JOHOR BAHRU - Jenayah penyeludupan migran dan kontraban (barangan terlarang) popular pada musim perayaan. Kebiasaannya pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin pulang ke negara asal akan menggunakan khidmat sindiket melalui syor atau... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU - Jenayah penyeludupan migran dan kontraban (barangan terlarang) popular pada musim perayaan.

Kebiasaannya pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin pulang ke negara asal akan menggunakan khidmat sindiket melalui syor atau hebahan mulut saudara mara dan rakan.

Ada sebilangan sindiket yang mengiklankan perkhidmatan mereka di media sosial seperti Facebook, namun kurang sambutan kerana ramai PATI yang ditipu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil risikan mendapati dijangkakan berlaku cubaan masuk dan keluar PATI pada musim perayaan ini melalui perairan Johor.

"Modus operandi yang digunakan sindiket adalah menjanjikan urusan perjalanan yang sah ke Malaysia. Namun, setelah tiba di Batam atau Tanjung Pinang Indonesia, mereka (PATI) akan ditempatkan di pusat penampungan untuk satu tempoh tertentu sebelum menaiki bot pada waktu malam secara haram.

"Berdasarkan beberapa siri tangkapan dan soal siasat, PATI yang mahu menyambut Syawal di negara asal tidak lagi berhubung dengan sindiket di Malaysia, sebaliknya berurusan terus dengan pihak sindiket di Batam, Indonesia.

"Mereka diarah untuk menunggu di lokasi pelepasan iaitu pesisiran pantai yang akan diberitahu selepas tarikh tertentu dipersetujui,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kebiasaan PATI yang berurusan terus dengan sindiket sebegini adalah melalui rakan yang pernah berurusan dan berjaya dibawa pulang.

Katanya, PATI ini juga akan menggunakan perkhidmatan sindiket melalui syor saudara-mara yang pernah mendapatkan khidmat sindiket terbabit.

Polis Johor memberkas PATI yang cuba menyeludup masuk ke negeri itu pada tahun ini.
Polis Johor memberkas PATI yang cuba menyeludup masuk ke negeri itu pada tahun ini.

"Mereka juga kurang menggunakan tawaran di Facebook kerana khidmat itu ramai yang ditipu setelah membuat pembayaran,” ujarnya.

Ujar Kamarul Zaman, keluasan Johor ialah 7,400 batu persegi dan keluasan pesisir pantai Johor pula 340 batu nautika dan menjadi sempadan perhubungan antarabangsa.

Oleh itu, kata beliau, sindiket penyeludupan migran dan kontraban akan mengambil kesempatan untuk memilih laluan pantai daripada mengambil risiko di laluan pintu masuk sah kerana negeri Johor sangat hampir dengan negara jiran, Indonesia.

Dedah beliau, sehingga kini terdapat kira-kira 70 laluan tikus yang berjaya dikenal pasti.

"Mengikut pecahan, bagi daerah Muar ada lapan laluan tikus dikesan, Batu Pahat (26), Pontian (lapan), Seri Alam (tujuh), Iskandar Puteri (dua), Kota Tinggi (14) dan Mersing (lima),” jelasnya.

Tambahnya lagi, tidak dinafikan terdapat PATI dalam jumlah kecil sekitar lima hingga 15 orang yang ditangkap dalam cubaan masuk dan keluar dari Malaysia secara tidak sah.

LAKSANA OPERASI KHAS

Ujar Kamarul Zaman, satu operasi khas iaitu Op Taring Gelora dan Op Taring Landai dilaksanakan bermula 19 April sempena musim perayaan.

"Operasi yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Johor ini akan memberi fokus kepada semua aktiviti jenayah di perairan.

"Kawasan sasaran utama ialah di sebelah pantai timur Johor membabitkan kemasukan PATI, dadah dan penyeludupan barang tidak bercukai manakala di sebelah Pantai Barat Johor pula melibatkan aktiviti kemasukan PATI,” katanya.

Ujarnya lagi, sebanyak 11 buat bot akan beroperasi dengan kekuatan keanggotaan seramai 52 orang.

Tambah beliau, selain perangi jenayah rentas sempadan, operasi ini turut mengawasi keselamatan pengguna maritim dan aktiviti kapal dagang di perairan negara.

"Kawalan sempadan negara menjadi cabaran terbesar. Namun, ia harus dipikul dengan kerja berpasukan.

"Kawalan ketat PDRM di darat oleh elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) di pintu masuk akan sentiasa beroperasi bagi memantau pergerakan masuk warga asing. PPM juga akan mengawal ketat laluan di pesisiran pantai selain Cawangan Khas PDRM yang menjalin kerjasama dengan Kedutaan Indonesia di Johor Bahru dalam perkongsian maklumat serta risikan ke atas sindiket.

"Pihak Cawangan Khas juga turut menjalankan tindakan eksekutif seperti serbuan dan tangkapan sindiket di Johor,” jelasnya.

Tegasnya, selepas musim perayaan, PPM Wilayah Dua akan melaksanakan program Rendezvous bersama pihak berkuasa Indonesia bagi membincangkan isu jenayah rentas sempadan bagi mengekang aktiviti jenayah di sempadan perairan kedua-dua negara.

"Semua aset yang ada akan digerakkan bagi memastikan keselamatan sempadan perairan negara tidak diceroboh.

"Pengumpulan dan perkongsian maklumat antara agensi penguatkuasaan lain akan terus dipertingkat,” katanya.

Tambahnya, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dengan jenayah ini.

"Masyarakat diminta untuk menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis menumpaskan sindiket,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca