KUALA TERENGGANU - Hampir 90 peratus hotel di Terengganu sudah penuh ditempah pelanggan sempena musim cuti perayaan Aidilfitri. Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu, Suaibah Harun berkata, kebanyakan 35 hotel yang berdaftar... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA TERENGGANU - Hampir 90 peratus hotel di Terengganu sudah penuh ditempah pelanggan sempena musim cuti perayaan Aidilfitri.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu, Suaibah Harun berkata, kebanyakan 35 hotel yang berdaftar di bawah persatuan itu sudah ditempah bermula minggu ini.

"Alhamdulillah syukur, kita nampak hotel-hotel terutama di sekitar bandar Kuala Terengganu sudah penuh ditempah pelanggan yang pulang berhari raya atau bercuti ke sini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Suaibah berkata, peningkatan tempahan bilik hotel mungkin dipengaruhi faktor cuti Hari Raya Aidilfitri kali ini agak panjang kerana sekali dengan cuti penggal persekolahan.

Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan disebabkan trend sekarang di mana perantau mempunyai keluarga besar memilih menginap di hotel bagi keselesaan semua pihak.

Di IPOH, PengerusiPersatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Muhyi mengakui permintaan penginapan di hotel di negeri itu sempena Hari Raya Aidilfitri meningkat mendadak terutama di kawasan luar bandar.

"Antara kawasan yang mendapat permintaan tinggi termasuklah di Gopeng, Kuala Kangsar, Lenggong dan Pulau Pangkor.

"Permintaan di kawasan luar bandar memang banyak dan tempahan hotel di kawasan ini hampir penuh pada musim perayaan kali ini,” katanya..

Zamari berkata, dari segi harga pula memang berlaku sedikit peningkatan mengikut lokasi serta jenis bilik memandangkan permintaan tinggi.

Di ALOR SETAR, Pengurus Hotel Darulaman Alor Setar, Noor Afliza Mohamed berkata, ramai perantau telah membuat tempahan pada awal Ramadan lagi.

Menurutnya, mereka menempah awal untuk tarikh 21 hingga 25 April untuk pulang bercuti raya di bandar ini.

"Jadi, bilik di hotel kami kini penuh sepanjang tempoh berkenaan menyebabkan kami terpaksa menolak pelanggan yang menelefon untuk membuat tempahan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca