SHAH ALAM - Air mata seorang anak perantau di Jerman jatuh setiap kali mendengar takbir raya pada pagi 1 Syawal kerana menahan rindu tidak dapat pulang beraya di Malaysia sejak satu dekad lalu.
Berkongsi kisah itu, Husna Hisan Md Nor, 40, yang kini menetap di Hamburg, Jerman memberitahu dia terlalu rindukan suasana beraya bersama ibu bapa dan keluarga di Kuala Lumpur.
"Situasi paling sedih adalah apabila dengar takbir raya di perantauan sebab di Malaysia kita memang menantikan saat itu sambil berkumpul dengan adik-beradik dan saudara-mara.
"Walaupun sekarang kita boleh hubungi keluarga menerusi panggilan video namun perasaan tersebut berbeza. Ia tidak sama seperti kita sendiri peluk dan bermaaf-maafan dengan ibu bapa serta ahli keluarga secara bersemuka.
"Bagaimanapun, saya harus reda kerana ini adalah perjalanan hidup yang ALLAH sudah tentukan. Situasi beraya di perantauan menjadikan diri ini lebih kuat dan matang malah beraya di negara orang tetap disambut dengan meriah bersama suami dan anak-anak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian menerusi panggilan telefon baru-baru ini.
Husna merupakan seorang YouTuber yang dikenali The Luebkes dan mendapat lebih enam juta tontonan untuk keseluruhan video yang dimuat naik menerusi perkongsian pengalaman dan kisah hidupnya bersama suami serta anak-anak di Jerman.
Dia yang menetap di Jerman sejak tahun 2001 telah berkahwin dengan lelaki negara itu, Michael Lübke, 40, dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Layla Djamila berusia 15 tahun, Lara Sophia (13), Luisa Mysarra (10) dan Mika Noah (8).
"Peraturan di Jerman agak tegas berkaitan ponteng sekolah. Jadi memang mustahil balik beraya dengan mengambil cuti yang terlalu panjang,” ujarnya.
Bagaimanapun, Husna menjelaskan dia masih menghidupkan suasana menyambut hari raya di kediamannya bagi memastikan anak-anak berpeluang merasai sendiri pengalaman menyambut Aidilfitri seperti di kampung halaman.
"Kita buat macam di Malaysia untuk hidupkan suasana malam raya di rumah dengan pasang lagu raya, hiaskan rumah dengan lampu raya malah suami ada membeli pelita.
"Jadi kita letak pelita di sekeliling rumah supaya timbulkan suasana dan mood raya tersebut,” ujarnya.
Husna juga memberitahu dia beraya di Kedutaan Malaysia di Berlin pada tahun ini untuk bertemu rakan-rakan lama di sana.
Ujarnya, mereka bertolak ke sana dengan menaiki kereta selepas Subuh selain turut memasang lagu raya bagi mengembalikan nostalgia seakan-akan pulang beraya ke kampung halaman memandangkan perjalanan ke Berlin mengambil masa selama tiga jam.
"Memang sedih kita tak dapat beraya bersama keluarga tetapi sebenarnya ada kemanisan beraya di perantauan kerana kita lebih menghargai erti persahabatan serta nilai kekeluargaan tanpa mengira bangsa dan agama,” jelasnya.
KISAH 2 PERANCIS
SH: ‘Saya menangis teruk kalau dengar lagu raya‘
"Saya tak boleh dengar lagu raya, mesti menangis teruk kerana terkenangkan suasana beraya di kampung,” luah Nurazimah Karim, 48, yang menetap di Perancis sejak 22 tahun lalu.
Usahawan yang juga YouTuber itu berkata, suasana paling dirindui adalah keenakan juadah dan kemeriahan sambutan hari raya di negara sendiri.
"Apa yang dirindui sudah tentu juadah di Malaysia seperti sate, ayam percik, martabak, rendang dan ketupat. Kita boleh sahaja buat sendiri di sini (Perancis) tapi rasanya tak akan sama seperti di kampung halaman.
"Malah suasana sambutan di Malaysia membuatkan ia jauh lebih istimewa kerana dapat berkumpul di kampung bersama keluarga,” katanya kepada Sinar Harian menerusi panggilan telefon.
Nurazimah yang dikenali sebagai Kak Nur juga memiliki saluran YouTube, Light Kim yang mempunyai lebih 159,000 subscriber.
Menerusi akaun YouTubenya, dia menceritakan pengalaman sepanjang tinggal di negara Eropah selain berkongsi tip membesarkan anak-anak di perantauan sebagai orang Islam.
Dia yang kini menetap di Draveil, Perancis telah berkahwin dengan lelaki warga negara berkenaan, Nicolas, 58, dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Adam (21), Ida (17), Jade (11) dan Anna Syifa (5).
Nurazimah juga menceritakan kenangan paling sedih beraya di perantauan sewaktu anak-anaknya masih kecil di mana dia perlu kuat apabila berjauhan dengan keluarga semasa Syawal.
"Kalau boleh tak nak dengar lagu raya, tak boleh pasang lagu raya sebab memang akan teruk menangis teringatkan kampung,” ujarnya.
Menurut Nurazimah, kali terakhir dia pulang beraya ke Malaysia adalah pada 2017 iaitu semasa sesi cuti panjang sekolah di Perancis bermula.
Ujarnya, kos untuk pulang ke kampung halaman kini juga semakin mahal.
"Kos untuk satu keluarga menelan belanja RM25,000 bagi tiket penerbangan sahaja.
"Jadi sebab itu kalau nak balik Malaysia perlu sekurang-kurangnya bercuti selama dua bulan, barulah puas hati dan berbaloi untuk balik beraya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca