GEORGETOWN - Cuaca panas yang melanda Pulau Pinang sejak akhir-akhir ini, menjadi salah satu penyebab jumlah pesakit luar di beberapa klinik di negeri ini meningkat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, jumlah pesakit yang menunggu untuk mendapatkan rawatan lebih ramai berbanding sebelum ini.
Pembantu sebuah klinik di Ayer Itam, Shazwani Samsudin berkata, peningkatan pesakit kebanyakannya melibatkan kanak-kanak dan warga emas berusia lingkungan dua hingga 65 tahun.
Menurutnya, jumlah pesakit meningkat sejak minggu pertama umat Islam berpuasa susulan keadaan cuaca di negeri ini terutamanya di kawasan pulau.
"Paling banyak kes adalah demam panas dan batuk sehingga sesak nafas dan perlu diberi bantuan oksigen.
"Ramai juga pesakit yang datang kerana mengalami muntah, cirit birit, sakit perut dan sakit tekak.
"Jumlah pesakit memang meningkat sejak awal bulan puasa kerana cuaca di sini (pulau) sangat panas dan tiada hujan. Badan yang lemah seperti kanak-kanak dan warga emas, memang akan senang dapat penyakit,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Katanya, ada beberapa kes melibatkan warga emas yang mengalami keletihan akibat terdedah kepada cuaca panas ditambah dengan jerebu.
"Dalam keadaan berpuasa, ramai pesakit yang ‘berusia’ mengalami keletihan haba iaitu mengalami simptom keletihan, mual, muntah, sakit kepala, nadi cepat dan rasa mahu pengsan.
"Pesakit yang ada simptom itu perlu diberi rawatan dan dinasihatkan supaya minum air yang banyak untuk menstabilkan suhu badan mereka,” katanya.
Sementara itu, kawasan Seberang Jaya mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat iaitu 151 setakat jam 10 pagi, Isnin.
Laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan, IPU di Seberang Jaya menunjukkan kualiti udara di kawasan itu pada tahap tidak sihat sejak jam 9 malam, Ahad dan meningkat pada pagi Isnin.
Difahamkan fenomena cuaca panas dijangka melanda negara sehingga bulan Ogos dengan suhu maksimum melebihi 35 darjah Celsius.
Klik di sini untuk terus membaca