KHARTOUM - Gencatan senjata 72 jam di Sudan gagal dipatuhi apabila pertempuran kembali meletus antara dua pihak yang bertelagah, menurut persatuan doktor pada Sabtu.
Hospital terus menjadi sasaran serangan dalam konflik tersebut yang menyaksikan pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan (CCSD), kedua-dua pihak gagal memenuhi komitmen gencatan senjata atas dasar kemanusiaan yang dipersetujui pada Jumaat lalu.
Gencatan senjata itu juga bertepatan dengan sambutan perayaan Aidilfitri.
Pertempuran dilaporkan merebak ke Bahri dan Omdurman, bandar bersebelahan dengan Khartoum, ibu negara Sudan. Konfrontasi turut berlaku di sekitar ibu pejabat tentera dan Istana Presiden.
Sementara itu, proses pemindahan diplomat asing bermula apabila kedua-dua pihak yang bertelagah menyatakan kesediaan untuk membuka lapangan terbang.
SAF dalam satu kenyataan di Facebook berkata, ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah Burhan menerima permintaan daripada beberapa negara untuk membenarkan pemindahan rakyat masing-masing.
ARAB SAUDI NEGARA PERTAMA BAWA KELUAR RAKYAT
Misi diplomatik Arab Saudi menjadi negara pertama yang memindahkan rakyatnya melalui Pelabuhan Sudan.
Sebuah kapal membawa warga Saudi dan warganegara lain yang diselamatkan dari Sudan yang dilanda pertempuran tiba di Jeddah pada Sabtu, menurut penyiar Al-Ekhbariya kendalian kerajaan.
Ia adalah pemindahan orang awam yang pertama sejak pertempuran bermula.
Sementara itu, Kementerian Luar Arab Saudi mengumumkan seramai 91 orang rakyatnya selamat pulang bersama-sama warganegara Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Tunisia, Pakistan, India, Bulgaria, Bangladesh, Filipina, Kanada dan Burkina Faso.
Mereka yang tiba di Jeddah termasuk anak kapal pesawat penumpang Arab Saudi yang terkena tembakan ketika bersiap untuk berlepas dari Khartoum ketika permulaan pertempuran pada 15 April, menurut Al-Ekhbariya.
Konvoi kenderaan membawa mangsa yang dipindahkan ke Pelabuhan Sudan dari tempat mereka menaiki kapal ke Jeddah, menurut penyiar itu.
BIDEN ARAH TENTERA PINDAHKAN KAKITANGAN KEDUTAAN
Sementara itu, Presiden Joe Biden mengesahkan beliau telah mengarahkan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan kakitangan dari Kedutaan Amerika di Khartoum.
Biden mengeluarkan arahan tersebut ketika RSF melakukan koordinasi dengan Misi Angkatan Tentera AS yang turut melibatkan enam pesawat bagi memindahkan diplomat AS dan keluarga mereka pada pagi Ahad.
Biden berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan sekutu dan rakan kongsi dalam usaha untuk memindahkan kakitangan kedutaan AS.
AS turut menggantung sementara operasi kedutaan Amerika di Sudan. - AFP
INFO -
Pertempuran antara tentera Abdel Fattah al-Burhan dan bekas Timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo (pasukan RSF) berhubung pertikaian mengenai rancangan integrasi RSF ke dalam tentera biasa bermula 15 April lalu.
Tindakan itu merupakan syarat utama bagi perjanjian yang bertujuan memulihkan peralihan demokrasi Sudan selepas tentera menggulingkan bekas pemimpin, Omar al-Bashir pada April 2019 berikutan bantahan rakyat besar-besaran.
Kedua-dua ketua itu telah bergabung untuk menggulingkan kerajaan awam yang ditabalkan selepas kejatuhan Bashir, sebelum berpaling tadah antara satu sama lain.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, 413 orang terbunuh dan 3,551 cedera dalam pertempuran di seluruh Sudan tetapi jumlah kematian sebenar dipercayai lebih tinggi.
Klik di sini untuk terus membaca