DALAM laporan khas Sinar Ahad, keputusan kerajaan menarik balik larangan penjualan mercun dan bunga api selepas 25 tahun diharamkan mencetuskan pelbagai reaksi daripada rakyat khasnya para aktivis.
Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sewaktu membuat keputusan itu berkata, kerajaan khasnya pihak berkuasa akan tetap mengawal dari segi sumber penjualan dan pengimportan produk berkenaan.
Ia bermakna, tidak semua jenis mercun dan bunga api yang ‘dihalalkan’ oleh kerajaan untuk dipasarkan kepada pengguna bagi meraikan ketibaan Syawal nanti.
Wartawan turun padang melihat sendiri perkembangan aktiviti jual beli mercun dan bunga api di beberapa negeri seluruh Semenanjung.
ADA 60 SEN DAH BOLEH MAIN BUNGA API
DI Kuala Pilah, penjualan mercun dan bunga api secara terbuka sempena sambutan Aidilfitri di sekitar daerah ini kembali meriah terutamanya bunga api jenis pop-pop.
Ia berikutan harganya serendah RM0.60, begitu juga bunga api jenis happy boom yang dijual RM1 hingga RM7 seikat iaitu sekitar lapan hingga 10 batang.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Ida, 40-an berkata, ramai dalam kalangan pelanggannya membeli dua jenis bunga api itu berikutan ia mudah kendalikan.
"Saya hanya menjual bunga api yang dibenarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk jualan umum sempena musim perayaan,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Muhammad Khalish Zachariah, 33, kebenaran yang diberikan kerajaan dalam penjualan mercun dan bunga api itu diharap tidak disalah guna oleh peniaga.
"Ibu bapa pun perlu memantau anak-anak masing-masing kerana dibimbangi mereka membeli mercun dan bermain tanpa pengetahuan keluarga.
"Salah cara pengendaliannya ketika membakar mercun boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.
Warga emas, Assan Kidam, 75, pula mengakui hanya membeli mercun untuk tujuan menghalau binatang liar seperti monyet.
"Kalau bunga api sesuailah untuk dijual secara terbuka tetapi risiko tetap ada. Harap ibu bapa pantau anak-anak bermain kerana ia melibatkan penggunaan api,” katanya.
Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian di daerah ini, orang ramai mudah mendapatkan barangan tersebut apabila banyak yang dijual di tepi jalan termasuk bazar raya.
Mereka turut menawarkan diskaun harga sehingga hampir 50 peratus sekiranya pelanggan membeli barangan tersebut dengan jumlah yang banyak.
MERCUN DAS 30 JADI PILIHAN
MERCUN das 30 menjadi tumpuan orang ramai di daerah ini bagi meraikan ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Seorang peniaga, Mohd Farid Jimi, 26 dari Mentakab memberitahu, selain mercun das 30, mercun naga dan bunga api turut laris di pasaran.
Menurutnya, ia antara bahan jualan yang terdapat di gerainya selepas kerajaan membenarkan penjualan mercun dan bunga api dengan syarat-syarat yang ditetapkan pada tahun ini.
"Sambutan orang ramai bagi saya tetap memuaskan walaupun situasi ekonomi kurang sikit tahun ini. Saya yakin jualan lebih bertambah rancak menjelang Aidilfitri nanti,” kata Mohd Farid.
Ditanya corak perbelanjaan pelanggan, dia memberitahu, secara kasar pengguna membelanjakan hingga RM200 untuk membeli mercun dan bunga api bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.
Tambahnya, peluang yang diberikan oleh kerajaan yang membenarkan penjualan mercun dan bunga api memberikan peluang kepada rakyat sepertinya dapat mencari pendapatan tambahan pada musim perayaan.
PENIAGA MERCUN OTAI TERPAKSA BERSAING
JUMLAH penjual mercun dan bunga api yang meningkat susulan kebenaran oleh kerajaan pada tahun ini, menyebabkan para peniaga ‘otai’ barangan itu berdepan persaingan sengit untuk meraih keuntungan.
Tinjauan di beberapa lokasi di Kota Bharu mendapati, sesebuah kawasan berniaga seperti pasar awam mempunyai lima hingga 10 peniaga.
Urus niaga juga rancak dilakukan secara langsung dalam talian di platform-platform digital seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Seorang peniaga mercun dan bunga api yang ingin dikenali sebagai Tina, 47, berkata, hasil jualan berkurangan apabila terpaksa bersaing dengan ramai ‘penjual segera’ pada musim perayaan.
"Orang ramai pula berjimat cermat menyebabkan jualan tidak semeriah tahun-tahun biasa sebelum Covid-19 walaupun banyak peniaga mercun dan bunga api muncul pada kali ini.
"Setakat 15 Ramadan, hasil jualan saya sekitar RM1,000 sehari berbanding RM3,000 yang diraih setiap hari sebelum ini,” katanya.
Dia yang sudah 20 tahun berniaga mercun dan bunga api berkata, modal pada tahun ini juga meningkat sehingga RM3 kerana permintaan tinggi daripada peniaga kecil-kecilan.
"Tahun lepas bunga api RM12, boleh dapat dalam 100 batang tetapi tahun ini sudah RM17 untuk jumlah sama.
"Saya juga terpaksa menaikkan harga mercun gesek RM3 sekotak kecil berbanding RM2 sebelum ini,” katanya.
'BELI MERCUN TANPA PERLU MENYOROK'
PENGUMUMAN kerajaan menarik balik larangan penjualan mercun dan bunga api menyaksikan wujudnya gerai jualan bahan bakar itu hampir di serata tempat terutama di pusat beli-belah.
Rata-rata orang ramai yang ditemui di Johor Bahru menyambut baik langkah kerajaan menarik balik larangan berkenaan.
Malah gerai menjual mercun dan bunga api pada tahun ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang mahu mendapatkannya tanpa perlu menyorok atau diselubungi rasa bimbang akan ditahan pihak berkuasa.
Bagi Fazilah Harun, 46, langkah kerajaan membenarkan penjualan mercun dan bunga api ada baiknya kerana memberi peluang kepada orang ramai membeli di pasaran terbuka.
"Mula-mula itu risau juga...dah kenapa pula kerajaan tiba-tiba benarkan mercun dan bunga api ini dijual, tapi bila tengok semua yang dijual bukannya mercun dan bunga api yang berbahaya.
"Cuma dari segi harga, saya dapati agak mahal berbanding dahulu...mungkin sebab harga barang naik di pasaran sekarang.
"Tapi saya ambil kesempatan ini untuk belikan anak-anak saya mercun dan bunga api, sebab mereka tak pernah pun main benda-benda ni. Hendak tambah seronok masa raya nanti,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca