Sewaktu artikel ini ditulis sebahagian daripada kita mungkin telah berada di kampung halaman masing-masing untuk menjalani hari-hari terakhir Ramadan bersama kaum keluarga dan sanak saudara. Sebahagian lagi mungkin sedang berkemas menanti... Klik di sini untuk terus membaca

Sewaktu artikel ini ditulis sebahagian daripada kita mungkin telah berada di kampung halaman masing-masing untuk menjalani hari-hari terakhir Ramadan bersama kaum keluarga dan sanak saudara.

Sebahagian lagi mungkin sedang berkemas menanti waktu untuk bertolak sambil melatih diri bagi menghadapi stres di sepanjang perjalanan nanti.

Tidak kurang juga yang terheret dalam sesi perdebatan atau pujuk memujuk kerana belum mencapai kata sepakat tahun ini hendak beraya di kampung siapa.

Yang muncung mula panjang sejengkal sebab tidak mendapat cuti atau tidak dapat pulang beraya atas pelbagai sebab lain - misalnya tidak dapat keluarkan KWSP - pun tentu ada.

Begitulah. Setiap kali Aidilfitri tiba akan berulang-ulanglah adegan yang sama, walaupun mungkin dengan pemeran yang berbeza.

Tetapi ada kes seorang kawan saya, adegan yang sama berulang sejak tujuh tahun dahulu (kecuali semasa PKP) dengan dia dan isterinya sama-sama menjadi pemeran.

"Asal nak raya saja mesti bergaduh. Mesti dia nak balik kampung dia. Penghujungnya pula mesti saya yang kena mengalah,” keluhnya.

"Sekali-sekala kena bertegas,” kata saya.

"Malaslah. Nanti bila sampai masanya saya tak ada alasan untuk kahwin satu lagi,” jawabnya.

Saya faham. Hanya lelaki memahami strategi lelaki.

Lupakan hal rumah tangga orang lain. Jangan menyibuk, nanti orang samakan kita dengan netizen pula.

Yang kita hendak ‘bawangkan’ kali ini adalah tentang pelbagai adegan lain yang turut hadir setiap kali menjelang Aidilfitri.

Tahun ini adegan-adegan yang bakal disebut mungkin agak berkurangan atas sebab persekitaran ekonomi yang agak suram. Namun begitu adegan-adegan tersebut tetap ada, tetap berlaku.

Adegan-adegan itu ialah; memborong pakaian sehingga seorang tujuh lapan pasang, tudung pula kadang-kadang lima helai darab seminggu di kampung campur tiga helai darab dua hari dalam perjalanan pergi dan balik; baju anak-anak seorang tiga empat pasang; kuih raya beli dari kawan, beli di atas talian, buat sendiri, yang dicampur tolak kosnya hampir separuh gaji minimum; langsir, karpet, perabot yang tetap kena tukar walaupun beraya di kampung; rim lama diganti, aksesori kereta perlu ditambah, kalau tidak kawan rakan di kampung tidak kagum.

Banyak lagi sebenarnya. Saya telah melihat adegan-adegan seperti itu sejak zaman kanak-kanak dan ia berlarutan sehingga sekarang. Yang membezakan mungkin perubahan gaya hidup.

Kalau dahulu orang berbelanja raya di tempat-tempat seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur, atau di gedung-gedung membeli-belah, sekarang tempat-tempat begitu kurang menjadi tumpuan kerana orang beralih kepada pembelian secara dalam talian.

Maknanya, beli tetap beli; borong tetap borong. Ada suri rumah khabarnya sejak hari ketiga berpuasa sudah mula menunggu van penghantar barang. Dan dia menunggu begitu hampir setiap hari.

Kebiasaan itulah yang menyebabkan kebanyakan orang resah gelisah jika terpaksa beraya dalam keadaan kekurangan duit ringgit.

Ada yang sanggup bergolok gadai, malah. Yang berduit pula tidak teragak-agak untuk menghabiskannya.

Waktu dapat gaji dan bonus, bukan main cantik bajetnya di atas kertas. Tetapi selepas raya, silap-silap duit tabung anak pun jadi mangsa.

Aidilfitri, dari sudut bahasa membawa maksud kembali kepada fitrah. Maknanya kita kembali ke fitrah asal iaitu suci dan bersih kerana dosa-dosa kita telah dibersihkan oleh ibadah Ramadan yang kita sempurnakan.

Tetapi di sebalik itu ramai yang sebetulnya kembali ke fitrah yang lain, yakni ke perangai asal yang sebahagiannya dicutikan sementara semasa Ramadan.

Atas sebab itulah maksud Aidilfitri sebagai Hari Kemenangan atas susah payah kita melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan turut tercalar.

Kita berlebih-lebih meraikan kemenangan itu sehingga lupa bahawa ia menjerumuskan kita ke kancah lama; kancah kekalahan.

Kenapa begitu? Susah sangatkah hendak menahan diri daripada berboros? Benarkah ia manifestasi daripada perasaan tertekan yang dialami oleh seseorang?

Banyak ahli psikologi berpendapat perasaan itulah yang menjadi katalis pada sifat boros dan suka berbelanja.

Dalam keadaan merasai hidupnya dikuasai oleh persekitaran, seseorang itu akan berasa lega apabila dapat berbelanja besar kerana ia memberi autonomi kepadanya untuk menentukan apa yang dia mahu.

Kalau orang berkenaan itu banyak duitnya, ia tidaklah menjadi masalah. Yang menjadi masalah adalah jenis yang selepas berbelanja sakan akan mengeluh sakan di media sosial. Jenis itulah yang ramai.

Kenapa saya tulis semua ini? Sebab seorang suami kalau terpaksa beraya di kampung isterinya memang selalu begini. #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat

Klik di sini untuk terus membaca