PERSAINGAN politik antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah begitu lama membayangi politik tanah air. Tentunya terlalu jauh untuk sesiapa menoktahkan pencapaian politik Perdana Menteri ke-10 (PM10) – permulaan lebih 100 hari memaparkan bibit-bibit kejayaan di samping beberapa isu kontroversi yang tidak terlalu besar. Sebaliknya, timbul peluang untuk akhirnya menoktahkan persaingan peribadi antara kedua-dua figura besar negara.
Meskipun sepanjang abad ini sahaja, negara telah dipimpin oleh empat Perdana Menteri lain – Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri – cengkaman pengaruh dua individu yang menjadi subjek nukilan ini tidak pernah pudar daripada pentas politik negara.
Namun, setiap era akan berakhir. Kini, setelah tiba giliran Anwar menjadi ‘pemenang’ dalam saga berpanjangan merentasi hampir tiga dekad, ada peluang untuk negara beralih daripada paradigma Mahathir-Anwar kepada satu era baharu.
Ironinya, dalam kes ini, hanya orang yang sedang menang itu yang boleh menamatkan perseteruan. Umum mengetahui Tun Mahathir tidak akan berdiam diri, apapun umur dan situasinya. Beliau akan tetap bersuara, menulis, dan memberi tekanan. Intonasi dan pengisian kata-kata Tun secara amnya, akan hendak menggambarkan bahawa zaman beliau lebih baik dari mana-mana zaman selain beliau. Hal ini bukan satu kejutan kepada sesiapa. Ini adalah Tun, dan beliau tak akan berubah. Ia adalah faktor malar dalam arena politik negara.
Faktor yang mampu berubah ialah respons Anwar. Beliau mempunyai pilihan untuk keras menyerang legasi Tun Mahathir, sepertimana ucapan dalam Kongres Parti Keadilan Rakyat, di mana dakwaan nepotisme dilemparkan terhadap seorang yang telah berkuasa 22 tahun dan 22 bulan – tidak syak lagi siapa yang dimaksudkan.
Beliau juga punyai pilihan untuk menjawab apabila Tun Mahathir mencabar agak bukti dakwaan itu diberikan jika tidak mahu berdepan tindakan saman di mahkamah.
Setakat ini, nampaknya itulah pilihan yang diambil oleh Anwar – yakni masuk gelanggang dan lawan. Sekiranya pendekatan ini berpanjangan, maka persaingan dua personaliti ini bukan hanya akan berterusan tetapi mampu mula membayangi tafsiran awam terhadap pentadbiran PM10 sendiri. Ini kerana, setiap pukulan akan dibalas pukulan – dan tanpa sebarang bukti kukuh, tiada kesudahan melainkan negara akan menyaksikan adegan balas-membalas antara dua tokoh yang masing-masing punyai kesan tersendiri terhadap negara.
Dalam senario seperti di atas, tidak mustahil untuk timbulnya rasa simpati terhadap Tun Mahathir. Benar, beliau tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Benar, rasa sanjung rakyat terhadap beliau barangkali telah pudar setelah tempoh menjadi Perdana Menteri buat kali kedua. Malah, sebahagian rakyat Malaysia menyalahkan beliau atas ketidakstabilan politik yang bermula dari tahun 2020.
Namun, orang Melayu, khususnya, tinggi dengan sifat mengasihani dan simpati andai timbul tanggapan bahawa seseorang yang telah ‘rebah’ terus ditekan. Adakalanya, orang sama yang menyokong tindakan menjatuhkan juga menjadi orang yang pertama kasihan.
Apatah lagi apabila individu yang dimaksudkan itu lanjut usianya, dan juga punya impak legasi kepada negara. Suka atau tidak, masih wujud generasi rakyat Malaysia yang menyamakan zaman Tun Mahathir dengan zaman Malaysia yang disegani.
PM10 wajar mengambil kira sifat dan kemungkinan ini tatkala beliau akan terus menghadapi cabaran mengurus pelbagai aspek cabaran dalam pentadbiran, baik dari sudut ekonomi mahupun politik dalaman Kerajaan Perpaduan.
Tun Mahathir masih ada kemampuan menangkap perhatian dan tiada jaminan bahawa dalam pertarungan balas membalas, hanya satu akan tercedera.
Tambahan lagi, kali ini berbeza dengan kes-kes sebelum di mana Tun Mahathir menyerang suatu pentadbiran atau seseorang Perdana Menteri. Kali ini, tidak ada skandal besar mahupun kemarahan memuncak rakyat terhadap kerajaan, untuk menjadikan Tun Mahathir sebagai ikon sesuatu penolakan. Malah, Tun Mahathir tidak lagi dilihat sebagai alternatif menggantikan pemimpin sedia ada. Maka, dalam keadaan nothing to lose, kira-kira untung rugi memihak kepadanya, bukan kepada Anwar. PM4/7 akan terus ‘menjual’, tetapi buat PM10, tiada keperluan ‘membeli’.
Perlu diakui, nukilan di atas ialah congakkan rasional. Tidak semua dalam politik ialah rasional. Setelah melalui onak dan duri peribadi dahsyat yang bertitik mula dengan apa yang berlaku antaranya dan Tun Mahathir hujung abad lalu, sebagai manusia biasa tentunya PM10 sudah lama memendam perasaan.
Tidak terkejutlah jika ada hati kecil yang tetap mahu memasuki gelanggang untuk memberi pukulan KO kepada seteru politik lama.
Cuma, setelah akhirnya mencapai cita-cita tertangguh menjadi Perdana Menteri, ini bukan hanya peluang untuk melakar babak seterusnya dalam kisah Malaysia – sebagai jelmaan landasan idea dan falsafah beliau – tetapi juga untuk mengarang babak paling utama dalam cerita peribadi sendiri. Semua Perdana Menteri ada cita-cita sebegini. Tidak semua mampu mencapainya.
Jika PM10 mahu menjadi antara Perdana Menteri yang meninggalkan kesan dan legasi teramat besar dalam imaginasi rakyat Malaysia setara seterunya, maka tindakannya mesti sesuai dengan zaman dan konteks.
Sepertimana digambarkan di atas, dalam zaman dan konteks sekarang, sifirnya lebih memihak untuk Anwar menumpukan usaha dan naratif kepada pentadbiran dan reformasi yang digembar-gemburkan selama ini. Apatah lagi, atas faktor sejarah dan jalan cerita politiknya sendiri, ada suatu pengharapan yang diletak atas bahu PM10 untuk mengubah kedudukan negara misalnya dalam hal ekonomi, pembanterasan rasuah, dan imej di mata dunia – pengharapan yang barangkali lebih besar dari lazim.
Pencapaian hakiki dalam arena-arena ini, sekali gus membuktikan kepada yang masih meragui – sebenarnya inilah yang mampu menjadi kemenangan mutlak yang dicari atas seteru sama, bukannya dengan memasuki gelanggang perbalahan terbuka.
Kita telah kenal Anwar era tokoh pembangkang lantang – era yang bermula dengan perbalahan bersama Mahathir. Kini peluang untuk PM10 menjadi penerbit dan pengarah era Anwar sebagai negarawan. Terserah kepada beliau untuk mempengaruhi Anwar mana yang akan lebih diingati kelak.
* Shahril Hamdan ialah bekas Ketua Penerangan UMNO, yang kini Pemimpin Muda Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Felow di Rajaratnam School of International Studies (RSIS).
Klik di sini untuk terus membaca