SEMOGA semua yang balik kampung pada musim perayaan ini selamat dalam perjalanan untuk berjumpa dengan orang tua dan sanak saudara di kampung.
Dalam masa tiga empat bulan lagi, ramai mungkin perlu balik kampung sekali lagi untuk mengundi. Bagi saya, rakyat Malaysia perlu bangkit menuntut keperluan itu dihapuskan.
Balik kampung sepatutnya bila kita ingin berjumpa dengan kaum kerabat atau rindukan kampung halaman. Tetapi mengapa kita perlu balik, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan terdedah dengan risiko kemalangan semata-mata untuk mengundi?
Kalau kita pengundi di Kota Bharu tetapi berada di Johor Bahru, kenapa perlu kita memandu sejauh hampir 550 kilometer (km) atau berbelanja RM500 hingga RM600 untuk tiket kapal terbang bagi menunaikan kewajipan dalam menentukan masa depan negeri kita?
Jika ramai yang tidak mampu balik kampung atau ambil cuti untuk mengundi, hak mengundi itu menjadi hak istimewa untuk mereka yang lebih berada dan mempunyai wang.
Tidakkah lebih baik rakyat yang berada di luar negeri membuang undi seminggu lebih awal di pusat pengundian di ibu-ibu negeri mereka berada, dan undi-undi mereka dikirim balik ke kawasan masing-masing untuk dikira?
Kalau dulu Kementerian Kesihatan boleh menubuhkan pusat pemberian vaksinasi (PPV) di banyak bandar di seluruh negara, mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh menubuhkan pusat pengundian di ibu-ibu negeri di Semenanjung dan kota-kota besar di Sabah dan Sarawak?
Kemudahan mengundi jarak jauh sebenarnya akan menguntungkan semua pihak. Pertama, rakyat yang tidak perlu bersusah payah, berbelanja banyak dan terdedah dengan kemalangan untuk balik kampung.
Kedua, parti-parti dapat menaikkan kadar jumlah mengundi tanpa pembayaran kos tambang yang boleh melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Ketiga, kegiatan ekonomi tidak terganggu dengan kakitangan mengambil cuti untuk mengundi atau kerajaan-kerajaan negeri mengumumkan cuti awam masing-masing.
Jika tarikh pilihan raya negeri (PRN) boleh ditetapkan pada pertengahan Ogos dan diumumkan sekarang juga, maka rakyat boleh mendaftar untuk menikmati kemudahan ini dan SPR boleh merancang pelaksanaannya dalam masa hampir 100 hari.
Kalau sempat buat persediaan untuk cuma 500,000 pemohon pertama sahaja, maka bukalah peluang ini untuk early bird.
Kalau ingin, seribu daya. Yang membawa seribu dalih ialah keengganan SPR dan kerajaan untuk memudahkan rakyat.
Salah satu dalih yang digunakan ialah menyalahkan rakyat kerana tidak menukar alamat pendaftaran pengundi apabila mereka berpindah.
Dalih ini mengabaikan hakikat bahawa kehidupan era sekarang tidak terikat dengan satu tempat saja contohnya kita menetap di kota A, bekerja di bandar B dan malah memiliki hartanah di kampung C. Kenapa amalan pengundian tidak boleh dikemas kini mengikut peredaran masa?
Dalih ini juga tidak membincangkan kesannya di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak yang akan kehilangan ramai pengundi sehingga lebih teruk lagi ketidakseimbangan antara kawasan.
Semoga hak untuk mengundi dengan senang dan tidak membebankan akan lantang diperbincangkan dalam perbualan ketika raya ini sehinggalah orang besar SPR, kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dapat memahami masalah orang kebanyakan.
Kalau orang politik inginkan undi kita, pertama pastikan kita semua mampu mengundi.
Di longkang berdiri keladi,
Merenung jauh teratai terapung,
Kalau semua berhak undi,
Kenapa perlu balik kampung?
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca