PADA hari akhir Ramadan, sepuluh malam terakhir Ramadan telah berlalu. ALLAH SWT telah pun mentakdirkan kemunculan lailatulqadar pada salah satu malam itu; dan hanya Dia yang mengetahuinya.
Hari akhir Ramadan mempunyai suasananya yang unik jika dibandingkan dengan kesemua hari di bulan suci ini.
Dari Subuh hingga Zohornya, jiwa insan yang beriman sudah mula berasa semacam kerinduan kerana hari akhir itu akan berlalu.
Sebaik-baik saja azan Asar berkumandang, memuncaklah rasa rindu itu kerana itulah Asar terakhir bagi seluruh Ramadan tahun itu.
Di samping makanan yang disiapkan, baju baharu yang dibeli dan perjalanan jauh yang ditempohi, hari-hari akhir Ramadan membawa ertinya tersendiri.
Walaupun pada bulan Ramadan 1444 Hijrah, masih kelihatan persengketaan berlarutan di alam nyata dan di media sosial, namun mereka masih boleh saling menyapa, bersalaman, bersenyuman sesama satu ummah.
Kemesraan Aidilfitri dirasai oleh rakyat Malaysia yang non-Muslim juga pada hari ini, walaupun ramai yang segenerasi dengan saya (usia awal 70-an) akan mendakwa bahawa hari raya pada dasawarsa 1960-an dan 1970-an jauh lebih meriah daripada kini.
Kanak-kanak, remaja serta orang muda pelbagai bangsa dari kampung dan bandar yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa dapat menikmati suasana yang lebih mesra ketika itu.
Ramai umat Islam Malaysia yang masih peduli ummah – prihatin tentang mereka yang susah di dalam dan di luar negara agar mereka dapat menjalani Ramadan serta merayakan Aidilfitri dengan lebih selesa.
Dengan rekod bantuan kemanusiaannya, nama Malaysia harum di banyak tempat di dunia ini. Dari Eritrea ke Gaza, dari Kosova ke Syria (sebutan: si-ri-ya).
Secara peribadi saya bersama-sama warga Malaysia serta ahli keluarga pernah mengalami musim berpuasa Ramadan dan Aidilfitri di beberapa tempat di dunia ini.
Sewaktu belajar perubatan prasiswazah di Kaherah, Mesir dan dilatih dalam bidang subkepakaran psikiatri forensik di Melbourne, Australia, kami berinteraksi dengan pelbagai keturunan dan bangsa umat Islam.
Antaranya ialah Nusantara (Singapura, Malaysia dan Indonesia), bangsa Turki, bangsa Somalia-Eritrea dan pelbagai keturunan Arab.
Semasa mengirim bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Baghdad, Iraq pada tahun 1991 dan ke Spin Buldak dan Kandahar, Afghanistan pada tahun 2001, kami berinteraksi dengan pelbagai penyampai bantuan dari banyak negara di dunia.
Almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradawi mengingatkan bahawa kita adalah ‘ummah Rabbaniyyun’ dan bukan ‘ummah Ramadaniyyun’.
Kita adalah umat Rabbani – umat yang menyembah Tuhan dan hidup menuruti perintah-Nya sepanjang hayat.
Kita bukanlah umat Ramadan – umat yang jiwanya hanya hidup pada bulan Ramadan, tetapi mati pada 11 bulan lain dalam setahun.
Apabila Ramadan tinggal satu memori jauh, masa itulah kita perlu menyemak antara keberkesanan Ramadan ke atas diri kita:
1. Sedar akal (mindfulness) akan kewujudan ALLAH SWT Maha Pencipta.
2. Ikhlas dan kasih kepada-Nya.
3. Khusyuk – memberi penumpuan dan bersikap tawaduk – dalam solat dan zikir.
4. Selawat kepada Nabi Muhammad SAW – syafaat kita di akhirat dan pengamalan sunnahnya.
5. Pembacaan al-Quran – syafaat kita di akhirat serta pengamalan prinsipnya.
6. Sikap izzah serta tegas dengan prinsip Islam.
7. Penjagaan hak Islam satu-satunya agama yang diterima di sisi Tuhan.
8. Puasa sunat bagi yang berupaya.
9. Sedekah yang berterusan.
10. Pengelakan pembaziran masa, wang serta rezeki.
11. Sikap benar, penyayang, pemaaf dan rahmah sesama insan.
12. Usaha pengislahan hubungan sesama umat Islam dan sesama insan.
13. Penyimpanan amanah, penuturan perkataan benar dan pencapaian akhlak mulia.
14. Rezeki halal yang asing daripada rasuah dan riba.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial
Klik di sini untuk terus membaca