BERDASARKAN situasi mutakhir ini, kita perlu lebih berhati-hati dengan kegiatan scammer yang akan lebih berleluasa dan bermaharajalela. Hal ini disebabkan oleh scammer sedang menunggu mangsa seterusnya berikutan pelaksanaan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2).
FSA2 ini bertujuan untuk membolehkan ahli KWSP yang berkelayakan membuat permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun bagi memperolehi pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.
KWSP juga telah mengumumkan permohonan sebanyak lebih 70,000 telah diterima di bawah FSA2 setakat 14 April lalu, seramai 34,643 permohonan yang layak berjumlah RM722 juta.
Angka ini berkemungkinan akan meningkat dan boleh mencecah nilaian berjumlah lebih RM1 bilion. Jumlah ini begitu besar dan amat penting bagi rakyat Malaysia khususnya penerima FSA2 untuk lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dengan kerugian disebabkan oleh scammer.
Tentu sekali penerima FSA2 akan menggunakan wang yang diperolehi untuk menyelesaikan hutang yang ada atau membayar hutang yang tertunggak.
Bakinya akan diperuntukkan sebahagiannya untuk membeli barangan keperluan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi.
Kemungkinan juga, terdapat penerima FSA2 akan menyimpan sebahagian wang tersebut untuk keperluan ketika kecemasan atau keadaan di luar jangka nanti.
Penerima FSA2 perlu lebih berhati-hati agar scammer tidak menyasarkan kepada mana-mana penerima FSA2 ini dan amat penting untuk tidak menguar-uarkan kepada umum bahawa mereka telah menerima FSA2 serta sentiasa menjaga dan memastikan keselamatan maklumat peribadi terpelihara.
Penerima FSA2 juga dinasihatkan tidak memuat turun sebarang bentuk dokumen atau aplikasi yang mencurigakan yang datang daripada sumber yang tidak sahih.
Pelbagai laporan daripada pihak berkuasa menunjukkan aktiviti scammer berleluasa di kalangan rakyat daripada pelbagai peringkat.
Sebagai contoh, sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) memaklumkan penipuan cinta atau love scam antara penipuan tertinggi di negara ini yang mencatatkan kerugian RM365 juta dengan sebanyak 7,286 kes direkodkan sejak 2018 sehingga Februari 2023 dan 82.5 peratus atau 6,008 mangsa adalah wanita.
Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian yang mana pada banyak ketika scammer akan menyamar untuk memperdayakan mangsa.
Mereka juga pada banyak ketika tidak memberikan banyak masa dan ruang serta sentiasa memberikan tekanan kepada prospek untuk membuat bayaran dengan kadar segera.
Taktik mereka adalah dengan mencipta situasi dalam keadaan prospek terpaksa menekan butang panik dan mengikut arahan daripada scammer.
Di sini perkara paling penting untuk kita laksanakan adalah dengan mengabaikan sahaja semua arahan daripada scammer dan meminta mereka menghantar surat rasmi sekiranya scammer menyamar sebagai pihak berkuasa.
Penting untuk kita hanya berurusan melalui surat rasmi sahaja agar kita dapat mengelak daripada dipengaruhi oleh scammer. Melalui surat rasmi yang diterima, kita mempunyai masa untuk berfikir dan seterusnya membuat semakan sama ada surat yang diterima tersebut adalah benar ataupun palsu.
Sikap terlebih mempercayai seseorang tanpa membuat penyelidikan dan semakan latar belakang seseorang juga boleh menyebabkan berlaku keadaan yang mana seseorang berpotensi terpengaruh dengan scammer.
Pokok pangkalnya, sekiranya kita mengambil masa, tenang, berfikir dan membuat semakan sebelum membuat keputusan, pada banyak ketika kita akan terlepas daripada scammer.
Musuh paling utama scammer adalah tenang, mengambil masa, berfikir dan membuat semakan.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca