BAGI mereka yang membesar di era 1970-an dan 1980-an, tentu masih ingat lagi nostalgia betapa indahnya menunggu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh Aidilfitri.
Sebenarnya sekitar tahun 1970-an dan awal 1980-an, banyak kampung belum ada elektrik. Waktu itu banyak menggunakan radio sahaja, itu pun yang menggunakan bateri.
Mungkin di sesetengah kampung, adalah seorang dua penduduk kampung yang membeli televisyen hitam putih. Itu pun juga masih menggunakan bateri atau generator.
Jadi waktu itu, ramai anak akan berkumpul mendengar pengumuman hari raya di rumah orang yang ada televisyen tadi seperti menonton filem di pawagam. Ia penuh debaran dan suspens.
Jadi, apa yang diumumkan, itulah yang akan dituruti. Tak timbul waktu itu dan tak juga diketahui pun bilakah negara lain menyambut 1 Syawal.
Tidak jugalah ada suara-suara yang meramal tarikh hari raya sebelum ia diumumkan oleh pemerintah.
Itu dahulu. Kini dengan telefon di tangan, pelbagai macam sumber daripada internet dan segala teknologi pencerapan bulan bintang yang serba moden, orang sudah boleh meramal kehadiran bulan tanpa perlu meneropong lagi.
Ada yang hanya menjejaknya di laman web sahaja. Banyak laman web seperti ini.
Seminggu dua ini, sudah banyak tersebar berita yang meramalkan akhir Ramadan ialah pada Khamis bersamaan 20 April, maksudnya hari Jumaat kita mungkin beraya.
Dengan terlebih tahunya orang awam itu, sama pandainya seperti ahli falak sendiri, timbullah macam-macam idea tarikh 1 Syawal.
Dan pertelagahan tarikh bermulanya hari raya kelihatan sudah menjadi trend masyarakat Islam di seluruh dunia.
Tidak hanya disebabkan oleh pengetahuan manusia yang kian bijak meramal pergerakan bulan bintang tetapi juga perselisihan pandangan kaedah penentuan hukum itu sendiri.
Di Indonesia, selalu terjadi perselisihan tarikh oleh kelompok Muhammadiah dan Nahdatul Ulama.
Tahun lalu, di Iraq di negara yang sama, masyarakat Sunni, Kurdis dan Syiah menyambut raya pada dua hari berbeza.
Di sesetengah tempat, ada pula perselisihan kerana ada yang mahu mengguna pakai bulan yang dilihat di Arab Saudi dan bukan di negara sendiri.
Di negara minoriti umat Islam, adakala penentuan tarikh Syawal hanya bergantung kepada imam masjid yang tentulah mengikut mazhab masing-masing juga.
Akhirnya di bandar kecil seperti di Adelaide, Australia misalnya, ada ketikanya umat Islamnya beraya pada dua tarikh berlainan. Untuk beraya pun, orang tak boleh bersatu.
Dengan jumlah 1.8 bilion masyarakat Islam, bayangkan berapa banyak pula faham tentang kaedah menentukan anak bulan. Kini kita semua alim-alim belaka.
Di Malaysia, secara umumnya kita semua beraya mengikut tarikh yang ditentukan pemerintah.
Tapi keghairahan orang untuk tahu lebih awal tarikh raya kini bukan hanya didorong maklumat dari negara lain tetapi corak hidup kita juga berbeza.
Dahulu ramai daripada kita tinggal di kampung. Kini ramai bekerja di bandar yang perlu bergelut dengan memohon cuti balik kampung. Semuanya perlu dirancang awal.
Itu belum termasuk kesibukan membeli pakaian raya dan menukar wang di bank. Seolah-olahnya tarikh hari raya tak boleh lagi misteri dan suspens.
Tapi ada satu hal lain yang patut kita renungi juga. Jika untuk bersetuju dengan tarikh hari raya pun, umat Islam menjadi kacau bilau, apatah lagi dengan hal lain.
Harus diingat, dianggarkan 40 peratus penduduk dunia yang miskin hari ini ialah orang Islam. Beberapa tahun dahulu, satu jawatankuasa di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membuat anggaran ada sekitar 350 juta orang Islam yang pendapatannya sekitar ASD$1.25 sehari atau sekitar RM5.50 sahaja. Itu pun kita tak pernah bersatu.
Mungkin kerana mana bulan tak lagi didongak di langit dan hanya di telefon bimbit, kita masih sukar memahami realitinya lagi.
Jika kita tak bersatu, kita mungkin sedang merayakan kekalahan.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca