SHAH ALAM - Kajian atas talian oleh pusat penyelidikan, Ilham Centre mendapati Kerajaan Perpaduan bergantung kepada populariti dan pengaruh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus kekal stabil. Pengarah Eksekutif Ilham Centre,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kajian atas talian oleh pusat penyelidikan, Ilham Centre mendapati Kerajaan Perpaduan bergantung kepada populariti dan pengaruh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus kekal stabil.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, kajian itu juga menunjukkan 75 peratus daripada lebih 800 responden menaruh harapan tinggi terhadap Anwar untuk memulihkan ekonomi negara dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, sejumlah 81 peratus responden berpandangan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Ahli Parlimen Tambun berkenaan mampu bertahan dan akan kekal sehingga penggal Parlimen ke-15 tamat nanti.

Bagaimanapun, Hisommudin berkata kajian sama menunjukkan Kerajaan Madani pimpinan Anwar, belum memenuhi harapan dan ekspektasi rakyat terutama dalam usaha menangani peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan pemulihan ekonomi negara.

Malah, Hisommudin berkata, kajian itu mendapati sebanyak 88 peratus daripada responden terjejas akibat kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Katanya, kajian berkenaan juga menunjukkan kerajaan hari ini dilihat kurang ke hadapan dalam mengangkat agenda Melayu dan kepentingan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, kajian itu juga mendapati bahawa rakyat mengakui bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini masih menjadi 'juara' dalam melaksanakan agenda membela nasib orang Melayu dan Islam di Malaysia.

"Jadi kesimpulannya, kerajaan hari ini amat bergantung kepada pengaruh dan populariti Perdana Menteri sahaja untuk terus kekal stabil, manakala peranan anggota Kabinet lain tidak begitu menonjol.

"Bagaimanapun, 62 peratus daripada responden dalam kajian ini berpandangan pengenalan menu dan pelbagai inisiatif Rahmah sedikit sebanyak mampu meredakan dan menyerap beban kos sara hidup isi rumah di Malaysia, sekali gus memberi kredit kepada kerajaan pimpinan Anwar,” katanya kepada Sinar Premium.

Untuk rekod, kajian Ilham Centre itu tidak mewakili suara sebenar rakyat Malaysia kerana ia dibuat secara online menerusi Facebook rasmi Hisommudin dan hanya merangkumi rakan, kenalan, pengikut dan mereka mempunyai akses sahaja.

Kajian itu juga tidak menggambarkan demografi sebenar rakyat Malaysia kerana tidak ramai wanita dan golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun menyertainya susulan kebanyakan pengguna Facebook terdiri daripada mereka berusia 30-an dan ke atas.

Hisommudin berkata, lebih 60 peratus responden berpandangan bahawa sistem hebahan dan komunikasi kerajaan sekarang amat lemah sehingga mereka terpaksa bergantung kepada imej dan political stunt dilakukan oleh Anwar.

"Kalau disuluh mengikut agensi tertentu berkaitan dengan kepentingan seperti Kementerian Kewangan; Kementerian Ekonomi; Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) maka ia akan menimbulkan rasa ketidakpuasan rakyat amat tinggi.

Hisommudin berkata, kajian berkenaan menunjukkan, 75 peratus responden melahirkan keyakinan bahawa Anwar mampu melakukan sesuatu lebih baik memulihkan ekonomi negara, pada masa depan.

"Jadi kerajaan tidak boleh menyalahkan PN kerana mereka mengambil kesempatan dan menuai hasil di atas kegagalan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan mengawal kadar inflasi negara sekarang," katanya.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Anwar juga perlu memberikan penjelasan terperinci mengenai nilai sebenar pelaburan langsung asing (FDI) yang di bawa balik ke Malaysia setiap kali Ahli Parlimen Tambun itu pergi lawatan ke luar negara.

Ditanya mengenai sama ada isu kegagalan manifesto pilihan raya menjadi punca rakyat kurang yakin untuk menyokong gabungan PH-BN dalam PRN nanti, ini jawapan Hisommudin;

"Mungkin bagi PH dan Anwar misalnya janji mereka untuk menurunkan harga minyak menjadi RM1.50 adalah janji manisfesto dibuat semasa mereka berada dalam Pakatan Rakyat (PR) dulu.

"Namun hakikatnya retorik itu dituntut kerana sekarang ini rakyat tidak mengambil kira zaman bila Anwar berucap tetapi rakyat mahukan kerajaan memberikan justifikasi kenapa mereka masih gagal mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup dan harga barang dihadapi sekarang walaupun mereka sudah berjanji akan berbuat demikian, sebelum PRU15," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca