KUALA LUMPUR - Rata-rata peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di sini mengakui jumlah keuntungan jualan Aidilfitri tahun ini meningkat sehingga RM7,000 sehari berbanding tahun lalu. Menurut seorang peniaga seluar, Mazlan Nobit,... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Rata-rata peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di sini mengakui jumlah keuntungan jualan Aidilfitri tahun ini meningkat sehingga RM7,000 sehari berbanding tahun lalu.

Menurut seorang peniaga seluar, Mazlan Nobit, 42, dia memperoleh sekitar RM7,000 sehari sekurang-kurangnya sejak seminggu sebelum raya.

Jelasnya yang menjual seluar berjenama Timberland dan Dockers, jika pada awal Ramadan lalu, nilai jualan yang dicatat adalah sekitar RM5,000 sehari.

"Untuk mengusahakan jualan ini saya bersama ahli keluarga keluarkan modal keseluruhan sebanyak RM100,000 bagi mendapatkan produk secara terus dari pembekal di China dan Klang, Selangor.

"Alhamdulillah, memang tahun ini keuntungannya besar, tidak seperti semasa pandemik Covid-19 dahulu. Ini memang sinar baharu buat kami.

"Kami juga terima pelanggan yang ramai dari Pantai Timur, Sabah dan Sarawak,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu kepada Sinar Harian, Sabtu lalu.

Ujar anak kelahiran Hulu Langat itu, dia akan memanjangkan lagi tempoh perniagaannya sehingga lewat pagi bagi memberi peluang orang ramai membeli-belah di gerainya.Sementara itu, peniaga kain samping, Che Danish Hazieq Che Mazlan berkata, dia turut menerima peningkatan jumlah pelanggan menjelang perayaan.

"Kalau hari biasa, samping tenunan tangan yang dijual ini saya peroleh RM300 satu hari, tapi sekarang ada dalam sekitar RM700 ke RM1,000 sehari.

"Insya-ALLAH, waktu perniagaan pun akan dipanjangkan lagi bagi memeriahkan suasana beli-belah saat akhir sebelum lebaran,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati tidak semua pelanggan sanggup berbelanja besar bagi persiapan Aidilfitri.

Nurnabilah
Nurnabilah

Menurut Nurnabilah Yusry, 28, dia hanya membelanjakan sebanyak RM200 untuk membeli kelengkapan sempena hari lebaran.

"Memandangkan saya penjawat awam, gaji dan bonus kami masuk awal sempena Aidilfitri tahun ini, jadi sangat penting untuk kawal perbelanjaan terlebih dahulu.

"Memadailah untuk saya belanjakan RM200 bagi membeli baju kurung,” katanya yang menetap di Kampar, Perak.

Sementara itu, juruteknik hospital, Arif Hamdan, 24, berkata, dia membelanjakan sebanyak RM500 bagi membeli kelengkapan raya.

Arif

Jelas pemuda dari Teluk Intan, Perak itu, jumlah tersebut tidak boleh lari daripada kiraan keseluruhan perbelanjaan sempena hari raya.

"Baju raya sekarang pun harganya sudah beratus-ratus ringgit, jadi nak tak nak tak boleh larilah.

"Tapi untuk perbelanjaan lain seperti membeli juadah di bazar Ramadan itu kena potong sedikitlah, banyak juadah yang naik harga sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mazlina Syakira Zainal Abidin, 40, menyatakan dia sentiasa bersederhana dalam berbelanja bagi membeli keperluan hari lebaran.Ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu, sekitar RM700 ke RM800 dibelanjakan untuk membeli-belah raya.

"Kami sekeluarga cuma tiga orang iaitu saya, suami dan seorang anak perempuan. Jadi, seorang sudah boleh dapat baju raya dengan harga RM200.

"Pakai pun sehari saja, hari raya kedua dan ketiga, kita pakai baju lama balik,” katanya.


5 lokasi popular shopping raya di Lembah Klang
1. Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR)

Boleh dikatakan lokasi paling popular di negara ini. Rasa tidak lengkap shopping raya kalau tidak pernah datang ke sini.

2. Jalan Masjid India

Terletak tidak jauh dari Jalan TAR, popular dengan potongan harga jualan malam raya.

3. Jakel Mall Kuala Lumpur

Menawarkan baju Melayu, baju kurung hingga baju kanak-kanak dalam satu bangunan.

4. Bangi Sentral

Terkenal dengan pelbagai butik popular seperti Calaqisya, Wanzar, Calaqisya, Sugarscarf dan banyak lagi.

5. PKNS Shah Alam

Ada macam-macam pakaian raya yang sesuai untuk si bujang dan keluarga.

* Lokasi ini bukan sahaja popular dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur dan Selangor malah menerima kunjungan pelangan dari seluruh negara untuk mencari baju raya, kuih raya dan bermacam-macam kelengkapan lebaran.

Klik di sini untuk terus membaca