LEBIH 22 tahun jatuh bangun dalam bidang politik, Dr Mohamad Maliki Osman antara pemimpin yang sangat disegani di Singapura. Membesar dalam keluarga susah, anak kepada konduktor bas itu mempunyai azam yang tinggi untuk berjaya dan membantu... Klik di sini untuk terus membaca

LEBIH 22 tahun jatuh bangun dalam bidang politik, Dr Mohamad Maliki Osman antara pemimpin yang sangat disegani di Singapura.

Membesar dalam keluarga susah, anak kepada konduktor bas itu mempunyai azam yang tinggi untuk berjaya dan membantu rakyat.

Dia kini mendapat kepercayaan menjadi Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Kedua Pendidikan dan Hal Ehwal Luar Negara.

Sempena lawatan beliau selama lima hari ke Kelantan dan Terengganu, Sinar Harian menemubual beliau secara eksklusif untuk mendekati pemimpin Kota Singa itu.

SINAR: Boleh kongsikan sedikit tentang diri anda dan keluarga

DR MOHAMAD MALIKI: Saya dilahirkan pada tahun 1965, tahun kemerdekaan Singapura. Saya mempunyai lapan adik beradik yang lain. Saya mula-mula tinggal di rumah kampung, sebelum berpindah ke flat sewa HDB.

Orang tua saya datang dari Malaysia, ayah saya seorang konduktor bas, yang bekerja keras untuk menyara keluarga. Ibu saya seorang suri rumah. Kami terpaksa reda dengan apa yang kami ada.

Walaupun hidup tidak mudah, saya bertuah mempunyai ibu bapa yang menyokong dan berkorban untuk anak-anak mereka.

Saya masih ingat lagi semasa saya dan keluarga tinggal di rumah sewa awam satu bilik. Flat sewa itu terlalu kecil untuk menampung kesemua anggota keluarga saya. Jadi setiap malam, saya dan abang-abang saya terpaksa tidur di koridor di luar flat kami. Kami tunggu hingga semua jiran telah tidur sebelum keluar dan membentang tikar mengkuang untuk tidur dan perlu bangun seawal-awalnya sebelum jiran kami bangun.

Saya belajar bersungguh-sungguh, dan bernasib baik kerana memasuki Universiti Nasional Singapura (NUS), di mana saya mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam Seni dan Sains Sosial.

Maliki bersama isteri tercinta, Sadiah dan dua anaknya.

Singapura sedang pesat membangun pada masa itu. Tetapi, saya perhatikan ada kumpulan yang ketinggalan. Kami perlu membangunkan jaringan dan program keselamatan sosial yang lebih kukuh untuk memenuhi pelbagai keperluan masyarakat. Pada masa awal saya berkecimpung dalam kerjaya sebagai pekerja sosial, saya bekerja dengan keluarga yang menghadapi berbagai cabaran, termasuk keganasan rumah tangga dan penyalahgunaan bahan.

Saya bertuah ditaja oleh NUS untuk mengikuti kursus PhD dalam Kerja Sosial di University of Illinois di Urbana-Champaign pada tahun 1998, sebelum kembali ke Singapura sebagai Penolong Profesor di Jabatan Kerja Sosial dan Psikologi di NUS.

Kini saya amat bahagia hidup gembira dengan isteri, anak perempuan dan anak lelaki saya. Isteri saya Sadiah Shahal adalah tonggak utama sokongan saya sepanjang perjalanan hidup saya.

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra (dua dari kiri) menerima menghadap Dr Maliki (kiri) dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon (dua dari kanan) ketika lawatan ke Kelantan baru-baru ini.
Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra (dua dari kiri) menerima menghadap Dr Maliki (kiri) dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon (dua dari kanan) ketika lawatan ke Kelantan baru-baru ini.
Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra (dua dari kiri) menerima menghadap Dr Maliki (kiri) dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon (dua dari kanan) ketika lawatan ke Kelantan baru-baru ini.


SH: Anda pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2001, siapa atau apakah yang mendorong anda untuk mendalami politik?

Pada mulanya, saya tidak mempertimbangkan untuk memasuki politik. Saya sedang melaksanakan peranan saya sebagai ahli akademik apabila Parti Tindakan Rakyat tanya saya sama ada saya akan mempertimbangkan untuk bertanding. Memandangkan anak-anak saya masih sangat kecil ketika itu, saya tidak pasti sama ada saya boleh mengimbangi dan menunaikan amanah sebagai pemimpin, suami, dan bapa.

Beberapa faktor menyebabkan saya perlahan-perlahan mengubah fikiran saya. Pertama, semasa berkerja sebagai profesor saya boleh mengajar teori kerja sosial, tetapi sebagai pemimpin saya akan dapat memainkan peranan yang lebih langsung dalam melaksanakan perubahan. Saya juga akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengetengahkan kebimbangan mereka yang ditinggalkan. Selepas bekerja dengan kanak-kanak lelaki di Rumah Kanak-kanak Lelaki pada awal kerjaya saya, saya bersimpati dengan nasib mereka yang mempunyai rekod jenayah, dan ingin membantu mereka. Saya mahu mencipta sistem yang mempercayai setiap orang berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan mempunyai potensi untuk berubah walaupun mereka pernah terlibat dalam jenayah.

Kedua, terdapat suasana ketakutan dan ketidakpastian selepas serangan 11 September. Jika kita tidak membetulkan salah faham itu, keharmonian kaum dan agama Singapura boleh merosot. Saya terdorong untuk memainkan peranan saya ke arah mengukuhkan keharmonian kaum dan agama Singapura.

Ketiga, isteri saya memberi sokongan yang penuh. Ketika itu, beliau bertugas sebagai penerbit rancangan ehwal semasa di stesen television tempatan dan membuat laporan politik. Beliau tahu cabaran yang dihadapi anggota politik tapi beliau juga akur akan peranan penting mereka dalam memerintah negara kecil seperti Singapura. Beliau tahu politik adalah panggilan yang memakan masa. Tanpa pengorbanan dan komitmen isteri dan anak-anak saya, sukar untuk saya menyertai dan kekal dalam politik.

SH: Bagaimanakah perjalanan anda setakat ini sebagai ahli Parlimen dan Menteri Singapura?

Alhamdulillah, saya berasa bertuah. Dalam hampir 22 tahun perkhidmatan, saya bertuah kerana telah berkhidmat dan belajar daripada rakan-rakan yang baik dari semua bangsa dan agama. Saya juga telah berkhidmat dalam pelbagai peranan. Sebelum memegang jawatan sebagai Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri dan Pendidikan, saya juga telah berkhidmat di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan Negara.

Pada tahun-tahun awal saya sebagai ahli Parlimen, saya bersemangat menyokong mereka yang mempunyai rekod jenayah untuk diberi peluang kedua oleh masyarakat. Mereka memerlukan pekerjaan stabil, tanpa anggaran disebabkan rekod mereka. Saya berusaha dengan keras supaya rekod mereka tidak menjadi beban untuk mereka mendapat pekerjaan tetap. Setelah beberapa tahun membentangkan isu ini di parlimen, Kementerian Ehwal dalam Negeri bersetuju menyemak semula dasarnya dan membenarkan rekod beberapa jenayah dianggap terpadam jikalau orang tersebut tidak melakukan jenayah lagi untuk tempoh masa tertentu.

Salah satu projek masyarakat yang paling saya ingati sebagai ahli Parlimen dan kemudian sebagai Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Negara adalah menolong keluarga yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap.

Keluarga-keluarga tersebut menghadapi cabaran sosial yang rumit. Menerusi sokongan yang menyeluruh, kami dapat menolong kira-kiranya 1,000 keluarga dalam jangka masa lima tahun mendapatkan rumah yang lebih tetap dan stabil. Saya amat teruja dan rasa puas melihat bagaimana kami dapat memantapkan kedudukan mereka, dan memindahkan mereka ke rumah lebih tetap.

Ia sangat bermakna untuk berkhidmat sebagai ahli Parlimen di lapangan. Saya kerap bertemu penduduk saya untuk mendengar kebimbangan mereka, dan berkongsi sebab di sebalik dasar pemerintah. Sehingga sekarang, saya mendapati ia amat memberangsangkan bila saya dapat menyelesaikan isu mereka, atau bantu membuat perubahan untuk menjadikan kawasan pilihan raya saya lebih selesa dan mesra.

Satu pengalaman saya yang amat bermakna adalah apabila seorang wanita Cina berumur 80 tahun membuat perjalanan jauh dari rumahnya dan mengambil dua bas untuk bertemu dan memberi saya sebuah kek, sebagai tanda penghargaanya atas pertolongan yang saya beri untuk menyelesaikan masalah yang beliau hadapi. Saya terharu bahawa beliau mahu menunjukkan penghargaannya, walaupun beliau sudah berumur dan menghadapi cabaran membuat perjalanan jauh. Daripada pengalaman sebegitu, saya sering mengingatkan diri bahawa dalam tugas kami, kami boleh menyentuh dan membuat perbezaan terhadap kehidupan satu insan pada satu masa.

Tetapi ia bukanlah perjalanan yang mudah! Ada turun naiknya. Bahagian yang paling sukar ialah apabila anda tidak dapat banyak meluangkan masa dengan keluarga. Apabila anda melihat anak-anak membesar tanpa penglibatan anda dalam perjalanan tersebut. Akur bahawa pengorbanan mereka pun sebesar pengorbanan saya, kerana saya banyak membelanja masa menjumpai penduduk dan memenuhi keperluan mereka lantas kurang masa dan perhatian untuk keluarga. Bila anak-anak saya lebih sering lihat saya di televisyen dan suratkhabar, dari di rumah.

Di penghujung hari, adalah berguna untuk mengingati mengapa kami memilih perkhidmatan awam. Misi kami adalah untuk menjadikan Singapura tempat yang lebih baik untuk rakyat Singapura sekarang, dan akan datang.

SH: Apakah detik terbaik dan paling sukar anda sebagai ahli Parlimen/ahli politik?

Detik terbaik adalah bila saya melihat senyum-senyuman di wajah penduduk yang telah menerima khidmat saya, bila mereka memberitahu saya berapa banyak mereka menghargai usaha saya untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Detik yang paling sukar adalah bila penduduk datang membuat permintaan yang tidak berpatutan, dan kami harus bersabar dan jelaskan mengapa permintaan mereka tidak boleh dipenuhi. Sebanyak mana saya mahu menolong, ada batas terhadap memenuhi harapan semua orang. Dalam setiap pertemuan, saya berpegang kepada kepercayaan yang saya sedang berkhidmat untuk mereka dengan ikhlas dan usaha terbaik saya.

SH: Pada masa ini bertanggungjawab untuk dua kementerian berbeza (MOE & MFA), apakah cabaran terbesar yang perlu anda hadapi dan bagaimana anda menanganinya?

Di Kementerian Pendidikan, kami telah berusaha secara bersepadu di bawah gerakan Belajar Sepanjang Hayat untuk memupuk minat pelajar muda terhadap pembelajaran, membantu pelajar membangunkan motivasi untuk belajar dan mengejar minat mereka, dan mengurangkan penekanan yang berlebihan terhadap keputusan akademik. Ini termasuk dengan mengurangkan peperiksaan.

Anjakan ketara seperti ini juga memerlukan anjakan minda masyarakat. Untuk membawa semua turut sama, kami sentiasa bekerjasama dengan sekolah-sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Guru-guru dan sekolah-sekolah kami banyak berusaha untuk meraikan kepelbagaian kebolehan dan bakat, membimbing para pelajar untuk mengetahui kekuatan dan minat mereka, dan menerima definisi kejayaan yang lebih luas. Apabila pelajar meninggalkan sekolah, kami berharap bahawa mereka kekal ingin tahu, serta dilengkapi dengan kemahiran dan minda yang tepat untuk terus belajar melalui kehidupan.

Begitu juga, ia penting bagi rakyat Singapura untuk terus berpandangan jauh, dan sedar akan perkembangan antarabangsa.

Sebagai sebuah negara kecil, salah satu kebimbangan Kementerian Luar Negara Singapura yang paling mendesak adalah untuk mengekalkan perkaitan Singapura, dalam dunia yang semakin kompleks. Kami harus mengemudi waktu persaingan kuasa besar yang sengit, gangguan ekonomi global dan perubahan iklim yang menjulang, sementara berurusan dengan dunia yang lebih berpecah-belah dan bergolak. Kami juga mencari cara-cara baru untuk mencipta peluang untuk orang Singapura di luar negara, sambil juga menyokong mereka.

Selain daripada bertemu dan berbincang dengan pelbagai pemimpin dan personaliti asing, saya cuba meluangkan masa untuk menerangkan dasar luar negara kami kepada rakyat Singapura. Lagipun, dasar luar negara bermula di rumah.

Beberapa rakyat Singapura akan mempersoalkan kerajaan tentang pendirian dasar luar kami, atau mempunyai fikiran mereka sendiri tentang bagaimana dasar luar Singapura patut diuruskan.

Sebagai contoh, ada yang mungkin lebih suka bahawa Singapura tidak membuat kenyataan mengenai kejadian antarabangsa, dan hanya memikirkan urusan kami sendiri! Tetapi, ini hanya akan menunjukkan Singapura dan warga Singapura 'bagaikan katak di bawah tempurung'. Saya sering menggalakkan rakyat Singapura untuk bertemu dan berbincang dengan rakan sebaya mereka dari negara lain, termasuk Malaysia. Hanya melalui perbincangan dengan orang lain akan kami lebih memahami perspektif mereka.

SH: Di Kementerian Pendidikan, anda menyelia ITE dan Pendidikan Politeknik, Uplifting Pupils in Life and Inspiring Families Taskforce (UPLIFT) serta Jawatankuasa Pembelajaran dan Promosi Bahasa Melayu (MLLPC). Bolehkah anda menerangkan sedikit tentangnya?

Politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) kami membentuk sebahagian besar daripada landskap pendidikan tinggi kami, yang menampung tujuh dalam sepuluh setiap kohort utama. Kami mengakui kepelbagaian yang semakin meningkat dan aspirasi di kalangan anak-anak muda kami. Untuk memenuhi aspirasi ini, kami telah meluaskan kemasukan para pelajar ke politeknik dan ITE berdasarkan minat dan kebolehan mereka, melainkan pencapaian akademik mereka semata.

Memandangkan perubahan dan gangguan industri yang berterusan, kami telah menyemak bagaimana untuk meningkatkan lagi pendidikan di politeknik dan ITE. Beberapa langkah yang baru diambil termasuk meluaskan pendedahan industri bagi pelajar, memperkukuh kemahiran insaniah pelajar dan meningkatkan bimbingan kerjaya selepas sekolah.

UPLIFT (Pasukan Bertindak bagi Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga) adalah sesuatu yang dekat di hati saya, memandangkan permulaan saya yang serba sederhana. Ditubuhkan pada 2018, UPLIFT merupakan pasukan antara agensi bagi memperkukuh kerjasama antara sekolah dan rakan masyarakat untuk meningkatkan sokongan bagi pelajar kurang bernasib baik. UPLIFT bertekad untuk menangani ketidakhadiran jangka panjang, halangan utama yang menghalangi pelajar-pelajar daripada mencapai potensi mereka yang sepenuhnya.

Dengan UPLIFT, kami sedang meninjau untuk menyediakan lebih kakitangan tambahan kepada sekolah-sekolah untuk lebih menyasarkan pertolongan kepada murid-murid yang mempunyai keperluan lebih. Bilangan sekolah yang disokong di bawah inisiatif ini telah meningkat seganda daripada 23 sekolah pada tahun 2019 kepada 47 sekolah pada tahun 2022. Kami menjangka akan dapat menyokong sekitar 13,000 pelajar dari kira-kira 100 sekolah apabila ia dilaksanakan sepenuhnya.

Pada tahun 2020, kami telah merintis rangkaian Uplift Community dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura untuk mewujudkan ekosistem sokongan bagi para pelajar daripada keluarga yang kurang bernasib baik, dan menangani isu kehadiran di sekolah dengan lebih awal. Kami menjangka dapat membantu kira-kira 1,300 pelajar dan keluarga mereka melalui inisiatif ini tahun ini.

Kedwibahasaan merupakan asas dasar pendidikan Singapura. Pelajar kami belajar Bahasa Inggeris, lingua franca sejagat yang memudahkan perbincangan di antara kumpulan etnik yang berbeza. Mempelajari bahasa ibunda menyambung pelajar kami dengan akar budaya mereka, mengukuhkan identiti mereka sebagai rakyat Singapura, dan membolehkan mereka untuk lebih memahami dengan masyarakat berbahasa asli di rantau kami dan di seluruh dunia.

Ditubuhkan pada tahun 2006, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) terdiri daripada para pemimpin masyarakat, wakil-wakil institusi pengajian tinggi, pertubuhan-pertubuhan masyarakat Melayu, media dan badan-badan profesional yang lain. MLLPC bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menganjurkan kegiatan yang menggalakkan bahasa dan budaya Melayu, seperti pertunjukan permainan, video-video TikTok dan persembahan bagaikan Ted Talks.

Kami akan terus meneroka dan mencari cara-cara baru melibatkan anak-anak muda kami untuk mencintai dan menggunakan bahasa ibunda mereka.

SH: Bercakap mengenai kepentingan Singapura, apakah pandangan anda tentang hubungan dua hala dengan Malaysia pada masa kini?

Malaysia ialah jiran terdekat Singapura, dan hubungan di antara kami agak berbeza daripada hubungan kami dengan negara lain.

Saya dan rakan sekerja mempunyai hubungan kerja yang baik dengan pemimpin-pemimpin Malaysia. Semasa pandemik Covid-19, kami memastikan talian komunikasi terus terbuka dan bekerjasama rapat untuk memastikan rantaian bekalan mengalir dan rakyat kami selamat.

Sempadan kini sudah dibuka semula, dan kami meningkatkan interaksi kami melintasi semua peringkat kerajaan. Pada tahun ini, terdapat lebih daripada 10 lawatan peringkat tinggi antara negara kami. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Singapura pada Januari, manakala Presiden Halimah Yacob membuat Lawatan Negaranya pada Februari. Kami juga melawat negeri-negeri di dalam Malaysia yang lain untuk bertemu rakyatnya, dan lebih memahami kepelbagaian pandangan dan peluang untuk bekerjasama.

Inilah sebabnya Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan melawat Johor pada bulan Mac, dan saya sedang melawat Kelantan dan Terengganu sekarang. Kami mengharapkan lebih banyak interaksi dengan pelbagai negeri pada masa hadapan, Insyallah. Menerusi lawatan sedemikian, kami harap hubugan ekonomi dan sosial di peringkat negeri akan dapat diperkuatkan juga.

Kerjasama perdagangan dan pelaburan antara negara kami sangat kukuh. Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar dengan Malaysia dengan RM368.22 bilion pada 2022.

Walaupun begitu, kami terus mencari peluang pertumbuhan baru. Sebagai contoh, kami menandatangani tiga perjanjian Kerajaan-ke-Kerajaan untuk menggalakkan kerjasama dalam ekonomi digital dan hijau serta keselamatan siber semasa lawatan Anwar.

Kami juga sedang berusaha ke arah hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara kami. Penyiapan Projek Pautan Sistem Transit Rapid (RTS) menjelang akhir 2026 juga akan membantu memudahkan pengaliran barangan dan orang ramai. Ia juga akan membantu mengurangkan kesesakan di Causeway, terutamanya semasa musim cuti!

Kami menyokong pelan pembangunan ekonomik Malaysia dan akan terus mencari peluang untuk menyokongnya. Pada kami, kejayaan Malaysia baik untuk Singapura dan rantau ini.

SH: Bagi MFA pula, bagaimanakah anda memajukan minat Singapura di pelbagai negara termasuk Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan?

Dasar luar Singapura dipandu beberapa prinsip utama, termasuk menghormati kedaulatan negara, kedaulatan undang-undang, dan menggalakkan persekitaran serantau yang aman.

Kami juga percaya bahawa dalam mana-mana perhubungan, perselisihan faham sekali-sekala tidak dapat dielakkan. Apa yang lebih penting ialah mengekalkan saluran komunikasi terbuka dan bekerjasama untuk menghasilkan penyelesaian yang menang-menang untuk semua. Kami juga harus menumpukan perhation terhadap memperkukuhkan kerjasama, bukannya perselisihan pendapat kami.

Pendidikan ialah bidang di mana Singapura dan Malaysia telah bekerjasama dengan baik. Untuk memperkuatkan hubungan kami bagi masa hadapan, ia penting kami meningkatkan hubungun rakyat-rakyat kami di antara kalangan belia. Kami mempunyai beberapa hubungan antara institusi kami. Satu contoh ialah Permainan Kementarian Pendidikan Singapura "Games for Educators”, di mana pendidik dari Malaysia dan Singapura bersaing dalam pelbagai jenis sukan.

Kami juga telah mengadakan Program Pendidikan Luar Negara untuk para pelajar Program Pilihan (Elektif) Bahasa Melayu, dan misi pembelajaran dan program-program musim panas untuk pelajar-pelajar kami berkumpul untuk memperdalam penghayatan dan kesedaran mereka tentang sekitaran sosiobudaya Singapura dan Asia Tenggara yang pelbagai.

Seramai 41 pelajar Maktab Rendah dari Singapura dalam Program Elektif Bahasa Melayu berpeluang melawat Selangor dan Ipoh tahun lepas untuk menghadiri kelas di Universiti Putra Malaysia. Di sana, mereka belajar tentang warisan Melayu dan juga mencuba membuat ikan yang diperam di Kampung Beng di Ipoh! Pertukaran sebegini akan membantu mengukuhkan persefahaman antara generasi muda kami.

Pada bulan Januari, negara-negara kami telah memulakan Program E-Immersion yang pertama kali diadakan untuk guru Bahasa Melayu di Perak. Ia menyaksikan lebih 30 guru dan pemimpin pedagogi dari Kementarian Pendidikan berinteraksi dengan rakan sejawatan mereka dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk bertukar-tukar amalan terbaik pengajaran bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Seperti dikatakan Presiden Halimah Yacob semasa Lawatan Negara beliau ke Malaysia baru-baru ini, kami percaya lebih banyak yang boleh dilakukan dari segi kerjasama pendidikan. Insyallah, kami akan cari idea dan peluang baru untuk berkolaborasi.

Maliki bersama kumpulan wartawan Malaysia yang mengadakan lawatan ke Singapura baru-baru ini.
Maliki bersama kumpulan wartawan Malaysia yang mengadakan lawatan ke Singapura baru-baru ini.

SH: Difahamkan Dr Maliki datang untuk lawatan kerja ke Kelantan dan Terengganu, apakah tujuan lawatan tersebut dan adakah terdapat bidang kerjasama dengan kedua-dua negeri ini?

Saya melawat Kelantan dan Terengganu untuk memperbaharui hubungan dengan rakan-rakan lama, mencari kawan-kawan baru, lebih memahami potensi Kelantan dan Terengganu, dan juga meneroka bagaimana kami boleh membina hubungan lebih erat antara rakyat-rakyat kami.

Saya mengadakan pertemuan yang baik dengan pelbagai pemimpin dan personaliti negeri merentasi spektrum politik, spektrum ekonomi dan sebagainya. Kami bersetuju bahawa terdapat banyak cara kami boleh bekerjasama, seperti dalam bidang atau sektor teknologi pertanian dan lain-lain.

Kelantan dan Terengganu mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan. Saya mengalu-alukan pemimpin dan pegawai kerajaan negeri untuk melawat Singapura, di mana kami boleh bertukar pengalaman dan belajar antara satu sama lain.

Saya juga bertemu dengan pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Terengganu untuk memahami perspektif mereka. Saya sangat gembira mendengar bahawa mereka berminat untuk mengukuhkan kerjasama pendidikan dengan Singapura. Saya rasa pentinglah untuk kita menggalakkan kerjasama antara belia-belia kami supaya mereka faham perspektif dan juga pengalaman masing-masing.

Pantai Timur Semenanjung Malaysia cukup popular dengan warga Singapura. Pulau Redang dan Pulau Perhentian berada di antara destinasi yang disukai ramai dengan pantainya yang bersih dan resortnya yang betul-betul indah. Nasi Kerabu pun syok! Akan ada lebih banyak peluang saya rasa untuk pelancongan dan kerjasama ekonomi, dengan sokongan kedua-dua kerajaan; Singapura dan kerajaan negeri.

Apabila kami memperkukuhkan kerjasama dan persefahaman antara Singapura dan Kelantan dan Terengganu, Insya-Allah, saya rasa kami akan mendapat pemahaman yang lebih baik, lebih mendalam antara satu sama lain dan mengenai peluang-peluang yang ada untuk kita terus bekerjasama.

SH: TRIVIA - 5 fakta yang orang tidak tahu tentang Dr Mohamad Maliki

Pertama, makanan kegemaran saya - mee stew Korea! Saya gila-gila betul makanan Korea.

Kedua, saya muncul dalam episod rancangan pelbagai Korea digelarkan "Hello, Counselor". Itulah kegilaan saya dengan Korea.

Ketiga, saya boleh berbahasa Mandarin, (bolehlah dikatakan), bermain Guzheng (alat muzikal bertali Cina), dan pernah berlatih Wushu (seni pertahanan diri Cina), tapi tidak begitu bagus macam Kungfu lah!

Sukan badminton antara sukan yang digemari Maliki (kanan).

Hobi saya ialah: bermain badminton. Setiap minggu saya bermain badminton dan juga menonoton wayang bersama keluarga saya

Peribahasa Melayu yang paling saya sukai ialah: sekali air bah, sekali pantai berubah. Ia bermakna kita harus terus menerima perubahan yang ada dan akan datang pada masa-masa hadapan.

Klik di sini untuk terus membaca