KUANTAN - Alat penyaman udara dan kipas angin menjadi item terlaris di kedai-kedai barangan elektrik ekoran cuaca panas ketika ini. Rata-rata peniaga di daerah ini mengakui peningkatan permintaan terhadap dua peralatan itu 100 peratus sejak... Klik di sini untuk terus membaca

KUANTAN - Alat penyaman udara dan kipas angin menjadi item terlaris di kedai-kedai barangan elektrik ekoran cuaca panas ketika ini.

Rata-rata peniaga di daerah ini mengakui peningkatan permintaan terhadap dua peralatan itu 100 peratus sejak dua minggu lalu, berbanding hari-hari sebelumnya.

Pekerja sebuah kedai peralatan elektrik di Jalan Tun Ismail di sini, Umar Mohd Najib, 29, berkata, peningkatan terhadap penyaman udara dan kipas di kedainya meningkat sejak awal April lalu dan naik mendadak kebelakangan ini.

Menurutnya, rata-rata pelanggan mengakui terpaksa membeli peralatan itu kerana tidak tahan dengan cuaca panas.

"Ada yang sebelum ini hanya menggunakan kipas terpaksa memasang alat penyaman udara supaya keadaan dalam rumah lebih nyaman dan selesa lebih-lebih lagi pada bulan puasa.

"Kebetulan kami mengadakan promosi potongan harga selama dua hari untuk kipas angin dan semuanya habis terjual kecuali daripada jenama yang kurang dikenali,” katanya pada Selasa.

Peniaga kedai barangan elektrik di Jalan Bukit Ubi di sini, Johnson You, 25, berkata, pekerjanya tidak menang tangan untuk memasang penyaman udara yang dibeli pelanggan kebelakangan ini.

Jelasnya, pembelian kepada alat penyaman udara di kedainya boleh mencecah lebih 10 unit sehari ketika ini.

"Pengguna lebih suka memilih aircond daripada jenama yang berkualiti demi keselesaan mereka menghadapi cuaca panas ketika ini,” katanya.

Seorang lagi peniaga barangan elektrik di sini yang mahu dikenali sebagai Ken, 40, berkata, dia sedaya upaya menambah stok kipas dan penyaman udara di kedainya.Katanya, permintaan cukup baik apabila setiap hari ada sahaja pelanggan membeli peralatan itu."Saya bimbang stok akan lambat sampai cuti raya disebabkan isu logistik dan sebagainya jadi dengan masa yang masih ada ini, saya cuba tambah stok untuk menampung permintaan berterusan,” jelasnya.

Sementara di MELAKA, pemilik syarikat penjualan dan pemasangan penyaman udara MZE Penghawa Dingin Melaka, Mohd Zali Kamarudin, 35, mengakui penjualan itu meningkat mungkin kerana faktor cuaca panas.

Katanya, dianggarkan pada bulan lalu sebanyak 100 unit penyaman udara pelbagai jenama terjual dan bilangan meningkat mencecah 200 unit dipasang di rumah pelanggan.

"Mungkin disebabkan cuaca panas dan nak raya, orang ambil peluang pasang penyaman udara."Memang ada peningkatan dan kita juga tidak ketinggalan membuat promosi sempena raya dengan harga berpatutan,” katanya yang menceburi bidang itu sejak tahun 2000 di Duyong.

Pesara kerajaan dari Kampung Durian Daun, Rohidin Baba, 69, mengaku bil elektrik rumahnya pada bulan ini meningkat hingga lebih RM700 kerana terpaksa membuka empat penyaman udara di rumahnya serentak.Menurutnya, kebiasaan bil elektrik rumah yang didiami bersama enam ahli keluarga sekitar RM500 sebulan, namun kerana cuaca panas dia terpaksa menggunakan penyaman udara pada waktu siang.

"Waktu siang pun hidupkan penyaman udara, memang bil melonjak,” katanya.

Penjual air bergerak di Bandar Hilir, Mohd Faizal Mohd Idris, 45, berkata, biarpun cuaca panas namun jualannya seperti biasa dan hanya meningkat pada hujung minggu sahaja.

Katanya, sebelum ini jualan air balang, botol dan tin yang diusahakan sejak 14 tahun lalu pernah mencecah RM2,000 sehari, namun selepas pandemik Covid-19 segalanya berubah.

KEDAI DOBI KURANG PELANGGAN

Di KELANTAN, panas melampau di seluruh negara bukan sahaja memberi kesan kepada individu tetapi industri dan perniagaan.

Tinjauan Sinar Harian di premis dobi dekat Kubang Kerian mendapati ada perubahan dalam perkhidmatan dan pembelian barangan sepanjang cuaca panas.

Pekerja sebuah kedai dobi, Nurul Akmalina Mohd Ramli, 29, berkata, ada penurunan penghantaran pakaian biasa tetapi masih banyak permintaan untuk cucian tilam nipis (toto) dan selimut tebal.

Jelas Nurul Akmalina, mereka juga masih menerima permintaan tinggi untuk cucian kering baju raya.

"Ramai pelanggan menghantar baju untuk dipakai pada Hari Raya Aidilfitri yang kebanyakannya tidak boleh dicuci secara biasa,” katanya.

Nurul Akmalia berkata lagi, pelanggan kedai dobi tersebut terdiri daripada kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan pekerja bank, selain penduduk sekitar.

Klik di sini untuk terus membaca