SHAH ALAM - Rata-rata rakyat Malaysia terutama yang sudah berkeluarga didapati berbelanja besar sehingga RM5,000 untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.
Tinjauan secara dalam talian oleh Sinar Harian mendapati 46 peratus daripada kira-kira 200 responden yang sudah berkeluarga membelanjakan antara RM1,000 hingga RM5,000.
Sebanyak 30 peratus lagi memperuntukkan RM500 hingga RM1,000 manakala 24 peratus mengatakan mereka berbelanja melebihi RM5,000.
Undian menerusi Twitter Sinar Harian yang melibatkan hampir 900 responden pula mendapati 52 peratus golongan bujang berbelanja sebanyak RM200 hingga RM700 bagi membeli kelengkapan Aidilfitri sementara 29 peratus menggunakan antara RM700 hingga RM2,500 wang mereka.
Selain itu, 19 peratus lagi memperuntukkan lebih RM3,000 untuk perbelanjaan Aidilfitri.
Menjawab soalan mengenai jenis perbelanjaan yang mereka lakukan, sebanyak 69 peratus responden mengatakan mereka membelanjakan wang untuk membeli pakaian baharu manakala hanya tujuh peratus mahu menukar perabot baharu.
Secara keseluruhan, majoriti rakyat Malaysia menggunakan duit gaji mereka sebagai sumber kewangan bagi tujuan perbelanjaan Aidilfitri.
Hanya 22 peratus memberitahu mereka menggunakan duit bonus atau insentif daripada majikan untuk membeli keperluan perayaan, 13 peratus lagi menggunakan duit simpanan dan melalui pinjaman (lima peratus).
Kajian tentang trend perbelanjaan Aidilfitri itu berlangsung selama 24 jam di Twitter Sinar Harian bermula Sabtu lalu.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengingatkan sambutan Aidilfitri yang sebenar bukanlah diukur dengan berbelanja besar sebaliknya ia perlu disambut dengan penuh rasa syukur selepas sebulan menjalani ibadah puasa.
"Al-Quran ajar kita supaya berbelanja sederhana dan tidak boleh boros dan membazir.
"Selain itu kita tidak boleh lokek serta kedekut. Semua perkara dalam Islam ajar supaya lakukan perbuatan dengan sederhana walaupun kita mampu (dari segi kewangan),” katanya.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Mohammad Noorizuddin Nooh pula berkata, berbelanja secara berlebihan berlaku apabila seseorang mengutamakan persepsi pihak ketiga semata-mata mahu dipandang tinggi.
"Sekarang dapat dilihat trend pembelian besar-besaran pada bulan Ramadan seperti kenderaan sama ada baharu atau terpakai.
"Namun ada pembelian itu bukan untuk keperluan sendiri tetapi kerana persepsi orang sekeliling, jadi bila dah habis raya mula pening nak bayar,” katanya.
Tambah beliau, sikap boros dalam membeli baju raya juga berlaku kerana ramai yang membeli lebih daripada sehelai sehingga mencecah ribuan ringgit.
"Mereka fikir jika beli baju berharga RM60, pakaian mereka akan sama dengan orang lain, tiada yang luar biasa. Jauhi sikap biar papa asal beraya, sebaliknya bersederhana dalam berbelanja supaya tidak menyesal kemudian hari,” tegasnya.
Sanggup terbang dari Sarawak untuk rasai kemeriahan Jalan TAR
Sementara itu, seorang pemuda sanggup terbang dari Sarawak bagi mendapatkan barangan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini.
Menurut Abdul Zainul Abd Talib, 21, semenjak 2019 lagi dia datang ke Kuala Lumpur bagi membeli kelengkapan seperti baju Melayu dan songkok.
"Biasanya saya akan tempah tiket awal-awal, jadi bolehlah dapat harga murah.
"Di sini (Jalan TAR) ada bermacam-macam barangan, lagipun harganya agak murah. Tapi saya tetap buat pilihan dengan hati-hati supaya dapat lebih kepuasan.
"Saya juga ada singgah ke lokasi lain seperti bazar di Danau Kota bagi dapatkan keperluan lain.
"Kebetulan pula saya ada urusan kerja di sekitar Kuala Lumpur, jadi kesempatan itu saya gunakan sebaiknya,” kata anak kelahiran Kuching itu.
Sementara itu, Zulkifli Mat Piah, 60, dari Sarikei, Sarawak berkata, saban tahun dia dan isteri tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke ibu negara bagi mendapatkan kelengkapan raya.
Jelasnya yang sudah berada di sini semenjak Khamis lepas, ratusan ringgit dibelanjakan bagi membeli kelengkapan seperti baju Melayu untuk anak dan cucunya sempena hari lebaran.
"Alhamdulillah, sambil-sambil itu saya nak ambil kesempatan juga rasai kemeriahan bulan Ramadan di sini memandangkan tidak lama lagi ia akan habis,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca