SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar, menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana cuba melaga-lagakan pemimpin UMNO dan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai orang lama dalam politik dan pernah memegang jawatan Naib Presiden UMNO, Mahfuz berkata, Ismail Sabri sepatutnya menjadi pendamai dan menasihatkan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PH supaya berdamai serta meningkatkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Hubungan antara PH dan BN sekarang bukannya perkahwinan paksa. Sebaliknya ia adalah perkahwinan dan jodoh dirancang oleh orang tua kedua-dua pengantin. Orang tua dimaksudkan ialah Yang di-Pertuan Agong, manakala cinta antara pasangan lelaki dan wanita berkenaan hanya berputik selepas mereka berkahwin.
"Jadi jika ada sedikit perselisihan faham dan pertengkaran kecil, maka ia dianggap sebagai satu perkara biasa serta asam garam dalam rumah tangga yang tidak perlu diperbesar-besarkan.
"Justeru, selaku orang tua dalam politik dan pernah memegang jawatan Perdana Menteri, Ismail Sabri seharusnya menjadi pendamai bukannya menjadi batu api, cuba meruntuhkan masjid atau mahligai cinta yang sudah dibina antara PH dan BN,” katanya kepada Sinar Premium.
Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan berkata, ‘perkahwinan paksa’ antara PH dan BN tidak akan berjaya jika tiada rasa cinta antara kepimpinan tertinggi parti atau di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, keretakan kini mula dilihat dalam ‘perkahwinan paksa’ antara parti dalam kerajaan kerana mereka secara terbuka menyerang satu sama lain.
Dalam pada itu, Mahfuz bagaimanapun percaya perang mulut antara pemimpin UMNO dan DAP, tidak akan menyebabkan kerajaan campuran pimpinan Anwar berpecah dan runtuh dalam masa terdekat.
"Insya-ALLAH masalah ini tidak akan menyebabkan kerajaan sekarang runtuh kerana perang mulut ini adalah asam garam dalam rumah tangga, begitu juga kita dalam politik.
"Malah, parti politik seperti dalam UMNO mahu pun PH sendiri pun, wujud perbezaan pandangan dan perbalahan kecil kerana ia adalah sebahagian asam garam politik,” katanya.Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar pula berpandangan bahawa ‘perang mulut’ antara pemimpin UMNO dan PH menerusi media tidak akan menyebabkan kerajaan campuran pimpinan Anwar, runtuh kerana semua Ahli Parlimen BN dan PH terikat dengan Akta Anti-Lompat Parti.
PERBALAHAN
Kata Hisommudin, perbalahan itu sebaliknya menggambarkan terdapat segelintir wakil rakyat kedua-dua parti tidak dapat menerima hakikat penggabungan kedua-dua musuh politik terbabit.
Beliau berkata, perang mulut berkenaan dijangka turut mengganggu rentak dan persiapan PH dan BN untuk menghadapi PRN yang bakal diadakan dalam tempoh 100 hari lagi.
"Jika ada suara sumbang sebegini, ia akan mengganggu kerana sepatutnya seluruh ahli dan kepimpinan BN dan PH bercakap dengan nada sama.
"Perkara ini boleh menyebabkan penyokong tegar BN berasa ragu-ragu untuk menerima kerjasama dan mengundi calon PH jika agihan kerusi diserahkan kepada mereka atau sebaliknya,” katanya yang meramalkan hampir mustahil berlaku pertembungan antara calon BN dan PH berlaku di mana-mana kerusi pada PRN nanti.
Hisommudin berkata, isu desakan UMNO supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong juga bakal menggoncang keyakinan dan sokongan pengundi PH.
Ini kerana kata Hisommudin, pendakwaan dan pemenjaraan Najib serta individu bertanggungjawab dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah antara modal politik yang dicanangkan oleh PH dalam kempen pilihan raya sebelumnya.
Bagaimanapun, Hisommudin berkata, selepas pembentukan kerajaan campuran di Putrajaya dan timbulnya isu pengampunan diraja kepada Najib maka ia menimbulkan dilema serta menjejaskan pola sokongan penyokong mereka terhadap parti pada PRN nanti.
Klik di sini untuk terus membaca