SHAH ALAM - Sebuah syarikat pinjaman wang di sini mendedahkan, mereka tidak lengang dengan pelanggan yang ingin membuat pinjaman sebanyak RM5,000 sehingga RM10,000 setiap hari semata-mata untuk menyambut hari raya.
Pegawai pemasaran jualan dikenali Ah Kuan, 30, berkata, mereka menerima lebih daripada 20 permohonan sehari semasa bulan Ramadan.
"Semasa musim perayaan, permintaan untuk meminjam wang akan meningkat. Kami menerima permohonan dalam 15 ke 20 orang sehari, namun hanya beberapa orang sahaja yang lulus mengikut syarat dan kriteria yang dibenarkan.
"Tahun ini, permintaan untuk meminjam wang meningkat pada pertengahan bulan puasa. Untuk raya, mereka biasanya meminjam RM5,000 hingga RM10,000 dalam satu-satu masa,” katanya kepada Sinar Premium.
Menjawab persoalan tentang faktor yang mempengaruhi pelanggan meminjam wang semasa musim perayaan, Ah Kuan berkata, kebanyakan mereka memerlukan wang tersebut untuk perbelanjaan hari raya dan membuat pinjaman kenderaan.
"Ramai juga yang mahu menyewa atau membeli kereta baharu untuk berhari raya dan pulang ke kampung halaman. Selain daripada musim perayaan, ada yang membuat permohonan untuk membayar balik pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Sekiranya syarikat tidak memberi bonus awal untuk raya, mereka akan mencari syarikat pinjaman wang seperti kami,” katanya.
Tambah Ah Kuan, permohonan untuk meminjam wang sentiasa bertambah, namun syarikat akan melihat kepada dokumen secara terperinci sama ada layak meminjam atau tidak.
"Sekarang ini, banyak permohonan yang terpaksa ditolak kerana tidak menepati piawaian yang ditetapkan,” katanya.
Jelas Ah Kuan, tempoh pembayaran balik juga bergantung kepada syarat pinjaman masing-masing.
"Untuk pinjaman yang biasa dilakukan pada musim raya, tempoh bayaran balik adalah selama satu hingga dua tahun,” katanya.
Dalam pada itu, sebuah lagi syarikat pinjaman di Subang Jaya mendedahkan, mereka menerima lebih enam permohonan pinjaman sehari untuk persiapan menjelang Syawal.
"Kebanyakannya meminjam untuk persiapan Aidilfitri atau perbelanjaan selepas raya.
"Pada kebiasaannya, jumlah yang dipinjam untuk hari raya tidak sebanyak pinjaman yang lain iaitu sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sahaja.
"Melalui jumlah ini, tempoh yang perlu dibayar balik haruslah kurang daripada dua tahun,” katanya.
Bagaimanapun, pegawai pemasaran jualan yang hanya ingin dikenali sebagai Jecky, 30, itu berkata, tidak semua permohonan akan lulus kerana ia bergantung kepada gaji bersih dan komitmen individu.
Klik di sini untuk terus membaca