Di United Kingdom (UK), ada sekurang-kurangnya 85,000 orang Malaysia.
Selain Singapura dan Australia, UK menjadi tiga negara utama menjadi destinasi orang Malaysia berhijrah sejak dahulu lagi.
Kebanyakannya menjejakkan kaki ke UK atas tiket pelajar.
Biasanya, sebaik surat tawaran universiti dan penaja diterima, selain berangan-angan mahu pulang dengan segulung ijazah dari universiti di UK, mereka juga punya impian lain – ‘nak kumpul duit’.
Pada zaman 1980-an dan 1990-an, sering kita dengar pelajar Malaysia di UK pulang sebagai ‘orang kaya’.
Meski wang tajaan untuk sara hidup mereka hanya sedikit, kerajaan UK ketika itu turut memberi pelbagai bantuan kewangan bagi meringankan beban kos sara hidup yang tinggi.
Namun, alang-alang sudah di UK, mereka masih bekerja mencari duit lebih.
Antara kerja sambilan yang popular bagi pelajar ketika itu ialah paper boy atau ‘budak surat khabar’.
Meski paper boy biasanya dilakukan kanak-kanak berusia 13 hingga 16 tahun, pelajar Malaysia juga tidak mahu melepaskan peluang menjadi paper boy.
Mereka akan keluar awal pagi untuk menghantar surat khabar dari rumah ke rumah.
Secara purata, mereka boleh meraih RM400 sebulan dalam masa kurang dua jam bekerja sehari untuk menghantar 40 hingga 50 surat khabar.
Dengan adanya e-surat khabar kini, permintaan untuk paper boy juga kian berkurangan.
Pekerjaan sambilan lain seperti pelayan di restoran, pub atau bar dan menjadi tukang cuci kekal popular dalam kalangan pelajar Malaysia hingga hari ini.
Tanpa sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan UK lagi, ramai menyusun jadual untuk melakukan dua tiga kerja dalam satu masa.
Rehat mereka adalah untuk menyiapkan assignment atau menduduki peperiksaan.
Kerja-kerja ini menawarkan gaji minimum agak lumayan. Mulai 1 April lalu, bayaran gaji minimum di UK untuk individu bawah 23 tahun telah dinaikkan kepada £10.18 sejam.
Dengan visa pelajar yang membenarkan mereka bekerja maksimum 20 jam seminggu, purata pendapatan mereka boleh mencecah sehingga RM1,100 seminggu atau RM4,400 sebulan.
Selain itu, kesibukan warga kota besar seperti London telah meningkatkan permintaan pelbagai perkhidmatan domestik, antaranya pengasuh, menjaga binatang peliharaan dan tukang cuci rumah.
Ia menawarkan pendapatan sekitar £12 hingga £16 sejam. Lebih menarik, jika berurusan langsung dengan majikan, mereka mungkin boleh bekerja melebihi tempoh 20 jam seminggu.
Dengan bekerja 30 jam seminggu, mereka boleh meraih sehingga RM2,580 seminggu atau RM10,300 sebulan. Lumayan untuk seorang anak muda awal 20-an.
Kini dengan adanya aplikasi seperti Stint atau Koru Kids, bekerja separuh masa di UK menjadi lebih mudah.
Tidak perlu pengalaman, CV atau temu duga. Lebih menarik, boleh memilih masa dan tempat bekerja sesuai dengan jadual serta lokasi mereka.
Meski pelajar Malaysia bekerja seperti ‘buruh’ atau pekerja tak berkemahiran, setelah bergraduasi, mereka tidak pula calang-calang orangnya.
Mereka bukan sekadar mengisi permintaan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia tetapi juga di UK.
Ramai orang Malaysia memilih bermastautin di UK adalah pekerja profesional – doktor pakar, akauntan, juruaudit, jurutera, pensyarah mahupun penyelidik.
Di UK, walaupun berstatus orang asing, jarang sekali orang Malaysia berasa dirinya pendatang yang tidak dialu-alukan.
Jarang juga mereka menjadi mangsa prejudis dan diskriminasi oleh rakyat tempatan UK.
Hampir langsung tiada cerita pekerja asing yang ditindas atau didera majikan.
Malah, rata-rata majikan di UK lebih suka mengambil orang Malaysia bekerja kerana disiplin kerja tinggi, kerajinan dan kejujuran.
Tatkala kita sinis memandang orang luar ‘menuai emas’ di negara kita, ingatlah banyak juga orang kita berbuat yang sama di tempat orang.
Malah ramai terpaksa meninggalkan status dan kelayakan akademik yang tinggi untuk menjadi buruh di Malaysia.
Peniaga dan majikan di Malaysia juga lebih senang mengambil orang asing bekerja. Selain gaji lebih rendah, mereka dikatakan sangat kuat kerja dan jujur.
Nampaknya kebanyakan orang asing yang bekerja sama ada di UK mahupun Malaysia punya sikap kerja yang positif.
Cuma tidaklah dapat dipastikan, bagaimana pula layanan orang Malaysia terhadap pendatang asing.
Adakah ia sebaik layanan diterima orang Malaysia yang menjadi pekerja asing di UK?
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca