SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpandangan tidak menjadi satu kesalahan jika anak-anak mahu menyewa di hotel atau inap desa selagi mereka boleh menyambut hari raya bersama-sama.
Jelas beliau, ia kerana ada sesetengah rumah sesak jika kesemua ahli keluarga pulang hingga menyebabkan mereka terpaksa tidur beramai-ramai di ruang tamu yang menimbulkan ketidakselesaan.
"Selain itu, kaum wanita perlu menjaga aurat sama ada dengan anggota keluarga atau bukan mahram.
"Bagaimanapun sebelum mahu menyewa hotel atau inap desa, alangkah baiknya jika perkara itu dijelaskan terlebih dahulu kepada ibu bapa agar mereka tidak berkecil hati,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.
Tambah beliau, hal itu perlu dilakukan bagi mengelakkan timbulnya salah faham antara satu sama lain yang mana mereka menyangka anak menantu sudah tidak sudi untuk menginap di rumah keluarga lagi.
Sementara itu, pendakwah, Asma’ Harun berpandangan, isu penjagaan aurat bukanlah faktor utama yang menyebabkan perantau perlu menyewa hotel atau inap desa.
Jelasnya, ini kerana masyarakat dahulu juga berdepan dengan situasi sama, namun mereka tidak menganggap ia sebagai satu halangan untuk bersama-sama keluarga menyambut hari raya di dalam rumah yang sama.
"Mereka ada alternatif yang tersendiri misalnya pasang kelambu, mengutamakan wanita untuk tidur di dalam bilik dan menyediakan satu ruangan khas bagi tujuan menyalin pakaian.
"Jika ada rezeki lebih, tidak salah ahli keluarga berpakat membina atau menambah jumlah bilik untuk kemudahan semua,” ujarnya.
Namun, Asma’ menjelaskan tidak menjadi kesalahan jika seseorang mahu menyewa di hotel atau inap desa asalkan hubungan antara ibu bapa, adik beradik dan sanak-saudara dijaga dengan baik.
SUKAR JAGA AURAT JIKA TIDUR BERAMAI-RAMAI DI RUANG TAMU
Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri tetap disambut meriah walaupun ramai yang memilih untuk tidur di hotel dan inap desa berbanding di rumah keluarga kerana mahu keselesaan dan menjaga batas aurat.
Menurut Nur Atiqah Faizwaty Mohd Faizal Azmi, 28, sudah menjadi kebiasaan untuk dia dan keluarga tidur di inap desa berbanding tidur di rumah keluarga kerana mahu menjaga batas dan aurat sebagai seorang wanita.
Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, Nur Hanani Amira A Halim, 23, berkata, dia dan keluarga memilih untuk tidur di inap desa kerana mahu keselesaan sewaktu tidur "Kalau menginap di rumah atok dan nenek, kami perlu tidur di ruang tamu secara beramai-ramai dan keadaan itu memerlukan saya untuk memakai tudung sepanjang malam.
"Saya bukan tidak selesa untuk memakai tudung sepanjang hari tetapi mahu juga baring tanpa meletakkan apa-apa kain pada kepala,” katanya.
Pekerja logistik, Nizamuddin Salehuddin, 25, berkata, rumah keluarga di kampungnya tidak mempunyai bilik yang mencukupi menyebabkan dia dan keluarga memilih untuk tidur di rumah sewa.
Katanya, tujuan utama menyewa rumah bukanlah disebabkan tidak mahu bergaul dengan saudara-mara tetapi kerana tiada ruang privasi untuk tidur dan menukar pakaian.
"Tidak timbul isu hubungan renggang atau kurang akrab dalam kalangan ahli keluarga ekoran trend itu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca