SHAH ALAM - Jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik swasta kerana mengalami gejala batuk dan demam didapati meningkat susulan cuaca panas dan jerebu ketika ini. Bagaimanapun, menurut salah seorang pemilik klinik swasta, Dr Mohd... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik swasta kerana mengalami gejala batuk dan demam didapati meningkat susulan cuaca panas dan jerebu ketika ini.

Bagaimanapun, menurut salah seorang pemilik klinik swasta, Dr Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin, punca sebenar pesakit yang datang mendapatkan rawatan tidak dapat dipastikan.

"Sejak beberapa hari ini, memang ada yang datang mengadu kerana alami sakit tekak hingga sukar untuk menelan makanan dan minuman, tetapi saya tidak pasti punca tersebut.

"Setakat Isnin, seramai tujuh orang yang mengalami sakit tekak dan kerongkong serta gejala demam,” ujarnya.

Pada 17 April lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu mengarahkan semua pegawai di jabatan dan agensi kementerian itu bersiap sedia memantau keadaan cuaca panas yang boleh menjejaskan sektor pertanian negara.

Keadaan bertambah buruk apabila tiga negeri dilanda jerebu dengan masing-masing mencatatkan tahap udara tidak sihat pada Ahad.

Tambah Hafiezulniezam, walaupun terdapat laporan berkenaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) namun tidak dapat dipastikan lagi punca tersebut secara terperinci.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan cuaca panas antara faktor menyumbang kepada gejala penyakit berkenaan.

"Kita lihat suhu cuaca pun 33 hingga 34 darjah Celsius dan itu mungkin antara faktor pesakit mengalami demam, sakit tekak atau batuk kerana kekurangan air dalam badan sewaktu menjalani ibadah puasa,” katanya.

Sementara di KELANTAN, ahli pemakanan di sebuah farmasi di sini, Alya Amirah Ruziman, 25, mengakui musim panas memberi kesan kepada kanak-kanak dan warga emas.

Katanya, jumlah pelanggan meningkat untuk membeli ubat sakit tekak dan tonsil.

"Ketika cuaca panas dan Ramadan, pelanggan mengadu mengalami batuk dan sakit tekak. Jadi mereka dinasihatkan minum banyak air, makan makanan berkuah dan yogurt,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca