SAN DIEGO - Tikus sememangnya sudah sekian lama menjadi mangsa prejudis manusia, tambahan pula ia dilihat lebih membawa kemudaratan berbanding kebaikan.
Namun, tikus gergasi Afrika bernama Runa di Zoo San Diego, Amerika Syarikat (AS), ia 'berusaha' sebaik mungkin untuk menghilangkan stigma buruk manusia.
Runa merupakan salah seekor daripada beberapa tikus di tiga zoo AS yang digelar sebagai 'duta' kerana membantu melancarkan operasi penguatkuasaan dan tugasan lain.
Tikus-tikus ini termasuk Runa disumbangkan oleh sebuah organisasi yang berpangkalan di Tanzania, APOPO yang melatih tikus gergasi Afrika untuk memerangi penyeludupan haiwan liar, mengesan penyakit dan melaksanakan tugas bermanfaat lain.
Sekurang-kurangnya dua kali ganda populasi tikus gergasi Afrika yang ditemui di kawasan bandar seperti Runa terkenal dengan kebolehan mengesan periuk api dan bahan letupan lain di Angola, Mozambique dan kemboja sehingga mendapat jolokan 'tikus wira'.
Kini, usaha sedang giat dijalankan untuk meluaskan penggunaan deria bau haiwan itu untuk mencari mangsa yang terperangkap dalam bangunan runtuh, mengesan penyakit dalam sampel makmal dan 'memaklumkan' pegawai mengenai barangan haram di pelabuhan dan lapangan terbang.
Mula 'bertugas'
Enam ekor tikus gergasi Afrika menamatkan tempoh percubaan pertama dan diambil bekerja pada bulan Mac.
Tikus-tikus tersebut dihantar ke sebuah pelabuhan di Tanzania selama sebulan, di mana haiwan tersebut ditugaskan untuk mengesan barangan seludup termasuk tenggiling.
Tenggiling merupakan antara haiwan yang paling banyak diperdagangkan di dunia.
Dagingnya dianggap sebagai makanan istimewa di Vietnam dan beberapa bahagian di China, manakala sisiknya digunakan dalam perubatan tradisional China.
Barangan terlarang hidupan liar disembunyikan di antara sejumlah besar kontena perkapalan yang meninggalkan Dar es Salaam di Tanzania dan pelabuhan Afrika yang lain setiap tahun.
Runa pada mulanya dilatih untuk mengesan periuk api, tetapi ia sering terganggu semasa bekerja.
Bagaimanapun, ia menjadi duta yang cemerlang, kata pakar penjagaan hidupan liar utama di Zoo San Diego, Cari Inserra.
Baru-baru ini, jurulatihnya menyembunyikan bekas kecil teh chamomile di bawah tanah di dalam kotak. Sebaik sahaja ia dilepaskan dari kurungan, hidung kecil Runa mula bekerja.
Dalam beberapa saat ia telah menemukan semua bekas tersebut dan pergi ke arah picagari yang diisi dengan smoothie perisa pelet dan pisang.
"Salah satu perkara yang paling menyeronokkan untuk dilihat adalah bagaimana ia mengubah persepsi orang ramai,” kata Inserra.
Nicki Boyd dari Zoo dan Perikatan Hidupan Liar San Diego, berkata bahawa tikus menawarkan alat penting untuk memerangi pemerdagangan hidupan liar yang ingin diketengahkan oleh zoo memandangkan perdagangan haiwan haram sangat merosakkan spesies terancam dan dilindungi.
"Saya percaya terdapat keupayaan untuk meningkatkan skala ini," ujar Boyd.
Masih dibenci
Biar pun tikus seperti Runa memberi manfaat kepada manusia, namun haiwan berkenaan tetap dibenci.
Malah, amat mustahil untuk tikus menjadi haiwan kesayangan manusia.
Di New York misalnya, bandaraya itu telah menawarkan pekerjaan semata-mata untuk membunuh tikus.
Baru-baru ini, Datuk Bandarnya, Eric Adams telah memperkenalkan seorang bekas guru sekolah rendah dan aktivis anti-tikus, Kathleen Corradi sebagai ‘czar tikus baharu’ yang bertugas untuk memerangi berjuta-juta tikus yang berkeliaran di bandar itu.
Iklan untuk jawatan tersebut menyatakan bahawa bandaraya tersebut sedang mencari pemohon yang ‘dahagakan darah dan memiliki naluri pembunuh’.
Walaupun jawatan rasminya adalah pengarah mitigasi tikus, peranan itu telah digelar sebagai 'czar tikus'.
Gaji ditawarkan adalah sebanyak AS$120,000 (kira-kira RM526,500) hingga AS$170,000 (kira-kira RM745,875).
Dalam sidang akhbar pertama dalam tugasnya, Corradi berdiri di sebelah Adams, menyatakan kebenciannya terhadap tikus dan berikrar untuk menggunakan sains untuk menghapuskan bandar itu daripada tikus.
Tikus boleh menyebarkan penyakit seperti leptospirosis, yang kadang-kadang boleh menyebabkan meningitis dan menyebabkan kegagalan buah pinggang dan hati.
Sudah dijangka
Saintis penyelidikan tingkah laku di APOPO, Izzy Szott yang melatih tikus untuk bekerja untuk kerajaan, berkata dia tidak terkejut mendengar tikus telah dinamakan sebagai musuh nombor satu, tetapi dia mahu orang ramai mengetahui gambaran penuh.
Harapannya adalah dengan mempunyai duta tikus di zoo terkenal, seperti San Diego akan membawa kepada lebih pemahaman dan sokongan untuk penyelidikan tikus.
"Tikus secara umum sebenarnya merupakan haiwan yang agak bersih.
"Ia sentiasa merapikan diri dan sering menjilat tangan jurulatih mereka dengan penuh kasih sayang selepas dibelai," kaya Szott – Agensi
Klik di sini untuk terus membaca