UMUM sedia maklum mengenai isu lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal. Secara tidak langsung, ini turut memberi implikasi terhadap sistem pendidikan negara termasuk pengurusan kurikulum, pentaksiran, pendidikan, latihan dan... Klik di sini untuk terus membaca

UMUM sedia maklum mengenai isu lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal. Secara tidak langsung, ini turut memberi implikasi terhadap sistem pendidikan negara termasuk pengurusan kurikulum, pentaksiran, pendidikan, latihan dan kebajikan guru.

Beban tugas bagi lebih 400,000 guru-guru Malaysia sudah pastinya berbeza dari aspek kedudukan geografi, jenis sekolah, sosial, budaya, sahsiah murid, pentadbiran dan sebagainya.

Perbahasan berkenaan isu ini membawa kepada persoalan sejauh manakah guru-guru pelatih bersedia untuk menempuhi realiti dunia pendidikan yang terbukti mencabar.

Minat dan akademik semata-mata tidak menjamin daya tahan dalam profesion ini. Terdapat beberapa elemen perlu diberikan perhatian seawal dalam tempoh pengajian guru-guru pelatih untuk melonjakkan kesediaan mereka terutamanya kemahiran penyampaian, daya fikir, personaliti, daya tahan dan sifat prososial.

Kemahiran penyampaian berkesan adalah kebolehan memindahkan maklumat dan maksud kepada orang lain dengan baik.

Bagi setiap guru, ia adalah seni menyampaikan maksud kepada orang lain dengan variasi, unik,meninggalkan kesan, menimbulkan rasa ingin tahu, memodelkan kemahiran berfikir, menghibur, menyentuh hati serta disampaikan dengan fasih lagi tersusun mengikut kesesuaian pendengar. Ini menuntut seorang penyampai berfikir secara terancang, kritis, kreatif dan bersifat spontan.

Guru-guru pelatih mesti menguasai kemahiran ini agar tugas utama guru dapat dilaksanakan dengan mudah dan berkesan. Platform latihan penyampaian rasmi seperti pembentangan, latihan mengajar dan program khidmat masyarakat berkredit adalah terhad sedangkan kemahiran ini memerlukan aplikasi yang lebih dari sekadar itu.

Justeru inisiatif sendiri perlu diambil seperti menyertai pertandingan, kesukarelawanan, mengajar tuisyen, guru rakan sebaya dan program kepemimpinan. Pada peringkat ini keberkesanan kemahiran penyampaian diuji dan ditambah baik untuk diaplikasikan ke dalam bilik darjah kelak berbanding kebergantungan terhadap skor tugasan berorientasikan pembentangan.

Daya fikir bukan sekadar keupayaan intelektual, malah fokus dan gaya pemikiran dalam melaksanakan tugas- tugas keguruan. Guru-guru pelatih berdaya fikir tinggi membudayakan sifat cinta ilmu di dalam dan luar kepakaran termasuk teknologi, pedagogi khusus kandungan serta peka dengan perkembangan pendidikan.

Sebagai contoh, bakal-bakal guru ini sewajarnya telah mempunyai keterujaan mendalami Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) serta pendekatan terbaik mencapai objektif pembelajaran.

Pembudayaan sifat proaktif ini kelak menjadi kekuatan untuk menyumbang guru sebagai jurulatih utama mata pelajaran dan pentaksiran, inovator, guru cemerlang, ikon bagi murid dan pemimpin institusi pendidikan.

Daya fikir yang hebat turut menonjolkan kemahiran penyampaian dan personaliti seseorang dengan tutur kata jelas berfokus, berilmu, sifat terbuka, disenangi dan mudah didekati.

Personaliti adalah penting bagi membina persepsi terhadap guru yang merangkumi aspek penampilan dan pengurusan diri. Ini terkait dengan faktor amalan gaya hidup sihat, pengurusan berat badan, kekemasan dan keyakinan diri untuk menonjolkan ciri-ciri guru yang mempunyai persona memotivasikan murid.

Kecergasan guru memudahkan pelaksanaan tugas-tugas keguruan secara efektif seiring dengan usia selain membantu pengurusan stres secara berkesan. Personaliti menarik seseorang juga ditentukan oleh pengurusan diri seperti mengurus masa, memimpin, rendah diri serta menyusun keutamaan tugas.

Dalam konteks pengajian guru-guru pelatih, tolak ansur terhadap isu-isu sahsiah seperti kekemasan diri, kehadiran lewat ke kuliah dan mengingkari tempoh masa penghantaran tugasan wajar diketatkan kerana sikap tersebut membawa gambaran karakter sebenar mereka.

Rumusannya, setiap guru pelatih mestilah membina identiti yang kuat untuk berada di dalam arena pendidikan yang begitu mencabar. Pelbagai aspek perlu diperkuatkan dalam diri seorang bakal guru agar mereka bersedia secara mental dan fizikal seawal di dalam tempoh pengajian.

Guru-guru pelatih mesti melaksanakan refleksi kendiri secara berterusan berkaitan kemahiran penyampaian, daya fikir, personaliti, daya tahan dan sifat pro-sosial.

Sistem pendidikan negara amat memerlukan generasi baharu yang berkualiti dan mampu bertahan untuk menyumbang ke arah perkembangan pendidikan yang cemerlang. Adalah diharapkan guru-guru pelapis lebih bersedia dan berdaya tahan dalam menempuhi dunia pendidikan demi menjamin kelangsungan sistem pendidikan negara.

* Dr Tajul Rosli Shuib ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Klik di sini untuk terus membaca