SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengarahkan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar bercuti sementara waktu daripada tugasnya selaku Menteri Sumber Manusia selepas kementeriannya terpalit dengan skandal rasuah bernilai RM97 juta.
Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berkata, Sivakumar wajar direhatkan sementara waktu sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai sepenuhnya.
Bagaimanapun, Chin Huat menegaskan ketetapan itu bukan hanya membabitkan Sivakumar sahaja, malah perlu merangkumi semua anggota kabinet.
Ini termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini dibicarakan atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).
"Sivakumar seharusnya mengambil cuti sehingga penyiasatan - atau perbicaraan kalau berlaku - selesai. Akan tetapi, ini tidak harus jadi peraturan untuk seorang menteri saja, malah termasuk Ahmad Zahid Hamidi yang kini menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik YAB.
"Sekiranya Anwar ingin hantar pesanan jelas bahawa rasuah tidak di toleransi dan tiada sebarang campur tangan, maka semua menteri yang ada kes rasuah harus ambil cuti tanpa sebarang pengecualian,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Sivakumar sebelum ini turut dipanggil memberikan keterangan lebih lapan jam oleh SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan manakala kediaman dan pejabatnya juga dikatakan diserbu pihak berkuasa, beberapa hari lalu.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali pula berkata, penahanan dua pegawai Kementerian Sumber Manusia dan siasatan terhadap Sivakumar membuktikan kerajaan campuran pimpinan Anwar tidak mengamalkan pendakwaan terpilih seperti didakwa pembangkang, sebelum ini.
Malah, Mazlan berkata, setakat ini SPRM belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada Sivakumar akan ditahan reman atau dihadapkan ke mahkamah tidak seperti kes-kes sebelum ini.
"Bagaimanapun, ini membuktikan kerajaan pimpinan Anwar tidak mengamalkan sistem pendakwaan terpilih kerana seorang menteri turut disiasat susulan terdapat bukti terdapat berlaku kes rasuah dalam agensi terbabit.
"Malah, kerajaan campuran Anwar tidak pernah menghalang siasatan ke rasuah membabitkan Kementerian Sumber Manusia dan dua pegawai Sivakumar terbabit,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca