SHAH ALAM - "Kepala Batas merupakan rumah, tanah tumpahnya darahku dan rakyatnya adalah tanggungjawab saya. Perasaan gusar dan resah sekiranya tidak dapat memberikan yang terbaik buat mereka sentiasa menghantui saya”.
Begitulah luahan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang merupakan salah satu wakil rakyat pembangkang tatkala mengulas tentang perasaannya apabila tidak menerima peruntukan tahunan daripada kerajaan bagi membantu rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.
Sebagai wakil rakyat yang dilantik buat pertama kali setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun lalu, terdapat pelbagai cabaran yang ditempuhi oleh Siti Mastura bagi memastikan kebajikan rakyat di sana sentiasa dilindungi.
"Tidak mudah untuk mencari sumber kewangan sendiri apabila kami tidak mendapat peruntukan seperti ahli Parlimen kerajaan yang lain. Semestinya saya berasa sedikit terkilan dan tidak adil buat rakyat.
"Ketiadaan peruntukan menyebabkan bantuan kepada masyarakat terhad dan tidak menyeluruh. Setiap wakil rakyat pasti mahu memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di kawasannya dan membantu seramai mungkin yang memerlukan.
"Bantuan kewangan sangat penting untuk memastikan rakyat terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dapat menyambut Syawal dengan keadaan yang serba lengkap,” katanya kepada Sinar Premium.
Demi memastikan rakyat di Kepala Batas mendapat bantuan dana yang secukupnya menjelang raya, Siti Mastura terpaksa bertungkus-lumus mencari sumber kewangan sendiri melalui infak kawan-kawan, korporat dan beberapa individu yang dermawan.
"Sehingga ke hari ini, kami masih menerima aduan dan permintaan sumbangan untuk persiapan hari raya di samping bantuan bagi anak-anak yang bersekolah.
"Antaranya ialah keperluan asas makanan, kos kesihatan, baiki rumah, bayaran bil elektrik dan air yang tertunggak, rumah anak yatim serta pusat pendidikan khas yang kurang dana atau lambat mendapat peruntukan.
"Sebagai wakil rakyat, saya akan cuba memberikan khidmat terbaik dengan menyantuni masyarakat di setiap peringkat serta menghadiri jemputan-jemputan di sana,” ujarnya.
Kata Siti Mastura, terdapat sedikit kelainan raya tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya sebagai ahli Parlimen dengan pelbagai kunjungan dan sambutan yang perlu dilakukan bersama penduduk di Kepala Batas.
"Saya lebih memberi perhatian kepada sumbangan-sumbangan yang akan diberikan untuk penduduk di Kepala Batas. Tahun ini, kami memberi sedikit bantuan yang dikenali sebagai ‘Sumbangan Kit Ramadan Kepala Batas Sejahtera’ buat asnaf bagi meringankan beban masyarakat di sana.
"Selain itu, kami banyak melakukan aktiviti seperti mengedarkan bubur lambuk setiap minggu pada hari Jumaat, jualan ikan murah, iftar, solat terawih serta Tadarus al-Quran bersama masyarakat, kuliah Dhuha bersama muslimat, kunjungan hormat agensi atau ‘dekati peniaga Kepala Batas’ dan sambutan jamuan Aidilfitri yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Sebelum ini, Kepala Batas adalah antara daerah di Pulau Pinang yang dilaporkan berlaku kejadian banjir kilat pada tahun lepas sehingga menyebabkan beberapa pusat penempatan sementara (PPS) terpaksa dibuka bagi menempatkan mangsa.
Oleh itu, Siti Mastura sentiasa memastikan mereka bersiap sedia dengan segala bantuan yang diperlukan agar persiapan raya bagi rakyat yang terjejas dengan banjir sebelum ini berjalan dengan lancar.
"Kami mengambil maklum dan prihatin dengan mangsa-mangsa banjir sebelum ini terutamanya menjelang Aidilfitri akan datang. Bantuan melibatkan pelbagai agensi sentiasa tersedia untuk meneliti faktor utama banjir.
"Kami akan mengambil penjelasan daripada pihak pemaju berkait dengan pembangunan sekitar. Memberi pengetahuan dan kesedaran kepada penduduk untuk menjaga sistem perparitan juga amat penting bagi mengelakkan situasi yang tidak memuaskan ketika banjir,” jelasnya.
Tambahnya, biarpun sebelum ini negeri Pulau Pinang sering di label sebagai kawasan Pakatan Harapan, stigma masyarakat di sana sangat positif terhadap Siti Mastura sebagai wakil rakyat pembangkang yang baharu.
"Alhamdulillah, masyarakat Kepala Batas menerima saya dengan baik dan sudi bekerjasama.
"Penerimaan pembangkang masih perlu ditambah baik dalam membudayakan politik matang yang sejahtera selain sikap pilih kasih yang perlu dihentikan,” katanya.
Sebagai salah seorang individu yang dipuji oleh netizen di dalam sidang Parlimen apabila tidak gentar bertempur dengan wakil rakyat yang lebih ‘otai’, Siti Mastura percaya bahawa keberanian itu penting untuk menunjukkan keyakinan dalam perbahasan.
"Biarpun saya orang baharu di dalam Parlimen, saya bersyukur kerana menerima pandangan positif daripada masyarakat. Saya ingin membawa suara rakyat jadi kita harus berani dengan fakta.
"Tidak perlu ada rasa takut pada sesiapa pun kerana tanggungjawab yang saya pikul sebagai wakil rakyat adalah amanah besar di dunia dan kewajipan yang perlu dijawab di akhirat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca