SHAH ALAM - "Saya sangat rindu. Tetapi apakan daya, saya perlu berkorban demi tanggungjawab kepada komuniti,” kata Dr Nurul Syahirah Mohamad Ramli, anak kelahiran Malaysia yang kini merupakan pegawai perubatan di South Coast District Hospital, Victor Habour, Australia.
Dr Nurul Syahirah, 31, berkata, walaupun sedih terpaksa berjauhan dengan keluarga pada hari yang mulia, namun dia perlu akur dengan tuntutan tugas untuk menyelamatkan nyawa orang awam.
"Memang sedih tidak dapat beraya bersama keluarga di kampung. Saya juga rindu rendang kerang yang ibu saya masak, sangat rindu,” katanya.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak yang tinggal di Willunga, selatan Australia berkata, perjalanan ke tempat kerjanya mengambil masa kira-kira setengah jam.
"Pada hari raya memang tidak sempat nak memasak juadah raya disebabkan komitmen kerja. Selesai sahaja tugas di hospital iaitu 10 jam bekerja, saya terus balik ke rumah.
"Apabila sudah sampai di rumah, biasanya rasa penat, jadi tak sempat nak buat apa-apa (untuk sambut raya),” katanya dengan nada sebak ketika dihubungi Sinar Harian menerusi panggilan telefon.
Dia bagaimanapun berkata, walaupun berada di perantauan, Aidilfitri tetap disambut, namun secara sederhana dengan berkumpul bersama rakan-rakan senegara menikmati hidangan atau juadah raya.
Sementara itu, dia turut berkongsi pengalaman pada dua tahun lepas apabila terpaksa membatalkan perancangan beraya di Malaysia berikutan kes Covid-19.
Ujar Dr Nurul Syahirah, ketika itu dia sepatutnya pulang ke kampung dua hari sebelum raya, namun terpaksa akur apabila pintu sempadan Australia ditutup.
"Banyak perkara kita belajar ketika berada di perantauan. Biarpun suasana tidak sama dengan kampung halaman, namun ia mengajar menjadi diri ini lebih kuat dan berdikari,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca