SHAH ALAM - Peribahasa ukur baju di badan sendiri sering dilupakan akibat keghairahan menyambut Aidilfitri merupakan antara punca pengguna ‘pokai’ selepas raya. Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, sikap boros segelintir... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peribahasa ukur baju di badan sendiri sering dilupakan akibat keghairahan menyambut Aidilfitri merupakan antara punca pengguna ‘pokai’ selepas raya.

Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, sikap boros segelintir masyarakat yang sanggup berhutang demi berbelanja sakan semata-mata untuk menyambut Aidilfitri dikhuatiri akan terjerumus di dalam lembah kemiskinan selepas raya.

"Jika sebelum raya sudah miskin tetapi selepas raya bertambah miskin, ada yang tidak betul dengan neraca perayaan mereka. Sekiranya pendapatan isi rumah hanya RM5,000 sebulan, sudah memadai untuk mempunyai dua pasang baju raya, mengikut keperluan.

"Apabila kita berbelanja lebih, kebarangkalian untuk menjadi miskin itu tinggi. Kebanyakan orang akan mencipta hutang apabila kos yang dihitung tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan selepas raya,” katanya kepada Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Azizul berkongsi, antara faktor yang menyumbang kepada kemiskinan selepas raya adalah tidak celik dalam membina bajet kewangan dan menyediakan belanjawan keluarga.

"Ramai yang sangkut bayar hutang atau kad kredit selepas raya kerana tidak menyediakan bajet yang sepatutnya semasa berbelanja. Apabila tidak mempunyai pelan belanjawan, maka kita lebih cenderung untuk berbelanja tanpa had.

"Selain itu, masyarakat perlu mempunyai kesedaran bahawa nilai barangan yang dibeli untuk perayaan akan menyusut seperti baju Melayu.

"Baju Melayu yang lengkap tidak begitu praktikal dan hanya akan dipakai pada hari Jumaat atau majlis tertentu sahaja. Oleh itu, ia tidak perlu dibeli setiap tahun dan mungkin digantikan dengan kurta yang lebih sesuai dipakai pada bila-bila masa,” katanya.

Azizul yang juga seorang penulis buku kewangan berkata, budaya miskin selepas raya ini sentiasa meningkat setiap tahun akibat pengguna berbelanja sakan semasa raya sehingga terpaksa berhutang.

Akibat mengikut nafsu dan keterujaan menyambut Syawal, ramai yang dikhuatiri akan terjerumus di dalam lembah kemiskinan selepas raya.

"Mereka yang meminjam sebelum raya akan terasa kesannya selepas raya. Saya percaya ramai yang menghadapi masalah ini apabila mereka tiada simpanan kecemasan apatah lagi sinking fund (kumpulan wang pelepas).

"Semasa musim perayaan, kita mengandaikan orang akan berbelanja dua kali ganda daripada kebiasaannya. Namun, tidak mustahil tahun ini mungkin berbeza kerana Aidilfitri jatuh di pertengahan bulan, sementara kerajaan juga tidak membenarkan pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Tambahnya, terdapat tiga kaedah pinjaman ‘popular’ yang sering diguna pakai oleh pengguna selepas raya iaitu pinjaman tidak berlesen atau along, koperasi dan pajak gadai.

"Ramai yang suka membuat pinjaman pajak gadai yang mana mereka meletakkan barang dan mendapat 60 hingga 70 peratus daripada nilai barangan itu dengan kadar tempoh pinjaman selama enam bulan.

"Malangnya, hampir 87 peratus gagal menebus semula barangan tersebut kerana masa yang diberi untuk menebus semula terlalu singkat,” katanya.

T20 TURUT POKAI

Dalam pada itu, trend miskin selepas raya ini tidak hanya berlaku pada golongan B40 sahaja, malah T20 turut tidak terkecuali menjadi pokai bergantung kepada tanggungan dan peruntukan perbelanjaan yang dibuat.

"Golongan B40 mungkin balik ke kampung menaiki kereta Bezza yang menjimatkan kos perjalanan mereka manakala golongan T20 memerlukan RM10,000 untuk kos servis kenderaan dan perbelanjaan raya.

"Disebabkan itu, mereka juga akan menghadapi masalah kewangan biarpun mempunyai gaji yang berbelas ribu,” kata Azizul.

Namun, Azizul berkata, masih belum terlambat untuk orang ramai mencegah perkara ini daripada berlaku dan menerap kesedaran untuk berbelanja dengan berhemah.

"Pertama, mereka harus bijak merancang kewangan. Tahun depan, jangan merancang perbelanjaan raya semasa bulan puasa tetapi setahun sebelum raya agar kita dapat membuat simpanan.

"Seterusnya, kita perlu mengehadkan perbelanjaan mengikut keperluan untuk raya. Paling penting, elakkan berhutang semasa raya,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca