PUTRAJAYA - Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir memberi jaminan Kerajaan Perpaduan dan pihaknya akan memberi ruang seluas-luasnya kepada seluruh kakitangan kementerian itu untuk menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarga tercinta sepanjang minggu pertama bulan Syawal.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, inisiatif itu sendiri diutarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mahu kakitangan awam bagi setiap kementerian dibebani dengan program-program kerajaan yang tidak mendesak pada minggu pertama perayaan Aidilfitri tersebut.
Ujarnya, sebarang program susulan kementerian yang tidak mendesak termasuk penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri hanya akan dirancang selepas minggu pertama perayaan utama umat Islam itu berakhir.
"Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, beliau sendiri menegaskan supaya minggu pertama sambutan Syawal dan perayaan Aidilfitri akan diberi ruang sepenuhnya kepada kakitangan kerajaan untuk meluangkan masa bersama keluarga masing-masing.
"Oleh itu, hendak kata jadual waktu saya padat sepanjang perayaan Aidilfitri walaupun kali pertama menyambutnya sebagai timbalan menteri adalah kurang tepat. Ini kerana saya masih berkesempatan meluangkannya dengan keluarga bersama anggota kementerian lain pada minggu pertama Syawal," ujar Ahli Parlimen Johor Bahru itu.
Ditanya perbezaan pengalaman menyambut hari pertama Syawal sebagai anggota timbalan menteri pada tahun ini berbanding wakil rakyat pembangkang tahun lalu, Akmal mengakui suasananya lebih meriah kerana berkongsi kegembiraan menyambutnya bersama warga KPKT.
Selain komited menyantuni rakyat memerlukan di Parlimen Johor Bahru dalam memastikan tiada tercicir dalam meraikan kemeriahan Aidilfitri, Akmal bersama KPKT turut menyalurkan sedikit sumbangan Aidilfitri kepada kumpulan pekerja sokongan kementerian bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan raya.
"Menyelang perayaan Aidilfitri, salah satu kemeriahan dirasai saya selain daripada keterujaan menyambutnya bersama rakyat Parlimen Johor Bahru dan keluarga adalah sambutan raya bersama warga kerja KPKT.
"Kalau sebelum ini saya sibuk menyalurkan bantuan Aidilfitri kepada rakyat Johor Bahru memerlukan, kali ini saya bersama KPKT berkesempatan menyalurkan sedikit sumbangan kepada kumpulan pekerja sokongan kementerian ini bagi membantu mereka membuat persiapan raya.
"Dengan Kerajaan Pusat turut mengumumkan pemberian sumbangan Aidilfitri kepada semua kakitangan awam sebanyak RM700, saya fikir paling penting adalah melihat warga kerja KPKT tersenyum menyambut Syawal selepas mereka bertungkus-lumus berkhidmat untuk negara," ujar Akmal.
Ditanya mengenai agihan masa beliau bersama keluarga, kementerian dan rakyat pada hari pertama Syawal, Akmal mengakui beliau terpaksa memilih untuk beraya di Putrajaya terlebih dahulu bagi memenuhi undangan mendirikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama barisan kabinet dan Yang di-Pertuan Agong.
"Sudah pasti keputusan ini memberi sedikit cabaran kepada saudara-mara dan rakan-rakan yang sudah biasa menyambut hari pertama Aidilfitri bersama saya di Johor Bahru pada tahun-tahun terdahulu.
"Tetapi pengalaman baharu saya sebagai timbalan menteri memerlukan pemahaman dan timbang rasa mereka serta pengorbanan waktu saya sendiri bagi membolehkan setiap pihak dapat menunaikan tanggungjawab diamanahkan.
"Jadi bagi saya, tidak bermaksud amanah sebagai timbalan menteri menyebabkan saya langsung tiada masa dengan keluarga. Akhirnya sebaik-baiknya Syawal itu disambut dengan keluarga kita sendiri sebelum kita menguruskan masyarakat dan kumpulan rakyat yang lain," luah Akmal lagi.
Klik di sini untuk terus membaca