PADA 2011 di bawah program Engineering Change Proposal 618 atau ECP, pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dinaik taraf dengan beberapa kelengkapan baharu untuk memberi peningkatan kuasa tempur. Di bawah program... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 2011 di bawah program Engineering Change Proposal 618 atau ECP, pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dinaik taraf dengan beberapa kelengkapan baharu untuk memberi peningkatan kuasa tempur.

Di bawah program naik taraf itu, pesawat Hornet TUDM dipadankan dengan pod pencarian sasaran baharu, integrasi sistem Joint Helmet-Mounted Cueing System (JHMCS) yang membolehkan pengoperasian paparan sasaran dan persenjataan pada visor helmet juruterbang serta keupayaan menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X.

Pesawat juga dilengkapkan dengan Sistem Penentududukan Global (GPS) untuk kegunaan bom-bom tanpa panduan daripada jenis GBU-31, -32, -38 dan -54 yang apabila dipasangkan pada bom-bom tersebut bakal menjadikan ia sebagai bom pintar atau Joint Direct Attack Munitions (JDAM).

JDAM menggunakan panduan sistem GPS dan inersia melalui komponen khas di pasang pada bom jenis GBU buatan Amerika Syarikat (AS) yang sedia ada dalam inventori TUDM.

JDAM membolehkan pesawat Hornet F/A-18D TUDM menyerang sasaran dalam apa juga keadaan cuaca tanpa masalah dengan ketepatan tinggi walaupun sasaran berada lebih 24 kilometer jauhnya dan pesawat boleh terus meninggalkan lokasi sebaik sahaja sasaran dikenal pasti dan bom dilepaskan.

Dengan peningkatan itu, pesawat Hornet TUDM tidak lagi terlalu bergantung kepada sistem kawalan peluru berpandu panduan optik atau pancaran laser yang kerap gagal berfungsi dengan baik sekiranya terdapat halangan awan tebal atau asap di atas sasaran.

Pada 2011, tahun sama pesawat Hornet F/A-18D TUDM mula menjalani peningkatan program ECP, beberapa insiden berkaitan sistem GPS yang digunakan dalam sistem kelengkapan dan persenjataan mula menimbulkan keresahan terutama dalam kalangan negara-negara Barat.

Pada tahun tersebut, Korea Utara telah berjaya menyekat sistem isyarat GPS Korea Selatan menggunakan sistem penyerakan elektronik (jammer) dipercayai buatan Rusia. Pada tahun sama, sebuah dron pengintip RQ-170 Sentinel milik AS telah dirampas oleh Iran.

Menurut Iran, mereka berjaya mengelirukan data GPS dron, mengambil alih kawalan dan mendaratkannya di salah sebuah lapangan pendaratan di dalam kawasan negara tersebut.

Menyedari ancaman ke atas sistem GPS, pihak Rockwell Collins telah memperbaiki sistem GPS pada bom keluaran firma Boeing itu dengan memasang lebih 225,000 sistem anti-jammer JDAM dalam sistem digunakan AS dan yang dieksport.

Apabila konflik Ukraine/Rusia meletus, ia adalah peluang untuk melihat keberkesanan sistem bom pintar JDAM terhadap lawan yang mempunyai keupayaan peperangan elektronik yang baik.

Pada 7 Mac lalu, Jeneral James Hecker, Komander Tentera Udara Amerika di Eropah (USAFE) mengesahkan AS telah mula membekalkan sejumlah kecil sistem terkini JDAM iaitu JDAM-ER kepada tentera Ukraine.

Berbanding JDAM, JDAM-ER mempunyai jarak pelancaran sehingga 72 kilometer daripada sasaran! Ia diharapkan oleh AS agar mampu menjadi azimat yang bakal mengubah nasib tentera Ukraine di medan tempur.

Tiga hari kemudian, media rasmi Rusia, TASS mengeluarkan kenyataan bahawa pihak Ukraine telah melancarkan JDAM-ER terhadap kedudukan tentera Rusia di Bakhmut yang menjadi rebutan sengit kedua-dua pihak.

Apabila maklumat sulit berkaitan strategi, kelengkapan dan kemampuan tentera Ukraine dibocorkan oleh seorang tentera AS melalui media elektronik dua minggu lalu, antara maklumat terbongkar adalah penilaian berkaitan prestasi sistem JDAM-ER. Ia jelas sekali kurang memberangsangkan.

Menurut laporan itu yang turut disahkan AS sendiri, sembilan bom pintar JDAM-ER telah digunakan dan hanya lima berjaya mengenai sasaran, manakala empat lagi gagal.

Antara sebab kenapa prestasi tidak memuaskan menurut beberapa penganalisis pertahanan adalah akibat langsung daripada kemampuan sistem jammer-elektronik Rusia yang baik.

Kemampuan itu termasuklah keupayaan menghalang atau merosakkan isyarat komunikasi serta GPS sehingga kepada jarak antara 200 hingga 500 kilometer.

Penilaian kemampuan JDAM bukanlah membawa maksud bahawa sistem sama yang wujud dalam inventori TUDM telah menjadi lapuk.

Apa yang mahu ditonjolkan ialah bagaimana teknologi dan keberkesanannya adalah satu evolusi yang mesti dicerna oleh TUDM.

Keupayaan untuk menambah baik, melakukan reverse technology untuk mempertingkat kemampuan sistem terutama berkaitan spektrum elektromagnetik adalah kunci meneruskan kesinambungan kemampuan platform pertahanan udara negara.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca