SHAH ALAM - Orang ramai disaran mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti perbanyakkan minum air, memakai pakaian selesa yang sesuai dan mengehadkan aktiviti luar sepanjang fenomena cuaca panas berpanjangan di negara ini. Pakar Perubatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Orang ramai disaran mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti perbanyakkan minum air, memakai pakaian selesa yang sesuai dan mengehadkan aktiviti luar sepanjang fenomena cuaca panas berpanjangan di negara ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, ia berikutan keadaan cuaca itu boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada kesihatan manusia sekiranya tidak berjaga-jaga dari awal.

Ujar beliau, cuaca panas boleh menyebabkan masalah dehidrasi di mana pengeluaran peluh yang banyak mengurangkan jumlah kandungan air di dalam badan.

"Ini boleh menyebabkan dehidrasi yang boleh memberi kesan buruk kepada fungsi badan dan organ.

"Selain itu, jika badan terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh terlalu lama, ia boleh menyebabkan strok haba.

"Strok haba berlaku apabila suhu badan terlalu panas dan tidak mampu lagi menyesuaikan suhu badan dengan cuaca panas,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Jelasnya, cuaca panas berpanjangan turut menyebabkan sakit kepala dan serangan migrain.

"Bagi mereka yang berpenyakit migrain, serangan boleh menjadi kerap dan berpanjangan,” ujarnya.

Ulas Dr Mohd Dzulkhairi, jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini pula memberi masalah kesihatan seperti asma dan gangguan pernafasan kepada orang ramai.

"Jerebu boleh membawa partikel-partikel yang kecil dan berbahaya untuk pernafasan dan menyebabkan penghidap asma mendapat serangan asma atau lelah.

"Jerebu juga boleh menyebabkan masalah pernafasan pada orang yang mempunyai penyakit paru-paru atau masalah pernafasan lain.

"Bagi mereka yang sebelum ini tidak mempunyai asma atau masalah paru-paru, jerebu boleh juga menyebabkan rasa tidak selesa kepada seseorang itu apabila dia bernafas,” jelas beliau.

Aktivis gesa masyarakat lapor pembakaran terbuka

Sementara itu, masyarakat diminta mengambil tang-gungjawab dengan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang aktiviti pembakaran terbuka di kawasan masing-masing.

Presiden Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin berkata, kerjasama daripada masyarakat penting untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap si pelaku.

"Penglibatan masyarakat setempat memang akan membantu kerana tindakan hanya akan dibuat selepas berlaku kebakaran. Jika terdapat kerjasama semua pihak ia akan memberi impak yang baik.

"Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap larangan pembakaran terbuka tetapi pencegahan itu tidak dilaksanakan dengan baik,” ujarnya.

Menurut Hafizuddin, masalah kekurangan anggota penguat kuasa juga antara faktor isu tersebut sukar dibendung dengan lebih awal agar tindakan itu mampu menyelamatkan keadaan.

Katanya, keprihatinan penduduk tempatan secara tidak langsung membantu menangani perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Kerajaan juga tegasnya, digesa agar tidak meluluskan projek pertanian di kawasan hutan tanah gambut dan melakukan pemetaan kawasan berisiko terbakar.

"Setakat ini bukan isu pembakaran terbuka sahaja perlu diberi perhatian, sebaliknya pemerkasaan perlu dilakukan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca