COX'S BAZAR - Sudah menjadi kebiasaan kepada Anwara Begum untuk menyibukkan dirinya sepanjang bulan Ramadan.
Bagi wanita berusia 50 tahun itu, dia bersama dengan anak perempuan sulungnya akan 'berperang' di dapur menyediakan pelbagai juadah yang enak seperti pulut kukus dan roti pisang untuk berbuka puasa.
"Berkongsi rezeki dengan jiran tetangga adalah kenangan yang paling menyeronokkan pada masa itu. Ia akan kekal sebagai detik paling berharga buat saya," katanya ketika mengimbau nostalgia ketika masih menetap di kampung yang dihuni penduduk minoriti Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar.
Tetapi, kini segalanya tinggal kenangan
Anwara merupakan salah seorang daripada lebih 740,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 susulan tindakan kejam tentera Myanmar yang melancarkan pembunuhan beramai-ramai dan membakar perkampungan mereka.
Menurutnya, kehidupan mereka pada bulan Ramadan sudah tidak lagi sama sejak dia menetap di kem sesak yang terletak di Cox's Bazar sejak lima tahun lalu.
"Segala-galanya berubah dan menjadi lebih mencabar. Ketidakadilan yang berlaku di Myanmar telah memaksa kami hidup dalam kemiskinan, menjadi penganggur dan berdepan ketidaktentuan," jelasnya.
Difahamkan, komuniti Rohingya menghadapi situasi yang semakin teruk setelah bantuan antarabangsa mula berkurangan sejak 2020 malah Program Makanan Sedunia (WFP) juga memutuskan untuk menghentikan bekalan makanan pada awal tahun lalu.
Keadaan dikatakan lebih buruk pada Ramadan kali ini.
"Menu berbuka kami tidak bersih dan bukan lagi makanan yang sihat. Kami semakin sukar untuk membeli barang keperluan kerana bantuan bekalan yang diterima semakin sedikit berbanding sebelum ini," ujarnya lagi.
RINDU KAMPUNG HALAMAN
Nosima Khatun juga mengimbau kenangan ketika tinggal di Myanmar apabila dia akan menyediakan luri fira iaitu roti tradisional Rohingya dihasilkan daripada tepung beras yang dimakan bersama kari daging.
"Saya mahu pastikan keluarga saya gembira ketika berbuka puasa. Ia adalah memori yang tidak akan saya lupakan. Kini, keadaan sudah berubah sama sekali. Saya terperangkap seperti burung di dalam sangkar.
"Hidup kami yang terpaksa bergantung dengan bantuan menyebabkan kami tidak lagi dapat menikmati juadah yang enak," katanya dalam nada sedih.
Jelasnya, dia hanya boleh menyediakan hidangan seperti kacang kuda dan kurma untuk keluarganya.
"Saya akan berasa sedih setiap kali saya teringat kisah lama kerana saya tidak akan lagi dapat kembali hidup seperti dulu," ujarnya.
Bagi Tasmin Begum, 35, kehidupannya di Myanmar juga berdepan kesukaran memandangkan peluang pekerjaan yang terhad kepada penduduk Rohingya berikutan golongan itu tidak diiktiraf sebagai kumpulan etnik peribumi di negara itu.
Kebanyakan daripada mereka tidak diberikan hak kerakyatan di bawah Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 dan dikecualikan daripada bancian 2014 oleh pemerintah.
Tasmin berkata, acara sosial di tempat awam ketika Ramadan agak sukar buat mereka, namun dia akan menyediakan pelbagai menu untuk iftar bersama-sama jiran tetangga.
"Selepas melarikan diri ke Bangladesh, hidup saya lebih sengsara sebagai pelarian. Ramadan pada kali ini, saya hanya boleh menjamu kacang kuda dan nasi kepal," tambahnya.
Ketiga-tiga wanita Rohingya itu yang ditemuramah oleh Arab News dengan jelas menyatakan bahawa mereka rindu untuk kembali ke kampung halaman di Myanmar.
"Kehidupan sebagai pelarian lebih menderita kerana tidak dihormati dan menerima layanan tidak sepatutnya," kata Anwara.
Nosima pula berharap dia dapat pulang segera ke 'tanah air'.
Tasmin turut menyimpan harapan sama.
"Saya harap dapat kembali semula ke Myanmar dan mendapat hak kami kerana tidak mahu menjadi pelarian seumur hidup saya. Dalam masa yang sama, saya juga enggan menjadi mangsa genosid di tanah air sendiri.
"Satu-satunya perkara yang saya harapkan adalah untuk menghabiskan sisa hidup saya dengan aman," jelasnya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca