SHAH ALAM - Menginap di hotel atau inap desa sewaktu pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidilfitri seolah-olah telah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat negara ini apabila trend itu dilihat semakin popular pada masa kini.
Namun keputusan yang popular dalam kalangan perantau itu juga sering mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan masyarakat.
Ada yang menganggap golongan yang tidur di hotel ini mementingkan diri, malah tidak kurang juga yang menyatakan itu hanyalah alasan untuk mereka lari daripada melakukan kerja rumah semasa hari raya.
Pakar Sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berpandangan, segelintir ahli keluarga dilihat lebih selesa untuk menginap di hotel atau inap desa bagi menguruskan keperluan diri semasa sambutan Aidilfitri.
Beliau berkata, situasi itu juga perlu dinilai dari sudut kesedaran masyarakat terhadap penjagaan aurat dan tatasusila yang semakin meningkat ketika ini.
Menurutnya, pembinaan rumah kampung secara asasnya lebih kepada ruang terbuka dengan jumlah bilik yang sangat terhad.
"Biasanya rumah di kampung hanya ada satu bilik sahaja. Jadi, kalau semua adik-beradik berkumpul, kita akan bentang toto dan tidur beramai-ramai di ruang tamu.
"Dengan bilik yang sikit dan semua orang berkongsi satu bilik air yang sama akan menyebabkan segelintir, terutama wanita mengalami sedikit kesukaran untuk menjaga batasan aurat.
"Jadi, untuk mengambil langkah berhati-hati, ramai dalam kalangan masyarakat kita memilih untuk menginap di hotel atau inap desa.
"Saya yakin mereka tidak ada niat untuk berlagak. Secara logiknya, jika tidur hotel semata-mata nak berlagak, sudah pasti mereka tidak balik kampung, baik duduk rumah di bandar sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Ujar beliau, secara umumnya, keadaan status kehidupan masyarakat hari ini adalah berbeza dengan zaman dahulu.
Jelasnya, kemudahan dan kewujudan pelbagai hotel serta inap desa yang menawarkan harga berpatutan dapat memberikan pilihan kepada perantau untuk tinggal dalam keadaan yang lebih selesa sepanjang beraya di kampung.
Bagaimanapun, menurut Mohammad Shatar, keadaan itu dilihat tidak akan menjejaskan hubungan kekeluargaan kerana mereka masih lagi boleh berinteraksi antara satu sama lain sewaktu berkumpul di rumah ibu bapa.
"Menginap di hotel bukan sebab timbulnya rasa tidak suka kepada ahli keluarga tertentu, tetapi sekadar untuk memberi keselesaan dan memudahkan ahli keluarga menguruskan diri,” katanya.
Tambah Mohammad Shatar, mereka juga bukannya langsung tidak menjenguk rumah ibu bapa dan tetap pergi dan beraya bersama-sama, cuma nak cari tempat sesuai di waktu kritikal seperti ketika nak mandi, memakai baju dan sebagainya.
"Dari kaedah sosialnya, perkara ini tidak mendatangkan masalah dan satu keperluan bagi terhindar daripada perkara-perkara yang tidak diingini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca