SHAH ALAM - Satu Syawal ini bukanlah seperti sambutan hari raya yang biasa buat Nooryana Najwa Najib, seperti tahun-tahun sebelumnya.
Tahun ini, sebaik terbitnya fajar pagi Hari Raya Aidilfitri, rumah kediaman ibu bapanya di Jalan Langgak Duta di Kuala Lumpur, seakan sepi dan hilangnya keceriaan biarpun di atas meja terhidang lontong, lemang dan rendang.
Malah sebelum menjelang hari raya, persiapan yang dibuat hanya sekadar ala kadar kerana sekelumit rasa gembira langsung tidak muncul di hati Nooryana kerana terkenangkan nasib ayahnya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhari raya di sebalik jeriji besi di Penjara Kajang.
Begitulah perasaan yang dikongsikan Nooryana atau lebih mesra dikenali sebagai Yana tentang kemeriahan Syawal yang tidak lagi dirasai tanpa ayahanda di sisi setelah bekas Perdana Menteri itu disabitkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC International berjumlah RM42 juta pada Ogos, tahun lalu.
Pahit untuk menerima kenyataan, Yana berkongsi, dia tidak pernah terfikir akan mengharungi hari yang paling bermakna itu tanpa insan yang paling disayangi.
Sudah tentu katanya, perkara paling dirindui di pagi raya adalah mencium tangan ayah untuk bermaaf-maafan, menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama di masjid dan memotretkan gambar keluarga di hari raya pertama.
"Ini merupakan Aidilfitri pertama tanpa ayah dan saya berasa amat janggal tanpa dia di sisi. Menjelang hari raya, rutin biasa saya adalah membantu ayah untuk memilih warna baju agar keluarga kami atau ayah dan ibu akan memakai pakaian yang sedondon.
"Kini, detik-detik bermakna itu hanya tinggal kenangan. Sama seperti mereka yang ditarik nikmat berpeluang beraya bersama ayah, tentunya saya juga berasa sedih dan pahit untuk melalui semua ini,” katanya kepada Sinar Premium.
Dari segi makanan di hari raya pula, Yana berkata, ayahnya bukanlah seorang yang cerewet dan akan menjamah makanan yang disediakan.
"Sama seperti orang lain, makanan yang wajib ada semasa hari raya adalah rendang, lemang dan lontong. Cuma makanan kegemaran ayah sudah tentunya rendang Makwan iaitu nenek saya yang didatangkan dari Seremban.
"Ayah selalu berkata bahawa rendang Makwan adalah yang terbaik di dunia, cukup pedas dan sedap dihidang bersama lemang.
"Cuma tahun ini, rendang Makwan memberi sedikit kelainan buat kami sekeluarga,” kongsi Nooryana.
Tetap meneruskan tradisi ayah
Biarpun tanpa kehadiran ayah di sisi, Yana yang menang jawatan Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai dan Exco Puteri UMNO Malaysia dalam pemilihan UMNO baru-baru ini berkata, akan tetap meneruskan tradisi ayahnya pada bulan Syawal.
Suasana yang suram ini juga katanya, turut dirasai oleh semua warga Pekan yang menantikan kehadiran bapanya yang sangat popular dengan gelaran 'Bossku' selepas kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
"Kebiasaannya, kami sekeluarga akan pulang ke rumah arwah nenek (Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah) dan kembali ke Pekan bersama orang-orang kampung pada minggu pertama raya.
"Di akhir Ramadan pula, ayah akan menjemput sahabat-sahabat dan anak-anak yatim untuk berbuka puasa bersama di rumah.
"Malangnya, ayah tidak ada di rumah pada tahun ini namun kami tetap meneruskan tradisi dan berpegang kepada pesanannya untuk bersedekah kepada anak-anak yatim, warga emas, asnaf dan tahfiz," katanya.
Cuma katanya, perkara yang paling menyedihkan buat Yana sekeluarga adalah, ayahnya tidak lagi dapat mengunjungi pusara datuk dan neneknya di Masjid Negara.
"Biasanya sehari sebelum Aidilfitri, ayah akan menziarahi kubur datuk dan nenek untuk melepaskan kerinduan tetapi bermula tahun ini, ayah hanya mampu berdoa dari jauh," kayanya.
Adam Razak rindu atuk
Selain Yana, antara insan yang paling terasa kehilangan dan sedih kerana tidak dapat meluangkan masa bersama Najib terutamanya di hari raya adalah anak sulungnya, Adam Razak Daniyar Kessikdayev, 6.
Yana berkata, sejak Najib ke penjara, Adam Razak yang merupakan cucu yang paling rapat sering bertanyakan keberadaan datuk kesayangannya itu.
"Adam sangat rapat dengan datuk kesayangannya dan selalu bertanya bila datuk akan balik dari 'pejabat' untuk raya bersama. Dia juga sering berasa hairan tentang ‘kehilangan’ datuknya yang tidak pulang ke rumah.
"Anak-anak saya masih kecil dan sukar memahami keadaan politik, urusan mahkamah, dan perubahan dalam keluarga kami. Sepanjang masa ini, saya terpaksa memberitahu mereka yang datuk sibuk bekerja dan mahkamah serta penjara itu adalah pejabat datuk.
"Sebagai ibu, saya mahu Adam membesar dengan suasana yang positif dan memberikan persekitaran terbaik buat anak-anak. Peranan seorang ibu itu tidak mudah apatah lagi menjadi anak kepada Najib tetapi saya perlu tabah menghadapi dugaan ini demi ayah dan keluarga,” katanya.
Pernah mengharapkan bahawa Ramadan ini dapat melihat ayahnya dibebaskan pada 31 Mac lalu iaitu ketika semakan kehakiman untuk membatalkan sabitan dan hukuman, Yana berkongsi segalanya menjadi bertambah perit selepas keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan.
"Harapan kami pada 31 Mac yang lalu, ayah boleh pulang berbuka puasa dan solat berjemaah bersama keluarga seperti tahun-tahun sebelumnya tetapi hasrat kami tidak kesampaian.
"Mungkin kami sekeluarga terlalu optimis bahawa ayah akan mendapat keadilan melalui proses semakan penghakiman. Walau bagaimanapun, keputusan tidak menyebelahi ayah dan perkara ini amat sukar untuk kami terima.
"Bulan Ramadan juga sangat sunyi buat kami sekeluarga yang mana saya sering melihat sejadah ayah di rumah yang disimpan di tepi, tanpa orang yang solat di atasnya. Paling sedih, kami tidak dapat tarawih bersama-sama dengan satu keluarga tahun ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca