PENGALAMAN luasnya dalam undang-undang Syariah negara menepati pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang merupakan bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah adalah seorang daripada empat individu bukan dalam kalangan Ahli Parlimen yang dilantik menganggotai Jemaah Menteri menerusi pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara.
Menganggap tanggungjawab baharu itu sebagai satu amanah yang perlu dipikul sebaiknya, anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur ini berhasrat membawa agensi agama di negara ini ke arah pengislahan pentadbiran hal ehwal agama Islam menerusi Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah).
Ikuti wawancara eksklusif Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), DATUK DR MOHD NA'IM MOKHTAR bersama wartawan Sinar Harian, DIANA AZIS mengupas cabaran institusi agama dalam memastikan pentadbiran kerajaan serta agensi di bawahnya menepati kerangka pembentukan Malaysia Madani.
SINAR HARIAN: Datuk merupakan Ketua Hakim Mahkamah Syariah yang pertama dilantik memegang jawatan sebagai Menteri Agama dalam barisan Kabinet. Boleh Datuk kongsikan pengiktirafan itu?
MOHD NA'IM: Apabila saya mendengar pengumuman mengenai pelantikan saya sebagai Menteri Agama, saya agak terkejut. Dalam konteks Hakim Mahkamah Syariah, saya memang terikat dengan etika kehakiman yang ketat. Saya jarang jumpa dengan orang, jarang bersosial, tiada akaun Facebook dan Instagram. Sebarang arahan yang saya ingin sampaikan kepada hakim adalah melalui WhatsApps.
Kehidupan selama lebih dari 20 tahun sebagai hakim yang duduk di atas kerusi, tiba-tiba diberi amanah yang besar, mengubah cara kehidupan saya, bersosial dan bercakap dengan orang. Saya boleh katakan di peringkat awal amat terkejut dengan pengumuman itu dan mungkin ada hikmah di sebalik pelantikan ini.
Kepercayaan ini bukan sahaja kepada saya malah kepada hakim syarie, pegawai syariah yang lain memandangkan ini kali pertama pegawai kerajaan dilantik sebagai menteri.
Ia satu pengiktirafan kepada institusi kehakiman syariah Malaysia. Saya harap dapat jalankan tanggungjawab dan amanah sebab ini bukan satu keistimewaan tetapi taklif yang perlu dilaksanakan dengan sempurna, penuh integriti dan bertanggungjawab.
SINAR HARIAN: Datuk telah melancarkan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) dalam pentadbiran hal ehwal Islam. Apakah ini menjadi hala tuju baharu pentadbiran Datuk?
MOHD NA'IM: Pelan ini asasnya diambil berdasarkan laungan azan ‘Haiya Alal Falah’ yang bermaksud menuju kejayaan, kecemerlangan.
Secara tidak langsung ia menyokong kerangka gagasan Malaysia Madani sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada Januari lalu. Secara umum, Al-Falah melibatkan lima teras, 10 fokus gerak kerja dan lima inisiatif.
Antara lima teras ialah pentadbiran Islam mampan, kemuliaan syariah, kepimpinan berdaya cipta, kesejahteraan insan dan penghormatan institusi Islam.
Sementara itu 10 gerak kerja yang telah bangunkan melibatkan pengislahan dasar dan tadbir urus institusi Islam. Tadbir urus dalam konteks ini mestilah diperbaiki, malah perlu diislahkan menjadi lebih baik.
Selain itu kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam yang melihat bagaimana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), yang ada asas ekonomi dapat digunakan oleh agensi tersebut untuk membantu golongan memerlukan bantuan sebagaimana yang disebutkan oleh Perdana Menteri mengenai menoktahkan kemiskinan.
Seterusnya adalah memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam, yang ini akan dimainkan (peranan) oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendakwaan Syariah.
Kita harapkan dengan peranan yang dapat dimainkan oleh mahkamah syariah di seluruh negara, dalam konteks memudahkan proses tuntutan di mahkamah akan mempercepatkan proses keadilan.
Perkara ini yang perlu difikirkan dalam konteks gerak kerja khusus dalam memartabatkan dan kehakiman Islam.
Kemudian mengenai pengukuhan kepimpinan generasi muda dan komuniti; keunggulan pendidikan Islam dan dakwah berhikmah; pemantapan penyelidikan dan persuratan Islam; pengukuhan perpaduan ummah dan keharmonian tamadun; penghayatan nilai masyarakat Madani; pemerkasaan media dan kesenian Islam serta pemodenan prasarana institusi Islam.
Pada masa sama, lima nilai yang saya harap dan cuba untuk terapkan kepada semua warga kerja agensi agama Islam iaitu ilmu supaya mereka cintakan ilmu kerana ini yang akan membezakan warga kerja kementerian ini dengan agensi lain.
Selain itu sifat integriti, iktikad, istiqamah dan ikhlas. Saya percaya dengan lima teras yang didukung oleh 10 fokus gerak kerja serta lima prinsip yang dipegang, kita mampu untuk mengislahkan institusi Hal Ehwal Agama.
SINAR HARIAN: Datuk, Tabung Haji (TH) telah mengumumkan bayaran haji secara bersasar mengikut tahap kemampuan dan pendapatan jemaah? Boleh Datuk berkongsi lanjut tentang perkara ini?
MOHD NA'IM: Bantuan haji bersasar mula diperkenalkan tahun lepas dan secara umumnya, ia untuk mengimbangi antara prinsip asas kewajipan haji tersebut. Seperti yang kita tahu, TH mengagihkan dividen pelaburan kepada pendeposit.
Bermula tahun lepas, memandangkan kos yang ditanggung TH untuk haji meningkat dan ia di luar kawalan seperti caj baharu yang dikenakan oleh pihak kerajaan Arab Saudi dan sebagainya, menyebabkan peningkatan sewaan hotel di sekitar Makkah dan Madinah.
Dalam masa sama TH masih menjalankan tanggungjawabnya untuk memberikan subsidi haji.
Dalam konteks nak mengimbangi antara jumlah dividen kepada pendeposit dan membantu mereka yang kurang mampu, kerajaan memperkenalkan bantuan bersasar.
Tidak seperti sebelum ini yang memberikan subsidi kepada semua orang tanpa mengira kedudukan pendeposit. Ikut jangkaan pada tahun ini, kos haji meningkat kepada RM30,890 keseluruhan dan golongan berpendapatan rendah (B40) dijangka membayar sebanyak RM11,980.
Kerajaan mengambil keputusan membayar lebihan RM1,000 dan jumlah yang perlu dibayar mereka adalah RM10,980 sahaja iaitu kekal seperti tahun lepas.
Bagi golongan M40, pembayaran meningkat sebanyak RM3,000 menjadikan jumlah yang perlu dibayar RM15,980 manakala T20 perlu membayar kos sebenar haji.
Peruntukan yang diberi kepada B40 dan M40 berjumlah keseluruhan RM400 juta.
SINAR HARIAN: Bagaimana pula dengan isu tempoh giliran menunggu yang begitu lama sehingga mencecah 130 tahun untuk menunaikan haji. Apa antara penyelesaian bagi memastikan rakyat berpeluang mengerjakan haji pada tempoh masa yang sesuai?
MOHD NA'IM: TH menggunakan prinsip first come first serve dan sekarang ada lebih kurang tiga juta pendeposit yang menunggu untuk menunaikan haji. Kuota kita terhad iaitu 31,600 jemaah, bermakna TH terpaksa menggunakan prinsip berkenaan. Itu yang menjadikan tempoh penggiliran yang agak lama.
Kerajaan sentiasa memohon kepada kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kuota tambahan agar tempoh menunggu dapat dikurangkan. Kita harap semoga dengan pertambahan kuota dapat menyelesaikan isu ini.
Untuk pengetahuan, TH memberi keutamaan kepada bakal haji yang terkesan ketika tempoh pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021. Dalam rekod TH ada 72,000 pendeposit yang tidak dapat menunaikan haji pada dua tahun itu.
SINAR HARIAN: Baru-baru ini, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi datang berkunjung ke Malaysia dan kelihatan hubungan Datuk bersama menteri berkenaan amat rapat. Apakah yang Datuk boleh kongsikan hasil lawatan tersebut?
MOHD NA'IM: Perjumpaan ini berlaku dua kali, pertama ketika saya ke Jeddah menghadiri persidangan haji dan umrah. Kemudian pada Februari beliau pula ke Malaysia. Pertemuan tersebut secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.
Selain daripada isu berkaitan kuota tambahan, kita juga bincang perkara lain dan lawatan Menteri Haji dan Umrah adalah untuk melihat TH mengendalikan bimbingan haji dan umrah.
Semasa persidangan tempoh hari, TH menerima anugerah bimbingan haji terbaik dunia atas asas kejayaan TH memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara.
Beliau amat kagum yang jemaah haji Malaysia mampu menjawab persoalan hukum. Apabila ditanya, sebelum pergi haji telah diberikan pengetahuan lengkap oleh TH. Sebab itu beliau datang sendiri ke Malaysia untuk melihat tata kelola TH mengendalikan jemaah haji dan umrah Malaysia.
Kesan daripada itu, beliau akan bincang dan fikirkan bagaimana untuk menyampaikan kepada negara lain untuk mengikuti jejak langkah TH mengendalikan jemaah.
SINAR HARIAN: Sebagai bekas Hakim Mahkamah Syariah, bagaimana Datuk melihat isu orang ketiga dalam perkahwinan yang mengakibatkan penceraian dan apa nasihat kepada golongan suami isteri yang berdepan dengan masalah seumpama ini?
MOHD NA'IM: Apabila menyebut mengenai pentadbiran keadilan, saya rasa bukan sahaja melibatkan Mahkamah Syariah sahaja, yang penting apabila ada aduan dan pendakwaan dibuat contohnya dalam kes campur tangan orang ketika dalam rumah tangga, kita ada peruntukan dalam undang-undang syariah.
Berdasarkan pengalaman saya, Seksyen 37 dan 38 mengenai gangguan rumah tangga jarang dibawa ke mahkamah.
Mungkin kita banyak dengar isu gangguan sekarang. Saya percaya dengan apa yang berlaku dalam keluarga selebriti dan sebagainya, hikmah daripada itu ia membuka mata masyarakat bahawa mereka yang membuat gangguan boleh dikenakan tindakan kepada mereka.
Walaupun ada keburukan tetapi dalam masa sama membuka mata masyarakat mengetahui kewujudan undang- undang yang boleh mensabitkan dengan orang ketiga dalam rumah tangga.
Bagaimana dakwaan nak dibawa ke mahkamah adalah perkara yang lain. Namun disebabkan oleh kekurangan bukti yang dikemukakan oleh pengadu menyebabkan pihak ketiga yang didakwa terlepas, sama ada bukti yang dikemukakan itu menyukarkan pegawai jabatan agama dan pendakwaan syariah mengambil keputusan tidak failkan pendakwaan tersebut di mahkamah.
Bagaimana pendakwa syarie yang mempunyai kuasa untuk membuat pendakwaan jika tidak ada bukti yang mencukupi.
Undang-undang ini berbentuk neutral, tidak kira sama ada lelaki atau wanita yang diganggu, kedua-duanya berhak kemukakan aduan kepada badan penguat kuasa agama supaya siasatan dapat dibuat.
Nasihat saya kepada semua orang di luar sana, apa sahaja tuntutan sama ada berbentuk jenayah atau sivil, penting untuk membuat persediaan dalam mengumpul bukti.
Seorang hakim Mahkamah Syariah yang hendak mensabitkan pihak ketiga mesti bergantung kepada bukti yang dikemukakan.
Tidak semestinya saksi yang melihat gangguan malah berbentuk perbualan WhatsApp, emel dan sebagainya boleh dikemukakan sebagai bukti yang menunjukkan ada campur tangan daripada orang ketiga dan cuba untuk mengganggu kebahagiaan dalam rumah tangga.
Dalam Islam jelas untuk tidak membuka aib orang lain, lebih lagi ia berkaitan keluarga.
Sekiranya aib itu disebarkan maka lebih banyak dosa yang ditanggung, membuka pekung di dada.
Nasihat saya, kumpulkan segala bukti, gunakan ia sebagai bukti bagi prosiding di mahkamah.
Pengalaman saya, ramai yang tidak tahu dakwaan syariah boleh dikenakan terhadap pihak ketiga yang mengganggu rumah tangga.
Memang tidak banyak kes tetapi dengan kejadian yang berlaku dan tular di media sosial, ramai yang sudah membuka mata. Namun ia tidak mengharuskan benda yang salah.
Satu kebaikan daripada perkembangan teknologi, ia banyak membantu wanita terutama golongan isteri yang didera, teraniaya dan dizalimi untuk menuntut hak mereka di mahkamah demi keadilan, yang biasanya penceraian.
SINAR HARIAN: Walaupun sering dibincangkan tentang masalah yang bakal timbul jika berkahwin di negara seberang seperti Thailand, rakyat Malaysia dilihat masih cenderung melakukannya dengan alasan proses lebih mudah. Pada pandangan Datuk, adakah proses untuk berpoligami di Malaysia lebih sukar?
MOHD NA'IM: Jika dilihat peruntukan berkaitan dengan poligami (Seksyen 23) ia lebih mengimbangi hak suami dan isteri.
Contohnya, suami memohon kebenaran untuk berpoligami, isteri akan dipanggil ke mahkamah supaya dia boleh maklumkan kepada hakim mengenai kemampuan suami.
Saya banyak mengendalikan kes begini dan suami akan maklumkan semua perkara yang baik sahaja.
Namun apabila isteri sedia dipanggil ke mahkamah untuk menerangkan tentang keadaan suami, hakim akan dapat gambaran jelas mengenainya.
Bagaimana mahkamah nak buat keputusan sekiranya tidak ada maklumat yang jelas daripada isteri sedia ada. Sebab itu undang-undang mengehendaki isteri sedia ada dipanggil ke mahkamah.
Ini menyebabkan suami dan bakal isteri lari kerana tidak mahu isteri sedia ada tahu, bukanlah isu birokrasi dan sebagainya. Undang-undang nak mengimbangi hak.
Jika suami mahu berpoligami, mesti dikeluarkan perintah berkaitan nafkah dan pembahagian harta sepencarian. Kalau sudah berkahwin contohnya 20 tahun, ada rumah yang diperoleh secara bersama, maka ia perlu dibahagi.
Bilamana permohonan itu dikemukakan, suami dan isteri juga akan beri keterangan. Ia akan mengambil masa dan kes juga akan tertangguh kerana melibatkan saksi lain.
Apabila tertangguh, itu yang menyebabkan mereka yang nak berkahwin tidak boleh tunggu, maka jalan mudah adalah berkahwin di Thailand.
Untuk mendidik masyarakat bukan sahaja mematuhi hukum, tetapi peraturan dan undang-undang. Kita nak suami itu ikut hukum dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Pada saya biar sukar di peringkat awal, tetapi mudah kemudian. Kita nak dapatkan sesuatu kebaikan itu memang sukar.
SINAR HARIAN: Semua agensi agama Islam di negara ini perlu lebih kreatif menganjurkan aktiviti kerohanian dan pembinaan insan. Program yang bagaimana dijangka mampu menarik terutama golongan muda?
MOHD NA'IM: Saya ada sebut kepada agensi ini untuk lebih kreatif terutama melibatkan golongan muda, tidak boleh rasa selesa dengan cara tradisional, ceramah di masjid sebab jarang anak muda berminat.
Mereka lebih gemar kepada engagement untuk lebih hampir kepada mereka. Dalam konteks ini, agensi agama perlu memaksimumkan media sosial sedia ada.
Ia akan memainkan peranan yang penting. Dari situ apa yang disampaikan mudah sampai kepada golongan belia. Kena perbanyakan program melibatkan golongan selebriti contohnya, ajak belia bersama penceramah dan ustaz.
Kita bercakap dengan golongan sasaran mengikut kemampuan akal mereka, maka ini merupakan cabaran yang sangat besar kepada institusi agama untuk melihat dan mengkaji perkara yang rapat agar mudah diterima.
Nak sampaikan usaha dakwah perlu dikaji, tidak boleh syok sendiri, metodologi golongan belia tidak sama dengan warga emas.
Ini hasrat yang saya bawa dan minta kepada semua ketua agensi untuk secara konsisten beristiqamah melaksanakan idea kreatif dalam menyampaikan dakwah.
Kita harapkan dengan kreativiti itu, golongan belia akan dekat dengan agama. Perkembangan media sosial ada kebaikan dan keburukan maka konteks itu memerlukan agensi agama ke hadapan agar kita tidak tertinggal di belakang untuk bersama mereka. Ini merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi oleh agensi agama.
SINAR HARIAN: Rakyat masih diuji dengan kos sara hidup tinggi dan kenaikan harga barang melampau. Apa nasihat Datuk supaya umat Islam meraikan Aidilfitri dengan baik.
MOHD NA'IM: Sebagai umat Islam, kita sentiasa digalakkan sederhana dalam semua perkara sama ada dalam perbelanjaan, perbuatan, tingkah lalu dan ia disebut sebagai wasatiyah.
Dalam menyambut dan meraikan Aidilfitri, kita diajar jangan melihat orang yang di atas, kena lihat orang yang susah. Kita akan rasa insaf dan berasa untung berbanding orang lain.
Kita diharuskan memakai pakaian yang cantik tetapi tidak sampak ekstrem sangat, bukanlah hingga menyebabkan berhutang dan membebankan. Islam adalah agama yang mudah, tidak akan berjaya orang yang akan menyusahkan dalam beragama.
Dalam konteks ini, saya nak nasihatkan kepada semua termasuk diri saya sendiri untuk sederhana dalam sambutan Aidilfitri ini.
Paling penting, pandang kiri dan kanan kita, jiran sebelah tengok keadaan mereka, tanya khabar sebab kita mahu jadi manusia yang baik kerana sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.
Ini perlu dijadikan cita-cita dan perlu cakna kesusahan orang lain juga. Ramadan adalah madrasah, satu pusat tarbiah, maknanya kita dilatih untuk menjadi insan yang bertakwa.
Tempoh sebulan dengan amalan sunat yang dilakukan, menginsafi kesusahan orang lain, banyak bersedekah, bila masuk sambutan hari raya sepatutnya kita tidak meninggalkan apa yang dilatih dalam tempoh sebulan itu.
Sambutan hari raya itu memang menggembirakan tetapi jangan sampai kita balik kepada keadaan sebelum sambut Ramadan.
Klik di sini untuk terus membaca