perdana Menteri, dahulu ketika saya mewakili kerajaan, kita lakukan memorandum persefahaman (MoU), saya mengepalai di peringkat kerajaan. Saya menjemput pembangkang untuk berbincang dan bawa kepada mesyuarat kabinet. Jadi sepatutnya kita harapkan perkara yang sama berlaku.

Saya difahamkan minggu lepas sudah ada perbincangan antara Ketua Whip kerajaan dan pembangkang. Sepatutnya sudah ada tatacara yang ditentukan bagi perbincangan selanjutnya. Dari situ sudah ada putik-putik untuk memanggil diri mereka Kerajaan Perpaduan.

Pada saya apa sahaja cara yang dilakukan untuk mengikat pembangkang, walaupun dengan kaedah penggunaan MoU, yang penting rakyat dapat memahami caranya.

Mendepani PRN enam negeri, bagaimana perkembangan terkini proses perundingan kerusi pilihan raya antara parti-parti dalam PN?

Perbincangan untuk menentukan kerusi dalam kalangan parti komponen sudah bermula sebelum pilihan raya baru-baru ini. Selepas itu kita teruskan, jadi bila ada perbincangan, beberapa perkara kita akan lihat secara menyeluruh. Kita ada jawatankuasa perundingan kerusi yang berperanan untuk berbincang.

Kita lakukan secara terperinci supaya memahami apa kehendak rakyat, calon yang bagaimana rakyat mahu, sokongan bagaimana untuk memenangkan PN. Oleh itu, perbincangan harus dilakukan bukan setakat bila dah sampai pilihan raya, kita lakukan sehingga wujud jabatan pilihan raya dalam PN. Ia merangkumi isu calon, sokongan, ahli-ahli, bagaimana nak promote, semua itu diambil kira.

Bagaimana pula dengan permohonan parti-parti lain seperti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai PN menjelang PRN enam negeri? Adakah PN sudah buat keputusan?

Apabila menempuh sesuatu cabaran, kita kena lihat dari mana datangnya cabaran itu. Pada saya, nak melihat kejayaan dalam pilihan raya maka sudah tentu cabaran kita untuk mendapatkan seberapa banyak sokongan supaya dukungan yang diterima melebihi daripada pihak lawan.

Jadi kita harus memikirkan tanggungjawab mereka untuk menjadi sahabat dalam agenda yang sama. Apabila kita lakarkan satu agenda yang besar kepada rakyat, sesiapa sahaja yang mahu bersama agenda yang benar-benar berkepentingan, kalau semua parti komponen yakin kita boleh bersama kerana agenda itu sesuatu yang bersama dengan ideologi mereka, maka boleh difikirkan.

Baru-baru ini parti Pejuang mohon untuk menyertai PN, tetapi kita tolak sebab tidak boleh sesuatu kumpulan, kalau nak bersama (menyertai) mempunyai cara dan syarat tertentu, tidak boleh (sertai). Sepatutnya perlu ada perbincangan untuk bersama atas agenda yang satu, kemudian baru fikir pembahagian kerusi dan sebagainya. Itu bab terakhir dan yang penting, ideologi dalam mana-mana parti boleh bersama dalam keadaan kita yang telah menggariskan agenda tertentu untuk kepentingan rakyat.

Ramai pemerhati politik melihat PN sukar menawan tiga negeri dikuasai PH atas faktor gabungan ini sukar mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu. Bagaimana Datuk Seri sendiri melihat perkara itu?

Pada saya kalau kerajaan hari ini melakukan sesuatu yang baik, mereka boleh menarik minat orang ramai dan pengundi-pengundi untuk memberi sokongan kepada mereka. Ini bukan soal ambil kira pengundi Melayu atau bukan Melayu. Tetapi kalau mereka tidak boleh melakukan sesuatu untuk kepentingan rakyat dengan tempoh mereka mentadbir kerajaan sudah hampir enam bulan, tidak boleh selesaikan masalah utama rakyat menjelang PRN enam negeri, saya fikir rakyat akan lebih tahu dan boleh menilai siapa pihak lebih baik untuk memimpin negara pada masa hadapan.

Jadi sokongan pengundi itu bukan atas sifat Melayu atau bukan Melayu, tetapi atas sifat tanggungjawab kerajaan.

Datuk Seri dikaitkan dengan man behind the scene dalam banyak perkara besar melibatkan kepentingan negara termasuk insiden MH17 dan MH370. Boleh Datuk Seri kongsikan kisah rundingan dua insiden itu.

Saya rasa tidak payah ceritalah mengenai kisah itu, tetapi oleh kerana sudah ditanya, saya jawab. Saya sebenarnya lebih bersifat ‘strategist’ berbanding mempunyai sifat mahu menonjol ke hadapan. Cuma hari ini bezanya adalah saya duduk di hadapan sebagai Ketua Pembangkang. Itu yang menyebabkan orang tertanya-tanya siapa sebenarnya Hamzah ini. Kalau masa rundingan penyelesaian insiden kapal terbang MH17 ditembak di Ukraine, saya ketika itu mengetuai jawatankuasa khas mengendalikan kebajikan next of kin mangsa-mangsa penumpang.

Saya pergi ke Beijing untuk berbincang dengan kerajaan China untuk menyelesaikan masalah tuntutan waris mangsa penumpang dari negara ini yang maut dalam insiden berkenaan. Orang tidak tahu pun perkara itu, sehingga satu ketika saya dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas berkenaan.

Di Beijing, ada satu hotel, 900 bilik diguna pakai oleh next of kin mangsa penumpang rakyat China. Kerajaan terpaksa membayar kos penginapan dan keperluan waris-waris mangsa berkenaan sehingga RM1 juta sehari. Hampir tiga minggu, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib (Tun Razak) memaklumkan yang kerajaan bersetuju melantik saya sebagai ketua pasukan khas perundingan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Saya bersama delegasi pergi berjumpa dengan wakil kerajaan China dan akhirnya kita berjaya menyelesaikannya dalam tempoh tidak sampai dua hari. Ia pun berjaya hasil beberapa cara yang dirundingkan bersama dengan pihak Beijing. Ini memberikan perasaan rapatnya antara China dan Malaysia ketika itu. Ia memberi sesuatu perkara positif.

Jadi, hubungan bilateral bermula ketika itu dan semakin meningkat saban tahun kerana kepercayaan Beijing terhadap Wisma Putra sewaktu saya menjadi Timbalan Menteri Luar amat kukuh. Ini menyebabkan Malaysia-China percaya antara satu sama lain. Selain itu, banyak lagi perkara penting melibatkan konflik luar yang saya selesaikan. Contohnya seperti insiden kehilangan kapal terbang MH370 dan masalah pasangan ibu bapa memukul anak di Sweden kerana tidak solat. Saya berjaya membawa pulang keluarga berkenaan secara sembunyi-sembunyi.Banyak isu-isu konflik rakyat Malaysia di luar negara yang saya berjaya selesaikan, namun perkara itu terselindung. Sebab itu orang banyak tidak tahu saya sering memainkan peranan di belakang tabir dalam menyelesaikan isu diplomasi dan konflik rakyat Malaysia di luar negara.

Bagaimana Datuk Seri melihat prestasi Perdana Menteri setakat ini baik dari sudut ekonomi, kecekapan pentadbiran dan soal hubungan bilateral khususnya mengambil kira insiden di Saudi dan ketelanjuran kata dalam soal kedaulatan Malaysia di Laut China Selatan dalam mendepani tuntutan China?

Kalau hendak cerita apa yang Perdana Menteri ke-10 lakukan, ia tidak konsisten. Contohnya dalam lawatan kerja ke Turki dan sebaik pulang ke Malaysia, beliau terus mengumumkan kejayaan membawa pulang pelbagai bentuk pelaburan baharu. Kemudian beliau pergi ke Arab Saudi (lawatan kerja rasmi). Anwar balik sahaja ke Malaysia, beliau mengelak daripada soalan wartawan (berkenaan hasil lawatan itu). Seterusnya beliau pergi ke China dan sebaik sahaja pulang, beliau terus bercerita mengenai kejayaan membawa pulang nilai komitmen pelaburan jangka panjang daripada negara berkenaan yang terbesar dalam sejarah.

Jadi pada saya, beliau kena konsisten dengan apa yang telah dilakukan. Kalau lawatan kerja itu membawa pulang hasil baik, bagi tahu sahaja perkara baik itu. Tetapi kalau sesuatu lawatan kerja itu gagal, tidak payah malu untuk meminta maaf dan mengakui kesilapan atau kelemahan beliau, menteri atau kementerian yang bertanggungjawab. Apa salahnya mengaku buat silap?

Sama juga bila Anwar balik daripada lawatan kerja di luar negara, beliau perlu buat satu kenyataan rasmi yang sahih. Jadi ia mengelakkan daripada kerajaan menyampaikan maklumat silap atau keterlanjuran kata sehingga akhirnya mengancam kedaulatan negara dari tangan negara asing. Sebab kadang-kadang pemimpin ini merasakan diri mereka angkuh sehingga menganggap apa sahaja yang diperkatakan kepada rakyat adalah fakta yang betul. Bila beliau menyampaikan fakta tidak betul, akan timbul masalah susulan.

Saya pernah jadi Timbalan Menteri Luar, jadi saya tahu ayat-ayat diplomatik yang perlu dijaga demi menjamin kedaulatan negara serta hubungan bilateral dengan negara lain. Tersilap cakap, boleh menyebabkan kedaulatan negara terancam. Seorang bekas duta mengadu dan mempersoalkan konteks ayat digunakan kerajaan berhubung isu kenyataan kontroversi Datuk Seri Anwar yang menyatakan kerajaan bersedia berunding dengan China berkenaan kawasan kedaulatan Malaysia di Laut China Selatan.

Saya jawab yang saya sebagai Ketua Pembangkang, tidak mungkin saya hendak bangkang semua perkara. Sebabnya kalau saya timbulkan isu ini, masalah akan menjadi semakin besar. Bila bertambah besar, konteks ayat diucapkan Perdana Menteri itu diguna pakai negara luar, lagi susah negara kita hendak mempertahankan hak kedaulatan wilayah kita. Sebab itu saya tunggu sahaja panggilan daripada Perdana Menteri.

Kalau beliau merasakan perlu untuk panggil saya, saya sedia hadir untuk jumpa. Saya juga bersedia memberitahu beliau perkara apa yang sepatutnya dilakukan dan benda apa yang perlu dihentikan kerajaan. Yang penting, kita perlu membina negara ini secara bersama. Ini bukan soal Perdana Menteri hendak menjadi ‘pelakon utama’ sahaja. Perdana Menteri sebagai pemimpin dalam waktu kita sedang membangunkan negara, pastinya akan mendapat nama.

Tidak usah hendak berlagak pandai sehingga kenyataan Perdana Menteri menimbulkan bermacam-macam masalah susulan. Tidak boleh secara terbuka untuk kita bincangkan wilayah-wilayah tertentu negara kita bersama kerajaan negara lain. Ini kerana kita mahu menjaga wilayah kedaulatan negara selama-lamanya. Pasal apa kita hendak bincangkan hak kita sendiri dengan orang lain.

Datuk Seri dan Datuk Seri Anwar sudah berkecimpung dalam bidang politik sudah begitu lama dengan masing-masing turut memiliki sejarah hubungan tersendiri. Adakah Datuk Seri Anwar benar-benar mempunyai keperibadian dan perwatakan diperlukan sebagai seorang tokoh politik antarabangsa?

Saya akan jelaskan begini. Saya mengenali beliau sebagai seorang kawan dan sekarang saya mengenalinya sebagai seorang Perdana Menteri. Saya pula memulakan karier sebagai seorang ahli perniagaan dan bukan terus menjadi ahli politik. Dahulu saya pernah rapat dengan Anwar sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan. Pada masa sama, saya mula memainkan sedikit peranan di belakang tabir dalam UMNO. Hubungan sebegitu mewujudkan kemesraan susulan saya kenal beliau agak dekat.

Sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan, saya dapat melihat Anwar dikelilingi oleh penasihat-penasihat yang bagus dengan beliau dengar pandangan mereka. Selepas peristiwa pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 dan Anwar meninggalkan kerajaan selama 25 tahun ini, saya rasa Perdana Menteri ini sudah semakin hilang kefahaman mengenai kepentingan hubungan bilateral dan hal-hal rasmi negara yang lain.

Mengenai Anwar, beliau merasakan yang beliau tahu segala-galanya. Itu masalah pokok utama yang dihadapi Anwar dan kerajaan dipimpinnya ketika ini. Saya fikir mereka yang bersama dengan Anwar perlu menasihati beliau untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan rasmi atau terlebih dahulu mendapatkan input tepat daripada pegawai-pegawai kementerian berkaitan.

Ketidakhadiran Datuk Seri dalam sesi pertanyaan kepada Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat dikritik pihak kerajaan. Apa sebenarnya berlaku?

Saya tidak mahu jawab dan saya tidak mahu kritik sesiapa. Yang penting, biarlah sesuatu yang dilakukan itu benar-benar atas kepentingan rakyat dan bukan atas kepentingan hendak dapat anugerah sebagai ‘pemimpin negara paling mahsyur’.

Sebagai contoh, Saidina Umar Al-Khattab. Beliau bukan menjadi pemimpin utama untuk tempoh lama. Lebih kurang dua tahun. Tetapi sehingga hari ini, orang menceritakan kehebatan pentadbiran Makkah dan Madinah di bawah pimpinan beliau. Bukan waktunya untuk bermuka-muka, tetapi agenda keikhlasan membantu rakyat, ummah dan negara itulah yang bakal diambil kira dan diingati seluruh rakyat sampai bila-bila.

Ada spekulasi mengatakan terdapat gerakan untuk menukar Datuk Seri daripada kedudukan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat dengan Ahli Parlimen PN lain. Sejauh mana kebenaran dakwaan itu?

Siapa yang menyebarkan dakwaan itu? Hakikatnya spekulasi itu adalah sebahagian daripada agenda politik Kerajaan Perpaduan untuk melaga-lagakan kami. Mereka yang menyebarkan dakyah itu, bukan pihak kami. Jadi, saya tidak peduli. Bila berhadapan dakyah sebegini, semua pemimpin PN mengetahui bahawa kami sentiasa bersatu. Saya tidak peduli dengan pandangan atau tuduhan orang luar.

Jangan hanya kerana saya tidak menghadiri sidang Parlimen untuk seketika waktu, mereka menganggap saya tidak tahu apa perkara sebenar berlaku. Saya tidak hadir ke Parlimen pun bukan atas sebab disengajakan. Tetapi saya perlu menjalani pembedahan memulihkan retina mata kiri saya yang bermasalah akibat penyakit katarak. Minggu pertama selepas pembedahan dilakukan, saya terus menghadiri sidang Parlimen. Namun keadaan mata saya menjadi semakin teruk selepas itu.

Saya terpaksa menjalani pemeriksaan semula keadaan mata saya dan ia menjadi semakin membengkak. Oleh itu, doktor yang merawat mata saya menjelaskan keadaan kesihatan tidak mengizinkan saya untuk terus menghadiri sidang Parlimen selama dua minggu. Hal ini kerana kebimbangan beliau dengan keadaan mata kiri saya bakal bertambah teruk. Saya juga telah menyerahkan sijil cuti sakit selama dua minggu itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Ya, terdapat satu hari persidangan Parlimen yang saya tidak hadir secara sengaja. Itu pun kerana saya perlu mengiringi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes pendakwaan rasuah dan pengubahan wang haram ke atas beliau. Ketika itu, cuaca panas dan sinaran matahari sangat terang. Keadaan mata kiri saya pada ketika itu sangat teruk sehingga menjadi hampir buta. Saya terus bergegas pulang dan pada keesokan hari, saya menerima cuti sakit daripada doktor.

Keadaan kesihatan saya sememangnya serius. Sebab itu saya tidak peduli pelbagai spekulasi dilemparkan ke atas saya. Saya hanya berdoa kepada ALLAH SWT agar kelompok mereka yang memfitnah saya menerima hidayah-Nya.

Klik di sini untuk terus membaca