SHAH ALAM - Dengan pembukaan semula ekonomi selepas Covid-19, kemeriahan menyambut Aidilfitri tahun ini kelihatan lebih meriah daripada biasa.
Berpegang teguh pada konsep raya hanya setahun sekali, rakyat Malaysia kelihatan seronok melakukan perbelanjaan melebihi had kemampuan sehingga menjerat mereka menjadi ‘miskin’ selepas raya.
Keseronokan berbelanja seolah-olah tiada lagi hari esok telah menyebabkan ramai menjadi pokai tanpa sedar sekali gus cenderung untuk berhutang selepas raya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, trend meminjam duit selepas raya meningkat setiap tahun akibat sikap boros segelintir masyarakat yang tidak mengukur baju di badan sendiri.
"Musim raya adalah musim yang paling banyak orang berbelanja. Setiap tahun, budaya meminjam duit selepas raya ini akan meningkat menjadi 70 peratus berbanding 40 peratus sebelum raya.
"Tahun ini, kita lihat lebih ramai orang yang berniaga dan selepas kerajaan kekal berpendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kita menjangkakan trend meminjam duit selepas raya itu pasti akan meningkat,” katanya kepada Sinar Premium.
Selain daripada keghairahan masyarakat yang berbelanja di luar kemampuan pada musim raya, Nadzim berpandangan, keadaan ekonomi menyebabkan ramai yang terdesak untuk menggunakan wang demi perbelanjaan selepas Aidilfitri.
"Kebanyakan golongan yang berhutang ini adalah mereka yang terdesak dan tidak mempunyai rekod kewangan yang baik untuk memohon kad kredit. Oleh itu, mereka akan membuat pinjaman mudah seperti along atau aplikasi yang tidak melibatkan pihak bank,” katanya.
Tambahnya, budaya ‘semua serba baharu’ dan berbelanja secara berlebihan pada musim perayaan adalah punca utama mengapa segelintir masyarakat terpaksa berhutang selepas raya.
"Saya lihat segelintir masyarakat agak sukar mengawal sikap boros semasa raya. Mentaliti ‘jika tidak beli yang baharu, maka tidak beraya’ juga perlu diubah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca